Tuesday, December 31, 2013

Anekdot Ulama 55: Maulana Saad Muhammad

Setelah menulis artikel tentang Maulana Lambok, saya menerima message dalam fb oleh seseorang yang dikenali dalam fb sebagai Suadi Saad yang juga seorang ustaz mengatakan bahawa ayahnya juga pernah belajar di Deoband. Dia meminta nombor talipon Maulana Lambok untuk diberikan kepada ayahnya yang dikatakan sezaman dengan beliau. Dia mengatakan ayahnya bernama Saad Muhammad, orang Pahang. Saya perasan nama itu sememangnay ada dalam buku daftar pelajar-pelajar Malaysia India yang diambil dari arkib negara tempohari. Menurut daftar itu beliau berasal dari kampung Lebak, Temerloh. Saya bertanya adakah boleh saya menziarahinya. Beliau sangat-sangat mengalu-alukan kedatangan saya. Maulana atau Ustaz Saad sekarang tinggal di Kg Batu Sawar Temerloh berdekatan dengan Gunung Senyum, rumah yang dibina di atas tanah isterinya di tebing sungai Pahang.

Saya berazam untuk menemui Maulana Saad. Saya belum mengenali siapa beliau. Saya memberitahu sahabat-sahabat Basooir untuk pergi ke Temerloh. Mereka bersetuju tetapi menunggu masa yang sesuai untuk pergi. Kebetulan Nik Farid salah seorang pelajar basooir sudahpun biasa dengan Temerloh. Beliau pernah bekerja di Temerloh suatu masa dahulu. Sekarang ditakdirkan dia berulang-alik ke sana kerana kerja pemasangan kabel Telekom perlu disiapkan di sana. Maklumat sudah dikumpulkan di mana letaknya Gunung Senyum. Ia agak jauh dari bandar Temerloh kira-kira 45 minit perjalanan menaiki kereta.

Dua bulan kemudian setelah banjir agak reda saya bertanyakan Ustaz Suadi jika Maulana berkelapangan untuk diziarahi. Beliau memberitahu bahawa banjir tidak sampai di kawasan tempat ayahnya tinggal. Saya kemudiannya menelepon Maulana untuk membuat temu janji. Kami bercandang berangkat pada pagi Ahad 29 Dec 2013. Kebetulan hari Ahad itu hari terakhir kelas Basooir kami bercuti. Ada peluang untuk pergi kerana jaraknya tidaklah jauh dari KL. Temerloh hanya 2 jam sahaja dari KL. 

Sahabat-sahabat Basooir ada yang pakar tentang selok belok makanan. Selain menziarahi maulana mereka juga menyiasat tentang tempat makanan yang istemewa di Temerloh. Berbagai-bagai cerita saya dengar tentang kelazatan masakan tempoyak ikan patin Temerloh. Saya tidaklah teruja dengan cerita-cerita tersebut kerana saya bukan pengemar ikan sungai lebih-lebih lagi jika dimasak dengan cili. Saya menjauhi makanan yang ada cili kerana perut saya masih dalam pantang dengan masakan bercili.

Kami seramai 5 orang bertolak pada jam 9.30 pagi dari rumah saya. Dalam perjalanan kami bersarapan di lebuhraya Karak menikmati `nasi berlauk` yang dibawa oleh peminat setianya. Kira-kira jam 11.00 lebih kami sampai di Temerloh. Sepanjang perjalanan banyak iklan tentang jualan ikan patin mengambarkan bahawa Temrloh memang kaya dengan perniagaan ikan patin sampai ramai juga yang tertipu dengan harga masakan ikan patin di bandar Temerloh. Kami terus mencari kedai masakan ikan patin yang dikatakan mewarisi kepakarannya daripada keturunannya yang dikatakan bekas tukang masak diraja. Kedai itu menjadi tempat persinggahan orang-orang kenamaan termasuklah kerabat di raja. Kedainya amat simple, kekal dengan imej kedai kampung. Malangnya kedai itu ditutup pada hari Ahad.

Di Masjid berdekatan dengan gerai makanan ikan patin. Berbaju biru itu orang lama Telekom yang bekerja di Temerloh

Oleh kerana itu kami terpaksa guna plan B. Berangkat ke kedai yang kedua dari segi rating keenakan masakan ikan patin. Katanya kedai ini murah dan sedap. Kedai pertama pula lebih mahal dan lebih sedap. Dalam pukul 12 tengahari kami sampai ke kedai itu. Alhamdulillah kedai buka dan gulai baru sahaja masak. Kami berjanji akan pergi ke rumah Maulana selepas zohor selepas makan tengahari. Sahabat Basooir yang pakar dalam menghidu bau masakan sudahpun menghidangkan masakan tempoyak ikan patin di atas meja. Saya melihat dengar debaran kerana tidak tahu bagaimana hendak makan gulai yang ada tompok-tompok merah yang menandakan ia penuh dengan cili. Oleh kerana cerita tentang keenakannya diapi-apikan sepanjang perjalanan terasa juga di hati untuk mencubanya barang sedikit. Saya mengutis isi ikan patin yang terendam dalam kuahnya yang berapi itu. Saya menyuapkan ke mulut. Saya memandang ke kiri dan ke kanan. Terpinga-pinga. Tak tahu apa nak dikata. Memang sah. Memang sah. Memang sahlah ia sedap!!! Bukan sekadar cerita yang digembar gemburkan. Kalau yang inipun sedap bagaimana dengan kedai yang satu lagi. Tentu kena datang lagi untuk mencubanya!!!.Tengahari itu adalah sejarah bagi saya makan masakan tempoyak ikan patin Temerloh. Namun iman saya masih kuat, saya tidak menjamah kuahnya kerana bimbang kepada cili walaupun ada yang sampai menghirupnya. Selepas solat zohor saya teringin untuk membelinya untuk dibawa pulang. Bila pergi semula ikan patin sudah licin...hajat tak kesampaian. Kami diberitahu supaya berhati-hati makan ikan patin di bandar Temerloh. Jangan sampai ditipu. Kami hanya habis dalam RM30 utk lima orang makan. Kalau silap kedai ia mungkin sampai RM300.


Perjalanan ke Kg Batu Sawar dimulakan sebaik sahaja selepas solat zohor. Jalan ke sana jalan lama yang sempit. Jalan itu boleh sampai ke Jengka. Kiri kanan dipenuhi dengan pokok kayu. Ada pokok tualang yang besar di sepanjang perjalanan. Ada dikalangan kami yang hanya tahu madu tualang tetapi tidak pernah melihat pokok tualang yang tinggi melangit itu. Sudah tentu orang berjaya naik mencari madu seorang yang pakar dalam `mengukah`. Monyetpun sukar nak naik. Di samping pokok tualang pokok `beka` yang buahnya berjuntai seperti petai tetapi agak besar saiznya banyak kelihatan di tepi-tepi jalan. Rumah-rumah agak jauh antara satu sama lain. Mungkin mereka bina rumah atas tapak tanah masing-masing yang luas.

                                                                                  Surau Di Depan Rumah Maulana


Maulana sudah menanti. Rumah beliau hanya di tepi jalan. Ada surau yang belum siap di tepi jalan. Maulana menamakannya sebagai Surau Munzirin untuk mengingatkan orang kepada Allah. Di belakang surau itulah rumah Maulana. Kawasannya agak nyaman sesuai dengan suasana kampung yang aman damai. Kami diajak masuk. Tak sempat duduk Maulana terus bercerita tentang Deoband. Beliau nampaknya tak sabar-sabar untuk bercerita. Kamera belum lagi dipasang. Microphone belum lagi disangkut. Hamizi cepat-cepat memasangnya supaya tidak terlepas apa yang diluahkan oleh Maulana.

                                                                                                  


Rumah Maulana Saad Yang Humble

Tidak seperti pelajar lain yang pergi ke India setelah mendapat maklumat daripada ustaz-ustaz atau kawan-kawan yang pernah belajar di sana tetapi Maulana Saad pergi ke India hasil daripada sembang-sembang di kedai kopi sahaja di Pulau Pinang ketika melanjutkan pelajaran di sana. Kemungkinan besar kerana Maulana tidak belajar di pondok  atau institusi agama di Kelantan menyebabkan beliau tidk ada maklumat tentang Deoband. Maulana pergi ke India tanpa mengatahui adanya orang Malaysia di sana. Pergi seorang diri dengan menaiki kapal laut. Singgah di Madras. Kemudian dibawa dengan keretapi oleh seseorang ke Madrasah Jamiah Baqiyatus Salihat yang terletak di Vellore kira-kira 83 km dari Madras mengikut Maulana. Di sana barulah Maulana mengetahui kewujudan beberapa pelajar Malaysia yang sedang belajar di situ. Maulana hanya setahun di Tamil Nadu kerana tidak berapa suka dengan medium pengajaran dalam bahasa Tamil. Namun di situ beliau juga diajar mempelajari bahasa Urdu. Selepas itu Maulana berlepas ke Deoband bersama dengan Ustz Ahmad yang juga pelajar di Baqiyatus Solihat. Mereka berpisah di New Delhi kerana Ustaz Ahmad ingin belajar di Lucknow. Maulana Saad berseorangan ke Deoband dari New Delhi. Menurut daftar pelajar Malaysia Maulana Saad sampai ke India pada tahu  1960 dan menjadi anggota persatuan di Deoband pada tahun 1962 bererti Maulana memasuki Darul Uloom sekitar tahun tersebut.


Daftar Pelajar Malaysia yang Tersimpan di Arkib Negara tertera nama Maulana

Maulana Saad belajar dari bawah. Mungkin dalam tahun 3 atau tahun 4. Senior beliau pada waktu itu ialah Maulana Lambak dan TGH Nik Abd Aziz. Kedua-dua mereka di ambang untuk meninggalkan Darul Uloom. Beliau sempat dengan Maulana Lambak selama dua tahun dsn sempat menadah kitab dengan beliau. Kemungkinan Maulana Lambak ketika itu mempelajari kitab-kitab takhassus. Sempat dengan TGH Nik Abd Aziz hanya beberapa bulan sebelum beliau berangkat ke Mesir. Beliau juga sezaman dengan bekas Mufti Selangor Ishak Baharom. Walaupun Mufti lebih tua tetapi maulana lebih senior daripada beliau di Deoband. Kata Maulana TGH Nik Abd Aziz, Ustz Lambak, Ustaz Isgaq Bahrom dan Ustaz Ramli antara pelajar Malaysia yang alim pada ketika itu di Deoband.


Sahabat-sahabat Basooir Bergambar Dengan Maulana Saad

Maulana Saad juga menceritakan tentang kelebihan maulana-maulana di Deoband. Mereka kuat beribadat, kuat beramal, kuat mentelaah kitab dan serius dalam melakukan sesuatu. Tidak banyak menghabiskan masa dengan perkara tidak berfaedah. Berjalan dengan cepat-cepat seolah-olah ada kerja yang perlu dibereskan. Jika sibuk dengan ilmu mereka akan lupa kepada dunia.

Beliau menceritakan tentang Maulana Wahiduzaman Kiranawi yang saban hari mentelaah kitab. Beliau terkenal dengan orang yang hebat dalam bahasa Arab. Kitab Qiraat Wadhihah beliau telah menjadi buku teks Darul Uloom untuk bacaan Arab peringkat permulaan. Beliau telah menghasilkan beberapa kamus Arab-Urdu dan Urdu-Arab. Beliau telah menubuhkan Nadi Arabi, majallah Ad Daie dsb. Ramai pelajar menjadi mahir bahasa Arab jika berdampingan dengan beliau. Suatu hari ketika peperiksaan yang diadakan di biliknya Maulana Saad bertanya tentang khabar anak isteri Maulana. Pada kala itulah baru beliau teringat sudah dua minggu tidak balik menjeguk anak isteri. Kemungkinan waktu itu Maulana belum lagi membawa anak isteri menetap di Deoband seperi kebiasaan maulana-maualana yang bukan anak tempatan Deoband.

Maulana Saad juga sempat menghadiri majlis khatam Bukhari dengan Sheikhul Hadith Maulana Zakaria Kandahlawi di Saharanpur. Malah beliau sempat menjadi tetamu beliau. Makan bersama tengahari di rumah beliau dan tidur di situ. Beliau melihat bagaimana Maulana Zakariya menjaga makan dan beribadat membaca Al-Quran di malam hari. Maulana-maulana lain yang disebut oleh beliau ketika perbualan kami itu termasuklah guru beliau seperti Maualan Akhtar Husein yang mengajar kitab Hidayah, Maulana Fakhrudin Ahmad  Sheikul Hadith, Maulana Naem, Maulana Hamid Mian (guru saya), Maulana Nasir Ahmad Khan dan Qari Tayyib.

Maulana Saad juga meluahkan persaannya tentang sukarnya menyebarkan ilmu di Malaysia. Orang kita hidup mewah. Akibatnya tidak mewah maknawi. Tidak mewah ilmu. Kalau belajarpun hanya untuk dapat kerja dan hidup senang. Sememangnya apa yang diluahkan oleh Maulana Saad dirasai oleh semua pencita ilmu. Amat sukar membudayakan ilmu walaupun di kalangan pencinta Islam. Walaupun di kalangan ilmuan sendiri. Bak kata pekedai yang menasihati Maulana agar pergi belajar di India: "Baja ilmu di India first class". Ertinya baja di tempat kita tidak berapa elok. Pokok akan cepat mati. Sesiapa sahaja yang pulang dengan membawa ilmu yang sarat lama-lama akan kering. Lama-lama mati ilmunya.


Maulana juga merasai pentingnya generasi anak-anak didedahkan terlebih dahulu dengan hafalan al-Quran sepertimana pelajar-pelajar Darul Uloom di zaman beliau. Tradisi ini tidak seharus berakhir di peringkat tadika dan sekolah rendah sahaja. Malah sepatutnya sampai ke peringkat sekolah menengah barulah ada kesenambungan dalam beramal dengan Al-Quran.


Kami agak terkejut kerana Maulana menceritakan bahawa antara gurunya ketika belajar di Pahang Ustaz Muhammad Fadhullah Suhaimi yang merupakan guru kepada pengasas Arqam, Ustaz Ashaari. Beliau mengakui Ustaz Fadhullah Suhaimi seorang yang hebat termasuklah hebat dalam bahasa Arab juga pandai bersilat dengan cara ilmu batin. Beliau pernah mempelajarinya tetapi tidak mengamalkannya sebagaimana Ustaz Ashaari yang menggunakannya sehingga menjadikan murid-muridnya merasai ttg kehebatannya.

Sebenarnya kami tidak mengetahui bahawa Maulana Saad pernah menjadi Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri Pahang suatu ketika dahulu.


Di sebalik keceriaan Maulana kami tidak mengetahui bahawa Maulana diuji dengan perkara yang agak besar juga. Anak lelaki beliau yang merupakan seorang guru tiba-tiba diserang penyakit yang tidak dapat dikesan oleh pihak hospital. Sudah beribu duit dihabiskan. Akhirnya beliau terlantar di rumah Maulana. Beliau tiba-tiba tidak boleh berjalan. Orangnya agak besar. Oleh itu sukar untuk dibawa berubat di luar. Jika ke hospital terpaksa menyewa ambulan dengan bayaran pergi balik dalam seribu ringgit. Sesiapa yang ingin menghulur sebarang bantuan dari segi pengubatan maupun keewangan bolehlah menghubungi Ustaz Saad sendiri h/phone 013-9090496.

Kami meninggalkan Kg Batu Sawar dengan penuh kenangan. Berjumpa dengan seorang yang agak biasa tetapi luarbiasa kerana menyimpan memori yang indah untuk kita generasi yang akan menempuh hari-hari yang mendatang. Semoga dengan pertemuan ini menaikkan lagi semangat dan stamina kami untuk berkhidmat untuk agama dengan mengutamakan amalan diri sendiri terlebih dahulu sebelum segala-galanya.



Surau yang belum siap memerlukan sumbangan 



Video temuramah dengan Maulana Saad boleh diakses di laman basooir.
http://basooir.com/lesson/ustaz-saad-mohamad/












No comments: