Tuesday, August 17, 2010

Hamka: Tuntunan Puasa


Nama Pak Hamka (1908-1981) sememangnya tidak asing di bumi kita Malaysia. Lebih mendekati apabila bahasa pena yang digunakan oleh Pak Hamka dalam literaturenya persis seperti bahasa Melayu. Pernah seorang teman Indonesia memberitahu saya bahawa bahasa yang digunakan oleh Bung Hamka ialah bahasa klasik Indonesia. Oleh itu bahasa Melayu kita sama dengan bahasa klasik Indonesia. Maka tidak heranlah suatu masa dahulu bahasa Melayu telahpun menjadi bahasa perhubungan utama atau lingua franca di rantau ini.

Saya selalu mengunjungi syarikat buku Crescent di Batu Caves kerana ia terletak dalam laluan saya dari rumah ke UIA. Di situ saya melihat banyak juga buku-buku Pak Hamka yang mereka jual. Saya membelek-beleknya tapi tidak tergerak pula hati untuk membeli buku-buku tersebut sehinggalah suatu hari di bulan puasa ini saya berpeluang membeli buku Pak Hamka. Selesai menjadi imam solat terawih saya duduk sekejap mendengar tazkirah oleh seorang Ustaz yang dijemput oleh surau taman tempat saya tinggal. Selepas itu saya turun dan melihat ada gerai buku di perkarangan surau. Gerai sementara itu memuatkan barang-barang yang dibawa oleh ustaz penceramah tadi. Wakil penjualnya menunjukkan kepada saya sebuah buku berjudul `Tuntunan Puasa, Terawih & Shalat Aidilfitri` oleh Prof. Dr Hamka yang diedar oleh syarikat Crescent. Kali ini saya tidak berfikir panjang lalu terus membelinya. Entah kenapa saya tidak mengetahuinya. Mungkin saja berkat Ramadhan. Malam itu juga saya membaca buku itu. Esok harinya saya dilupakan untuk memegang bahan-bahan bacaan rutin saya kerana masih teringin untuk mengetahui apa kata Pak Hamka seterusnya. Lalu saya mengambil keputusan untuk menamatkan buku Pak Hamka dahulu. Malam ini saya berterawih membaca juz yang ke 8. Sebaik sahaja pulang ke rumah saya terus sahaja membaca buku Pak Hamka itu dan menamatkannya pada jam 12. 40 malam tadi.

Apa yang menarik tentang buku Pak Hamka itu ialah bentuk tulisannya yang seolah-olah seperti seorang ustaz sedang memberi tazkirah selepas solat terawih. Perbincangan bukanlah berbentuk ilmiah tetapi lebih kepada nada ketukan memberi kesedaran tentang hikmat puasa itu sendiri. Kaitan puasa dengan terawih, zakat fitrah dan solat hari raya. Kesah-kesah yang diceritakan oleh Pak Hamka tentang tabiat-tabiat manusia di zamannya dalam penghayatan mereka terhadap puasa sama seperti tabiat manusia pada tahun 2000an ini. Oleh itu ketukannya mengena. Kata Pak Hamka kehidupan moden yang serba canggih ini sebenarnya didominasi oleh keserakahan memuaskan nafsu perut dan seks. Oleh itu puasa amat penting untuk menundukkan nafsu dan sekaligus mengimbangi keperluan manusia. Jika tidak manusia akan beralih kepada kepuasan lain yang bersifat rohani semata-mata yang disajikan oleh gerakan-gerakan kebatinan di seluruh dunia yang mengelabui mata hati masyarakat Barat yang sudah bosan dengan falsafah materialistik. Antara gerakan kebatinan yang mengambil kesempatan daripada krisis kerohanian masyarakat moden yang disebut oleh Pak Hamka ialah Gerakan Swami Vivikanda, Krishna Murthi dan Inayat Khan di India. Manakala di Indonesia Gerakan Subud. Kubur Inayat Khan ada di kawasan Markaz Nizamudin. Saya pernah melihat ramai pengunjung mat salleh ke situ. Mereka berjalan di lorong kecil di situ. Memang mereka kelihatan seperti orang yang sedang mengelamun seolah-olah sedang menerima kunjungan kedamaian daripada perhimpunan di markaz ajaran Inayat Khan itu.

1 comment:

Anonymous said...

saya sedang usahakan pustaka hamka dimana terhimpunnya koleksi karya HAMKA.

uniknya tulisan pak hamka ialah ilmu sokongan digunakan dan pengalamannya.

boleh ustaz berkongsi petua agar kita dapat baca dan faham walaupun dalam tempoh yang lama dan petua tidak mengantuk semasa membaca?.

saya cadang nak kongsi dengan pelajar