Pelajar Malaysia yang sedang belajar di Madarasah Deoband ketika saya sampai di sana tidaklah ramai. Hanya beberapa kerat sahaja dan boleh dibilang dengan jari. Ada dua kelompok di kalangan mereka. Kelompok pertama mereka yang hanya qiam (tinggal) di sana untuk satu dua tahun sahaja. Mereka hanya belajar di tahun akhir selepas itu mereka mungkin pulang atau ke Azhar Mesir. Antara nama yang saya masih mengingatinya ialah Iskandar Abdul Rahman (bekerja dgn Air Kelantan), Ustaz Nasri Yusuf (bekas pengetua Al-Amin, peniaga), Syarkawi, Abdul Rashid (Kedah), Abdul Hadi Shams (Indonesia tinggal di Saudi), Lutfi (anak pak kiyai pasenteran Chirebong Jawa Timor), Khairudin (anak YB Kelantan Haji Omar), Abdul Samad (Thailand). Kelompok kedua ialah generasi baru yang ingin belajar dari bawah. Rata-ratanya datang dari sekolah agama atau pondok di Malaysia. Mereka bermula dari tahun 3 daripada jumlah tahunnya sebanyak 8. Mereka ini termasuklah Nik Abduh (anak Tok Guru Nik Aziz), Azhar Sattar (Perlesenan MPKB Kota Bharu), Zahiruddin (Mudir Tahfiz Pulau Melaka), Ahmad Jailani (Perak, Guru Agama) dan Surul Sahabuddin (bekas Ketua Jabatan Tilawah Al-Quran UIA). Generasi baru ini sebenarnya datang dari Nadwatul Ulamak Lucknow, tempat Maulana Abul Hasan Ali An Nadwi. Ketika mula datang ke India mereka ke Nadwatul Ulamak kerana pelajar Malaysia ramai di sana ketika itu. Selepas lebih kurang setahun di sana mereka berpindah ke Deoband kerana ingin mengikut jejak ulama-ulama Malaysia dahulu kala yang pernah menceduk ilmu di kampung (pekan) Deoband.
Kesemua mereka belajar di Darul Uloom Deoband Waqaf atau terkenal pada masa itu dengan nama Jama' Masjid. Pada awal 80an berlaku perpecahan di Darul Uloom Deoband. Lipatan sejarah menunjukakan kepada kita bahawa setiap yang pernah bersatu lama-lama akan merekah dan selepas itu akan pecah dua, pecah tiga......kuatnya perpecahan tentunya mengikut nisbah kuatnya hasutan musuh, nafsu dan syaitan. Lantaran daripada itu wujudlah dua madrasah besar di Deoband. Madrasah lama dan madrasah baru. Yang lama kekal di tapak lama dan dengan nama lama sebagai Darul Uloom Deoband. Yang baru ditambah dengan perkataan Waqaf dan mereka berpindah ke tempat lain. Oleh kerana belum ada tempat maka mereka menggunakan Masjid Jamek (Jama' Masjid) sebagai madrasah sementara. Kesemua pelajar Malaysia pada waktu itu belajar di Jama` Masjid atau Darul Uloom Waqaf. Ini adalah ekoran kerana pelajar-pelajar Malaysia yang ada ketika zaman perpecahan itu memihak kepada pihak Darul Uloom Waqaf. Selepas itu menjadi suatu tradisi kepada pelajar Malaysia yang baru belajar di Darul Uloom Waqaf kerana mengikuti jejak senior-senior. Merekalah yang akan mengusahakan pendaftaran di Darul Uloom Waqaf atau Jama' Masjid dan juga urusan permit tinggal daripada pihak polis. Mereka yang baru tidak mengetahui apa-apa tentang apa itu Darul Uloom Deoband dan apa itu Darul Uloom Deoband (Waqaf).
Percikan perpecahan madrasah Darul Uloom Deoband awal lapan puluhan juga turut mengenai Madrasah Mazahir Uloom Saharanpur, tempat pengasas Jamah Tabligh Maulana Ilyas pernah belajar dan mengajar. Ianya juga tempat Maulana Zakariya Al Kandahlawi mengasah ilmunya sehingga menjadi seorang muhaddith yang dikenali ramai melalui kitab-kitab syarah hadis dan ta`lik-ta`liknya spt Aujazul Masalik, AlAbwabu wat Tarajim li Sahihil Bukhari, Fadhail A`mal dsb. Akhirnya mereka juga berpecah kepada dua madrasah, Mazahir Uloom Qadim (Lama) dan Mazahir Uloom Jadid (Baru).
Mazahir Uloom Qadim yg dinamakan Mazahir Uloom Waqaf selepas insiden. Gambar diambil pada musim sejuk tahun 2009
2 comments:
Fitnah ini merugikan tapi mesti ada hikmah, tak tau lah apa dia hikmah dia. ustaz Abul Lais Madrasah Deoband yang mana?
cerita tak habis lagitu saya ke darul uloom mana. Nanti menyusul byk cerita. Masa Dr abu lais belum berpecah.
Post a Comment