Ketika menulis artikel untuk skrip rancangan dokumentari mengenai Mukjizat Al-Quran yang akan ditanyangkan di Astro Oasis pada bulan Ramadhan ini saya dapati banyak di kalangan pengarang buku menulis tentang Mukjizat Al-Quran dari sudut sains. Banyak penemuan-penemuan terbaru saintis sesuai dengan kenyataan Al-Quran, menurut mereka. Penulis-penulis tentang Mukjizat Al-Quran cuba sedaya upaya membuktikan bahawa Al-Quran sudahpun lama memperkatakan tentang penemuan yang baru diketemui oleh para saintis moden hari ini. Namun kadang-kadang saya dapati penulis-penulis buku-buku itu terlalu ghairah menyabitkan ayat Al-Quran dengan sains, atau sains dengan ayat Al-Quran sehingga kadang-kadang mereka kelihatan agak takalluf sehingga menampakan bahawa Al-Quran tidak lagi apa yg disifatkan sebagai the book of sign tetapi kelihatan sebagai the book of science. Artikel yang ditulis oleh Shahrir Mohamad Zain di bawah ini boleh menjadi renungan kepada kita di masa hadapan untuk melihat penulisan tentang sains secara lebih kritis bermanhajkan konsep islami dan tidak hanya mengiakan apa yang ditemui oleh saintis Barat. Meskipun begitu apa yang dicapai oleh penulis-penulis tersebut bukanlah tidak ada nilai langsung. Malah ianya sedikit sebanyak dapat membantu meningkatkan kefahaman terhadap Al-Quran dalam ruang lingkup keluasan yang mungkin dicangkupi oleh sesuatu ayat untuk ditafsirkan.
Artikel Oleh Shaharir Mohamad Zain
Berbicara soal “sains Islam,” kita tidak boleh terlepas daripada menyorot pandangan tiga pemikir penting. Pertama, Sayyed Hossein Nasr yang mengutarakan ilmu yang berdoktrin kosmologi Islam. Kedua, Syed Muhammad Naquib al-Attas yang memaparkan sifat-sifat ilmu pengetahuan kontemporari yang sekular. Dan ketiga, Isma‘il al-Faruqi yang menunjukkan pertembungan tradisi ilmu Islam dengan ilmu Barat.
Semenjak 1970-an, mereka bertiga adalah tokoh yang sering dikaitkan dalam mengangkat gagasan “pengIslaman ilmu”. Namun, polemik tentang siapakah antara tiga orang sarjana ini yang memulakan gagasan “pengIslaman ilmu” atau “Islamization of knowledge” rasanya tidak sesuai dipaparkan di sini. Apatah lagi, wacana mereka rata-ratanya adalah membabitkan kritikan terhadap sains moden atau sains Barat atau sains kontemporer ini.
Tetapi, ada persoalan asas yang timbul. Ada lagikah makna “pengIslaman Ilmu” itu? Persoalan inilah yang ingin diperkatakan di sini. Dalam sejarah, “pengIslaman ilmu” berlaku sepanjang zaman tamadun manusia, apabila Muslim bertembung dengan bukan Muslim. Malah, pengalaman ini dipercayai semenjak setelah Nabi Adam, sewaktu adanya orang bukan Muslim yang membina “ilmu” mereka.
Inilah wajah sebenar “pertembungan peradaban”, jika kita mahu pinjam ungkapan Huntington dalam teori politiknya itu. Namun, “pengIslaman ilmu” ternyata lebih terkenal ketika Zaman Tamadun Islam. Ketika itu Muslim berhadapan dengan “ilmu” daripada pelbagai tamadun bukan Islam. Ini termasuklah ilmu dari Tamadun Yunani, Parsi, Tiongkok, Hindia dan lain-lain lagi. Dalam konteks inilah, polemik yang disebut di atas itu menjadi kurang bergunanya dan memang takkan dibincangkan di sini.
“PengIslaman ilmu” sejak abad ke-20 ini berlaku sebaik sahaja sarjana Muslim menilai “ilmu” asing menerusi asas-asas ajaran Islam. Ini dilakukan sehingga ada komponen ilmu itu yang mungkin terpaksa dibuang. Bahkan, terdapat juga kompenen ilmu yang perlu diubahsuai atau (perlu) dibina semula sepenuhnya. Selain itu, tindakan juga perlu dilakukan terhadap ilmu warisan Melayu itu sendiri, seperti yang dilakukan dalam bidang etnosains Melayu.
Pendekatan ini adalah bertujuan untuk menyerasikan “ilmu asing” dengan ajaran Islam dan kemudian dapat membantu menyelesaikan masalah orang Islam semasa. Justeru, usaha ini diharapkan bakal menerbitkan ilmu baru yang mampu menandingi ilmu Barat kontemporer itu. Sebab itu, hanya apabila Muslim malas menilai “ilmu asing”, atau etno-ilmunya, dan berat untuk membina ilmunya sendiri, maka “pengIslaman ilmu” pasti takkan berlaku.
Di Alam Melayu, sedikit-sebanyaknya pengIslaman ilmu pernah berlaku apabila Islam mula bertapak di rantau ini. Dalam konteks ini, Syed Muhammad Naquib al-Attas cukup terkenal dengan huraiannya menerusi aspek kebudayaan Melayu. Ini disampaikannya semasa syarahan pemasyhuran profesor di Institut Kebudayaan, Kebudayaan dan Kesusateraan Melayu (IBKKM) di UKM pada tahun 1972 dahulu.
Sungguhpun begitu, seperti kebanyakan sarjana di Alam Melayu kini, istilah “kebudayaan” dalam “kebudayaan Melayu” itu telah disempitkan ranahnya. Ini terbukti apabila beberapa bidang ilmu tidak dirangkumkan dalam kegiatan pengislaman ilmu, seperti sains, kesihatan, kejuruteraan dan teknologi, atau ringkasnya SAKTI. Akhirnya, terjadinyalah istilah “tamadun Melayu” yang hanya bercitrakan tamadun sastera (kemanusiaan dan keagamaan) sahaja.
Penulis sendiri, sudah beberapa kali menghuraikan kelemahan ini menerusi blognya, Komshaha. Justeru, kami kira keadaan ini memang sengaja dilakukan oleh penjajah dahulu. Tetapi, malangnya pendekatan salah ini terus diperkukuhkan oleh bangsa yang dijajah itu sendiri hingga amat sukar menghakiskannya walaupun fakta-fakta telah dipersembahkan semula sejak 1990-an lagi.
Sebaliknya, di peringkat penyelidikan kami telah berjaya memperlihatkan bahawa terdapat banyaknya SAKTI Melayu pra-Islam yang sudah hilang dalam lipatan sejarah. Penjelasan yang munasabahnya setakat ini ialah kerana pengIslaman yang dilakukan sebelum ini tidak cukup baik dan kritis sehingga mudah saja ilmu ilmu pra-Islam itu tersisih. Ini dapat kita perhatikan apabila banyaknya “pengetahuan” (istilah asalnya thu atau thuv dan pinjaman serentaknya ajnanam) yang terfosil kerana dokongan pengetahuan baru yang disangkanya asalnya dari Tamadun Islam yang dibawa oleh ulama atau pendakwah Islam ke Alam Melayu.
Demikian juga sistem sankia/angka (digantikan dengan sistem ‘adad), wariga (digantikan dengan taqwim), hora dan horasastera (digantikan dengan ‘ilm nujum dan falak), nyaya (digantikan dengan mantiq), arthasastera (digantikan dengan iqtishad), widya dan budhi (digantikan dengan ‘ilm), dan casana/vantin/raja (digantikan dengan sultan, amir, walaupun vantin masih dipakai sebagai tok batin di kalangan orang asli).
Lebih mendukacitakan lagi, ramai pihak tidak mahu mengiktiraf adanya “Melayu”, atau “ilmu Melayu” atau “teknologi Melayu” itu, sekurang-kurangnya sebelum bangsa Melayu memeluk Islam. Pandangan ini tampak membawa erti bahawa pengIslaman yang dibicarakan oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas itu ialah adalah semata-mata terbatas dalam konteks pengIslaman bahasa atau ilmu bangsa lain.
Sepatutnyalah sesuatu bangsa, khususnya Melayu, adalah ditakrif mengikut pegertian ahli antropologi, atau ahli etnografi atau lebih-lebih lagi mengikut ahli bahasa. Pemaknaan ini seharusnya sudah selesai seawal bangsa “Rumpun Melayu” dikenalpasti, iaitu sejak abad ke-2M. Tapi, itu tidak berlaku, meskipun kini ¨Rumpun Melayu¨ telah diiktiraf sebagai bangsa ke-empat terbesarnya di dunia, yang kehidupan bertaraf tingginya bermula sejak sekurang-kurangnya abad tersebut lagi.
Bangsa Melayu ini sebelum abad ke-13M, disepakati adalah beragama Hindu-Buddha di mana bahasanya sangat sarat dengan perkataan Sanskrit yang mengandungi nilai-nilai agama, mantik dan kerasionalan bahasa dan agama tersebut. Apabila Bangsa Melayu memeluk Islam, maka pengIslaman ilmu pun berlaku. Tetapi pengIslaman itu tidaklah berjaya sepenuhnya sehingga nilai-nilai Melayu kini tetap saja dilihat berbeza dengan nilai-nilai bangsa Islam di belahan lain atau Islam yang murni. Itulah lahirnya istilah Melayu-Islam.
Walau bagaimanapun, kita tidak boleh menafikan memang tercatat kehidupan tinggi atau sivilisasi Melayu semenjak abad pertama lagi. Sejarah ini penting meskipun tamadun dan peradaban Melayu-Islam hanya bermula sejak abad ke-13M. Tapi, itu hanya eksklusif dalam makna tamadun dan peradaban yang Melayu didukungi melalui ad-Din, iaitu Islam. Sehubungan dengan itu, PengIslaman Melayu-Islam itu tentu sekali membawa makna lain. Paling dekat, usaha tersebut bermakna ke arah pengubahan nilai Melayu daripada nilai Hindu-Buddha kepada nilai Islam dalam segala aspek kehidupan Melayu termasuklah ilmunya.
Kemudian, datangnya Barat yang bertapak di Alam Melayu. Saat itu, pemBaratan pun berlaku dan lagi sekali hampir semua ilmu Melayu dari tamadun Islam disingkir atau tersingkir. PemBaratan lalu menjadi agenda penjajah dengan matlamat untuk menggantikan segala ilmu peribumi bangsa yang dengan ilmu dalam acuan Barat sepenuhnya. Ini terus disemai sehinggalah bangsa yang dijajah itu merasakan mereka tidak pernah berilmu sehinggalah penjajahnya itu datang.
Lihat saja, istilah “ilmu” itu sendiri telah direndahkan dengan digantikan perkataan science. Rasa rendah yang dibentuk oleh penjajahan ini bukan sahaja berlaku di Alam Melayu, malahan di seluruh dunia Islam. Mahu atau tidak, umat Islam memang sudah terpasung buat berkurun-kurun lamanya di rumah pasung penjajahnya.
Akhirnya, tiba abad ke-20 ini. Pada kurun inilah, baru terserlahnya kesedaran terhadap ilmu-ilmu dalam tubuh bangsa sendiri. Kesedaran inilah yang cuba dikemukakan oleh Sayyed Hossein Nasr, Syed Muhammad Naquib al-Attas dan Ismail al-Faruqi. Mereka berusaha untuk mengembalikan keserasian ilmu dengan Islam.
Seperti Sayyed Hossein Nasr, kebanyakan usahanya adalah untuk memasakkan ilmu menurut “doktrin kosmologi Islam.” Ini dilakukannya sejak 1960-an lagi. Manakala, Syed Muhammad Naquib al-Attas pula cuba menyusun alur sejarah “pengIslaman kebudayaan Melayu.” Walau bagaimanapun, nampaknya gagasannya tidak memasukkan bidang ilmu SAKTI Melayu pra-Islam yang barangkali dianggapnya tiada maknanya.
Setelah itu, apabila agenda pen-nyahsekularan ilmu pengetahuan kontemporer ini, menurut pendekatan Syed Muhammad Naquib al-Attas turut dimarakkan dari 1970-an, apatah lagi dengan dorongan penubuhan ISTAC-nya pada tahun 1980-an. Tetapi, malangnya institusi tersebut nampaknya cenderung menumpukan hanya kepada isu-isu sejarah dan falsafah sains sahaja.
Selain itu, mulai 1980-an, Ismail al-Faruqi turut memberi sumbangan dalam ¨pengislaman ilmu¨ ini melalui IIIT di Washington. Namun, sekali lagi, institut tersebut hanyalah terhad dalam konteks sains sosial dan kemanusiaan sahaja. Penekanan kepada SAKTI hanya saja dilakukan oleh ASASI (yang ditubuhkan di Malaysia 1977) dan MAAS (yang ditubuhkan di India dalam 1980-an). Walau bagaimana, secara tak langsungnya, kelahiran dua buah institusi ini dikatakan di bawah pengaruh buah fikiran Nasr, al-Attas dan al-Faruqi itu.
Kendatipun begitu, ASASI sebenarnya bolehlah dianggap mencipta aliran sains Islamnya yang tersendiri. Semenjak 1990-an, ASASI ini mengumandangkan konsep pemeribumian ilmu dan penggalian etnosains Melayu. Inisiatif ASASI inilah menghasilkan natijah ¨pengislaman ilmu¨ yang sama sekali berbeza dengan usah-usaha sebelumnya. Bezanya, ASASI berusaha keras untuk membangunkan etnosains Melayu, terutamanya sejak Melayu pra-Islam lagi. Inilah suatu medan tambahan penting, selain medan sains kontemporari Barat-sekular yang memang telah lazim dicungkil sebelum ini.
Memang pada awalnya harapan ¨pengislaman ilmu¨ diletakkan atas bahu “universiti-universiti Islam,” terutamanya UIAM yang didirikan atas landasan “pengIslaman ilmu” untuk mencipta “ilmu Islam.” Namun, ternyata hasrat ini tidak kesampaian akibat perubahan senario politik tempatan dan tekanan nilai sejagatisme yang melumpuhkan idealisme para ilmuwan tersebut.
“PengIslaman ilmu” yang diingini ialah menggunakan al-Qur’aan atau asas-asas ajaran Islam untuk mengkritik sains kontemporer (sains Barat). Banyak sains Barat yang patut dikritik, seperti “teori Newton”, “teori quantum”, “teori deguman besar” atau “teori dentuman besar.” Begitu juga ¨teori alam semesta mengembang”, “teori Einstein” , “teori Hawking”, “teori kewangan”, “teori pembuatan keputusan”, dan “teori pengoptimuman.” Ini adalah sekadar sebutan beberapa teori besar Barat dalam ilmu Barat itu.
Selain itu, etnosains kita sendiri perlu disemak kembali, terutamanya dalam konteks pertembungan dengan ilmu Barat—dengan membawa kefahaman Islam yang lebih tepat. Sebab itu, pendekatan ¨pengIslaman ilmu¨ seharusnya bermakna bahawa segala ilmu Barat kontemporer ini dan etno-ilmunya sendiri (ilmu warisan bangsanya sendiri yang selama ini terfosil) adalah sekurang-kurangnya setara dengan ilmu Yunani dan tamadun-tamadun lain.
Di sinilah, kita boleh belajar dari pengalaman Tamadun Islam sebelum ini yang melakukan penyaringan ilmu dari belahan dunia lain. Sekarang, mungkin waktunya untuk gelombang pengIslaman kedua dunia Islam, atau ketiga bagi dunia Melayu kalau mahu mempertimbangkan pengIslamannya yang diperihalkan oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas itu.
Bagaimanapun ada perkara yang perlu difahami tentang persoalan “sains Islam” ini. Bagi para sarjana yang mengutarakan gagasan “pengIslaman Ilmu”, terutamanya ASASI, “pengIslaman ilmu” ini tidaklah bermaksud kegiatan mudah mencari unsur-unsur “ajaran Islam” (biasanya daripada tafsiran baru tentang sesuatu ayaht al-Quran, atau al-Hadith) untuk mengukuhkan, mengeyakan atau membenarkan sains moden ini. Kegiatan ini memanglah mudah kerana seseorang yang bergiat dalam “penyelidikan sains” sebegini—kalau pun boleh dikatakan “penyelidikan”—tidak perlu menjadi ahli sains pun. Sebaliknya, memadai hanya “dengar-dengar” pada sesuatu unsur sains berkenaan itu dan mencari jalan menyesuaikan dengan sesuatu tafsiran atau terjemahan ayat al-Qur’aan atau al-Hadith.
Rasanya, umat Islam melakukan kegiatan mudah ini, terutamanya sejak mereka tidak lagi menjadi penyumbang sains dunia. Akhirnya, orang yang mempopularkan kaedah ini ialah seorang pakar perubatan Perancis bernama Maurice Bucaille, seorang Zamil Akademi Perubatan Perancis.
Dalam tahun 1976, Bucaille membuat perbandingan teori sains moden dengan Bible dan al-Qur’aan, dan membuktikan bahawa ilmu yang ada di dalam al-Qur’aan lebih serasi dengan sains moden berbanding dengan Bible. Dalam karyanya yang tersohor itu, La Bible, le Coran et la Science, jelas terlihat dalam konteks sains kejadian alam semesta dan kejadian makhluk di bumi ini. Penemuan Bucaille ini cukup hebat disambut oleh dunia Islam dan beliau menjadi selebriti setelah karyanya itu ke dalam pelbagai bahasa.
Kerja gaya Bucaille ini kemudiannya disusuli oleh ramai sarjana atau penulis popular serata dunia. Ini termasuklah Achmad Baiquni dan Wardana (kedua-dua di Indonesia) yang melakukan keserasian Islam dengan teori atom dan teori Einstein.Begitu juga oleh Ibrahim (di AS) dalam beberapa makalahnya tentang teori quantum. Manakala Mansour (di Mesir) pula menulis dalam sebuah makalahnya tentang laju cahaya yang cukup laris dirujuk Muslim. Sementara, Moore & al-Zindani (di Kanada) memaparkan tentang teori proses pembesaran bakal-bayi dalam kandungan dalam sebuah buku yang laris jualannya.
Dalam senarai Bucaillisme ini, Harun Yahya (di Turki) turut melakukannya menerusi pelbagai teori sains (melainkan teori Darwin yang dikritik hebatnya, malah menjadi sinonim dengannya). Perkara yang dilakukan oleh mereka semua ini ialah memadankan perkara yang ada di dalam al-Qur’aan dan al-Hadith dengan teori-teori Barat. Mereka melakukan dengan tujuan untuk menunjukkan keabsahan teori sains itu di sisi Islam. Lebih dashyat, mereka seolah-olah mengharapkan ehsan sarjana Barat itu—yang tentunya sebahagian besarnya adalah kemungkinan ateis, kalau pun bukan sekular—bagi membuktikan kebenaran Islam menerusi ciptaan sainsnya!
Di Malaysia sekalipun, golongan ini agak ramai termasuk ahli ASASI sendiri. Bahkan, pada tahun 1980-an dahulu, ASASI juga pernah hanyut menerbitkan sebuah risalah karya Maurice Bucaille, “Quran and Modern Science” (satu bab daripada bukunya asalnya) bagi tujuan tersebut.
Ini dapat dilihat menerusi Danial Zainal Abidin, seorang yang berlatar-belakangkan doktor perubatan dengan karyanya seperti Quran Saintifik, Malim Ghozali, seorang mantan pegawai diplomat dan seorang sasterawan melalui karyanya Kebenaran Mutlak: Memahami Kesempurnaan, dan Mohd Arip Kasmo, seorang sarjana pendidikan sains dengan karyanya Aplikasi PASAK dalam Dakwah Kontemporari yang kemudian diangkat sebagaii penerima hadiah karya UKM pada tahun tersebut. Semua buku ini amatlah laris jualannya.
Sementara jurnal ASASI, Kesturi, dan warkah beritanya, ASASAINS, ada juga yang menerbitkan tulisan yang cenderung ke arah ini yang seolah-olah menggambarkan kecitaan ASASI ke arah kegiatan tersebut. Namun begitu, penulis merasakan keadaan tersebut berlaku ekoran tolak-ansur ASASI terhadap pandangan yang berbeza sahaja.
Inilah keghairahan Bucaillisme—suatu istilah yang dikemukan oleh Ziauddin Sardar—yang berlaku dalam dunia Islam, termasuklah di Malaysia. Walau bagaimanapun, sepadan dengan perkataan, Bucaillisme, kami pula menamakan gaya/kaedah ini sebagai gaya/kaedah “tumpang sekaki”.
Pendekatan “sains Islam” atau “pengIslaman ilmu” mengikut pendekatan Bucailleisme atau “tumpang-sekakisme” itu memang wajar tidak dijadikan suatu kegiatan kesarjanaan. Ini kerana, kegiatan itu sebenarnya tidak kritis, tidak cukup berdaya cipta dan oleh itu tidak hairanlah sudah terbukti tidak mampu menerbitkan sebarang atur cara penyelidikan yang menjanjikan penghasilan inovasi. Itu belum lagi kita mengharapkan tampilnya ilmu yang baru sama sekali.
Kegiatan ini juga menunjukkan kelemahan umat Islam amnya kerana sering “tertinggal kereta api” dari arus penerokaan ilmu semasa. Sebenarnya, teori yang disanjungi atau dianggap serasi dengan ajaran Islam itu hakikatnya sudah ditinggalkan oleh komuniti ahli sains Barat berkenaan, atau teori itu sedang dikritik hebat oleh sebahagian komuniti ahli sains Barat yang lain.
Umpamanya, teori atom sedang dikritik hebat sejak 1970-an, bahkan sedang diganti dengan teori baru yang dinamai teori tetali. Manakala teori Einstein sedang dipersoalkan dengan hebatnya oleh ramai pihak termasuk yang agak dominannya oleh sarjana Turki, Yilmiz, dan kumpulan sarjana Rusia yang diketuai oleh Lugonov. Malah, beberapa teori alternatif ini sedang cuba menyaingi teori Einstein itu dengan hebatnya. Manakala teori quantum pula cukup terkenal dengan beragam mazhab. Sementara, teori deguman besar dan kembarannya teori alam mengembang cukup banyak kritikan terhadapnya sehingga teori itu dianggap penuh dengan kecacatannya dan perlu diganti dengan teori yang tiada deguman besar itu atau tiada pengembangan alam semesta.
Jadi, sebab itu, muncullah teori-teori baru seperti teori Hoyle-Burbidge-Narlikar dan teori Steinhart serta tertubuhnya kumpulan penentang teori alam mengembang di UK yang bernama Kumpulan Kosmologi Alternatif (KKA) 2004 yang diketuai oleh Herman Bondi, seorang ahli kosmologi Barat yang masyhur.
Malangnya, umat Islam tidak menekuni perkembangan ini dengan serius. Lantaran itu, fenomenon “ketinggalan kereta api” ini tidaklah menghairankan diterima dalam dunia Islam. Apatah lagi, golongan pendokong tumpang sekaki itu semuanya bukanlah mereka yang membuat penyelidikan dalam bidang yang mereka bicarakan itu. Oleh itu, mereka ini tidaklah mungkin diharapkan mampu mengkritik ilmu itu. Dan, tidak mungkin mereka juga mampu untuk mencetuskan program penyelidikan yang diingini oleh para pencetus/penggerak asal “pengIslaman ilmu” itu (Nasr, al-Attas dan al-Faruqi).
Memang, usaha mereka ini menyeronokkan umat Islam yang rata-rata bukan masyarakat penyelidik. Sebab itulah, buku-buku karya golongan ini sentiasa menjadi “laris jualan”. Lantas, kegiatan “tumpang sekaki” ini akhirnya mengukuhkan sainsisme itu, iaitu fahaman bahawasanya “kebenaran sains” itu mengatasi segala-galanya hatta termasuk kebenaran agama. Lebih memilukan, tafsir al-Qur’aan itu dilakukan mengikut acuan sains semasa, bukan sebaliknya. Inilah sikap yang lebih teruk daripada falsafah sains Galileo yang dianggap sesat itu. Sekurang-kurangnya, Galileo menawarkan dua kebenaran yang terasing: kebenaran sains dan kebenaran agama (Kristian).
Sebenarnya, ada tiga variasi pendekatan yang boleh dianggap terbit daripada pemikiran Bucailleisme. Pertamanya pendirian seperti Golshani (ahli fizik teori Iran yang disegani) yang menegaskan pengIslaman sains ialah masalah pentafsiran sains mengikut acuan Islam. Beliau malah berpendapat Teori Evolusi pun boleh ditafsirkan semula sehingga sesuai dengan Islam.
Keduanya, ialah kumpulan yang melihat implikasi sesebuah teori sains sahaja, iaitu apabila implikasi teori itu berpadanan dengan yang pernah berlaku dalam kehidupan Islam, terutamanya kehidupan sufi. Maka, teori sains itu kemudiannya dianggap menepati kehendak Islam atau berada di jalan yang betul—iaitu menuju ke destinasi Islam. Pendirian sebegini banyak dipegang oleh mereka yang cenderung kepada ajaran sufi seperti Ibrahim (pakar perubatan di AS yang tersebut di atas) dan di Malaysia ini, lebih berwibawa lagi, diwakili oleh Shahidan Radiman (seorang professor fizik nuklear).
Ketiganya, kumpulan yang menilai keanalogan teori sains kini dengan teori Zaman Tamadun Islam dahulu yang berakhir dengan kepuasannya terhadap teori sains moden apabila kononnya sains moden mewarisi teori “sains Islam” dahulu. Mungkin ada sarjana Islam pada zaman tamadun Islam dahulu yang memberi pandangan awal tentang sesuatu sains kontemporer kini. Namun, tentu sekali pandangan mereka tersebut telah diabaikan berkurun-kurun sehingga hampir pasti berlainan sekali dengan yang dibina oleh ahli sains bukan Islam hingga sekarang ini.
Oleh itu, teori kontemporer yang berasal daripada Tamadun Islam dahulu pun memang wajar dinilai dengan kritisnya termasuklah dengan menggunakan ajaran Islam itu, bukan untuk mengeyakannya sahaja.
Misalnya, teori atom Barat mungkin ada unsur kesamaan dengan teori asasi jirim dalam Islam iaitu teori jawhar dan ‘aradh itu. Tetapi kita tidak boleh dengan segeranya menganggap teori atom Barat itu serasi dengan ajaran Islam seperti teori jawhar dan ‘aradh itu.
Begitu juga kita tidak boleh katakana bahawa teori asal-usul sesuatu hukum fizik Barat itu terbit daripada pengoptimuman suatu “tindakan” itu serasi dengan Islam. Ini tidak boleh dibenarkan hanya semata-mata kerana teori itu dimulai oleh sarjana Islam zaman Tamadun Islam dahulu (iaitu Ibn Haytham). Walhal, istilah “tindakan” yang dipadankan dengan “action” (daripada bahasa Inggeris yang diambil daripada teori ini dalam bahasa Perancis) sudah diubah maknanya daripada semantik istilah asalnya dalam bahasa Arab oleh Ibn al-Haytham itu.
“Tindakan” yang dipadankan dengan “action” itu sudah mengalami pensekularan sedangkan prinsip asalnya daripada Ibn Haytham itu amat kudus konsepnya, iaitu yang berhubung dengan sifat qudraht dan iradaht Allah. Lebih khusus lagi, “tindakan” yang menerbitkan hukum quantum (persamaan Schroedinger) tidaklah sama dengan “tindakan” mengikut kehendak teori Ibn al-Haytham itu.
Justeru, pengIslaman ilmu bukanlah sekadar kajian sejarah ilmu kontemporer ini yang ditelusuri tanpa kritis hingga masuk ke dalam pengalaman Tamadun Islam. Kegiatan mudah inilah akhirnya mendorong lahirnya fenomenon “tumpang sekaki” itu.
Sehubungan dengan itu, tugas utama para penggerak “pengIslaman ilmu” sebenar ialah mencipta atur cara penyelidikan dalam acuan Islam. Ini sekaligus menolak usaha pengeyaan sains sedia ada yang kemudiannya dibalut dengan kertas perada yang bertinta emas ayaht-ayaht al-Qur’aan. Lalu, setelah itu didakwa kononnya tindakan tersebut adalah relevan, sambil mengacukannya kepada teori ciptaan sarjana Zaman Tamadun Islam yang seanalognya, atau memadankan implikasinya dengan fenomenon kehidupan sufi sahaja.
Maka, yang perlu dilakukan ialah memperbaikinya dalam acuan Islam supaya hasilnya lebih menepati dengan Islam lalu menjadi “ilmu Islam” yang lebih bermakna. Umat Islam, khususnya ahli sains Muslim tidak mungkin berada di baris hadapan atau menyaingi ahli sains Barat jika mereka asyik menunggu atur cara Barat dan mengeyakannya sahaja.
Lebih sedih, mereka malah mengukuhkan sahaja sains Barat itu seperti yang dilakukan oleh para Bucailleis atau “penumpang sekaki” itu. Sebab itu, cara yang terbaik untuk memaparkan sains semasa kepada khalayak umum mengikut perspektif Islam (menggunakan Hadith atau al-Qur’aan) mestilah dengan kritisnya. Ini boleh dilakukan menerusi kenyataan pada tempat-tempat yang seakan-akan serupa dengan maksud sesuatu ayaht al-Qur’aan atau Hadith itu. Setelah itu, perlu ditegaskan juga aspek-aspeknya yang memang tidak serupa, malah bertentangan dengan maksud sumber Islam itu.
Walau bagaimanapun, usaha ini tentunya memerlukan tahap kesarjanaan yang tinggi. Namun, hasilnya, cara ini sahajalah yang akan menghidupkan kembali makna “al-Qur’aan sebagai sumber ilmu”, atau “al-Qur’aan sebagai panduan ilmu” dan sebagainya itu.
Jadi, sebagai Muslim awam (bukan sarjana dalam sesuatu bidang), mereka perlulah “berlapik” sahaja apabila menyebut sesebuah teori sains Barat yang dianggap ada unsur-unsur yang sealiran dengan ajaran Islam sekali pun. Kehati-hatian ini penting bagi mengelakkan dari terjerumus bersama dengan para Bucailleis atau penumpang sekaki tersebut!
Nota: Artikel ini pertama kali tersiar dalam Siasah (24-30 Mei 2009, menerusi tiga siri berturutan).
No comments:
Post a Comment