Wednesday, July 3, 2013

Kembara Deoband 58: Hadiah Quran Nublan Zaki

Saya bercita-cita untuk menghafal Al-Quran semenjak dari sekolah menengah iaitu dalam tahun 80an. Ramai sahabat yang saya kenali menghadiahkan kepada saya kaset qari-qari yang membaca Al-Quran dengan suara yang merdu-merdu. Ini membuatkan saya bertambah minat untuk menghafal Al-Quran. Saya berjinak-jinak menghafalnya setelah meniru bacaan mereka. Suatu hari saya dihadiahkan sebuah Al-Quran kecil oleh seorang sahabat satu sekolah, Nublan Zaki. Kami juga pernah mengikuti kursus bahasa Arab di Pusat Bahasa Arab Nilam Puri selepas SPM. Beliau anak kepada Ustaz Yusuf Zaki Yakub, penterjemah Tafsir  Zilal. Waktu itu dia sedang menuntut di UIA. Saya masih berada di Kota Bharu. Saya amat gembira kerana Quran yang dihadiahkan itu sungguh indah. Warnanya hijau. Corak kulitnya digubah dengan warna keemas-emasan. Ia diletakkan dalam satu kotak kecil dan dipecahkan kepada enam naskah. Satu naskah terdiri daripada lima juzuk. Quran ini memudahkan lagi saya untuk menghafal. Saya selalu membawanya ke mana sahaja saya pergi. Saya letakkannya di dalam kocek baju kerana saiznya muat untuk diletakkan dalam kocek.

Suatu hari saya berada di Masjid Muhammadi Kota Bharu untuk menunaikan solat. Saya perlu masuk tandas dahulu. Saya letakkan Quran di luar tandas. Bila saya keluar tandas, Quran itu hilang. Ia diambil orang. Mungkin orang itu ingat tak patut Quran ditinggalkan dekat tandas, lalu meletakkannya dalam masjid. Saya mencari-carinya di sekitar masjid tetapi tidak menemuinya. Saya amat kesal kerana saya amat sayangkan Quran itu. Banyak sudah juz yang dihafal menerusinya. Ia adalah naskah yang pertama yang terdiri daripada juz satu sampai juz lima. 

Wajah Al-Quran kecil hadian dari Nublan Zaki yang sudah lusuh di makan usia.


Juz 6-10                                                             Juz 11-15


Juz 16-20                                                         Juz 21-25


Bila saya ke India saya membawa Quran tersebut tanpa naskahnya yang hilang. Kemudian naskah yang terakhir pula hilang iaitu  juz 26-30. Saya terus menggunakan Quran itu sehinggalah pada tahun 1992 bila saya mengambil keputusan untuk menghafal Quran sepenuh masa. Ini setelah melihat Nik Mohd Abduh berbuat demikian. Dia berhenti belajar kitab dan mendaftar di kelas tahfiz. Sayapun menurut jejak langkahnya. Untuk tujuan ini saya menggunakan Quran yang lebih besar. Saya menggunakan Quran cetakan Saudi. Tidak banyak tanda yang ada dalam Quran itu berbanding dengan cetakan India. Dalam kelas mereka menggunakan hafalan mengikut pecahan-pecahan ruku`. Oleh itu saya meminta kawan di kelas tahfiz saya yang bernama Zakir dari Asam untuk menulis tanda ruku` seperti dalam cetakan India. Pada hujung tahun 1993 saya menamatkan hafalan Quran dan menyambung semula pengajian kitab.

Siapa sangka hadiah yang bersahaja daripada Nublan Zaki telah merelisasikan cita-cita saya itu. Walaupun bersahaja tetapi ia amat bermakna untuk diri saya. Pada waktu itu saya tidak mempunyai sumber untuk memilki Quran seumpama itu. Hanya niat murni yang menyampaikannya kepada saya. Semoga Allah  sentiasa memberi taufik kepada saya untuk terus membaca Al-Quran dan menjadikannya sumber pahala kepada mereka yang kerananya saya dapat menghafal Al-Quran.

Wajah sekarang bahagian depan Al-Quran 
yang saya gunakan ketika menghafal

Bahagian belakang Al-Quran

Mukasurat terakhir tertera tarikh saya tamat menghafal Al-Quran berserta 
tanda ruku` yang ditulis oleh Zakir Asami

3 comments:

nazriy ismail said...

Assalamualaikum...saya dengar maulana Umar Palampuri menghafal seluruh Al-Quran pada usia 65 tahun...satu kejayaan mengagumkan walau di usia begitu..ustaz biasa pergi ziarah masjid banglawali nizamudin (markaz Tabligh)? Pernah bertemu Maulana2 di sana?

Zaharudin Nawi/Aji said...

Kalau ke Delhi akan ke Nizamudin. Selalu juga dengar bayan Maulana Umar Palanpuri dan Maulana Inamulhasan. Tapi ustaz tak pernah khuruj.

Abu Zakariyya said...

1)Nublan belajar sama ana di UIA
2)Memang benar Hadrat Maulana Muhammad Umar hafal al-quran pada usia tua. Semasa ana di Nizamuddin tahun 92, hadrat masih menghafal