Wednesday, April 28, 2010

Anekdot Ulama 32: Hafiji Na Bina

Berdekatan dengan main gate Darul Uloom ada sebuah kedai buku kecil. Ia terletak di lorong laluan saya untuk pulang ke rumah sewa. Pendek kata setiap hari saya harus melintasi kedai usang itu. Kedainya walaupun kecil dan tidak banyak buku yang dijual ia sentiasa dikunjungi orang. Kebanyakannya student Darul Uloom. Kadang-kadang guru-guru Darul Uloom juga singgah di situ. Walaupun tak banyak buku tetapi ramai yang membeli daripada kedai itu secara pos. Buku-buku diambil daripada kedai lain jika tiada. Kedai itu dimiliki oleh seorang yang buta. Di Deoband dia dipanggil hafiji na bina (hafiz tak nampak penglihatan atau buta). Nama sebenarnya Nu`man. Dia tamat belajar di Darul Uloom. Seingat saya dalam tahun awal-awal 90an umurnya sudahpun tua. Dalam lingkungan 50an. Ketika saya sampai di Deoband tahun 1989 itu beliau sudahpun berniaga di situ.

Apa yang menarik tentang Hafiji ialah ingatannya yang luar biasa. Dia tahu kitab apa yang ada di kedainya dan dicelah mana ianya diletakkan. Seringkali dia akan memberitahu pembantunya supaya mengambil kitab di rak-raknya jika ada pembeli yang menanyakan. Di samping menjual buku beliau juga mengajar kitab di kedainya itu. Ada saja student bertandang ke kedai dan membuka kitab untuk mendapat penjelasan daripada Hafiji. Jika pelajar membaca baris yang salah beliau akan membebel itu fa`i, itu mubtad`a, itu maf`ul bihi, itu tamyiz...kenapa kamu baca baris atas padahal ia sepatutnya baris hadapan. Apa-apa kitab yang diajar di Darul Uloom ia boleh diajar oleh Hafiji. Bertandang di kedai Hafiji banyak faedahnya. Banyak ilmu dan pengalaman diperolehi walaupun hasil daripada sembang-sembang orang dengan Hafiji Na Bina.

Pada bulan Ramadahan Hafiji akan mengambil syiftnya sebanyak sepuluh hari untuk menjadi Imam terawih di Masjid Chatta. Masjid Chatta akan mengadakan tiga kali khatam Al-Quran di sepanjang Ramadhan. Sepuluh hari satu Al-Quran. Hafiji akan menjadi Imam dengan membaca tiga juz satu malam. Pada waktu siang hari, Hafiji akan menyemak bacaan hafalan dengan bantuan pelajar Darul Uloom yang akan datang ke kedainya. Di kala tidak ada pelangan Hafiji akan membaca Al-Quran.

Hafiji Na Bina sememangnya berkahwin. Beliau dikurniakan seorang anak lelaki. Ketika saya mengunjungi Deoband tahun 2009, anaknya sudahpun dewasa dan mengambil alih menjaga kedai ayahnya. Sebenarnya Hafiji Na Bina tidak buta kerana hatinya terang benderang dengan cahaya ilmu dan cahaya Al-Quran. Tetapi kita walaupun celik mata belum tentu hati kita secerah hati Hafiji Na Bina. Kehidupan Hafiji banyak memberi pengajaran kepada saya. Beliau berdikari dalam mencari rezeki. Beliau sentiasa menjaga Al-Qurannya. Beliau tidak meninggalkan solat berjemaah walaupun terpaksa dipimpin. Beliau sentiasa bergaul dengan ilmuan. Mengajar dan belajar. Beliau menjaga sunnah walaupun buta. Beliau sentiasa mengekal imej kemaulanaan. Memakai baju serba putih dan berkopiah. Kedainya di tutup bila waktu solat. Beliau tidak hanya menjadikan kedainya sebagai tempat mencari rezeki malah sebagai stesen ilmu. Semoga Allah menyihatkan Hafiji dan memanjangkan usianya. (Hafiji = Hafiz + Ji. Ji kalimah tambahan untuk respect spt Gandhiji, Hazratji dsb)


1 comment:

Anonymous said...

MAAF USTAZ, SAYA SELALU TERUJA DENGAN KEWARAKKAN ULAMA YANG USTAZ TULIS. BIASANYA, SAYA BACA DUA-TIGA KALI TULISAN.SUBHANALLAH,SEMAKIN BERKURANG WATAK ULAMA YANG USTAZ CERITAKAN