Awal-awal Ramadhan Darul Uloom sunyi sepi. Hanya saya sahaja yang tinggal. Kesemua pelajar sudahpun pulang ke kampung masing-masing sebelum Ramadhan lagi. Sebaik selesai exam (salanah imtihan) di akhir bulan Sha`ban mereka akan mengosongkan hostel. Hanya saya penghuni tetap di situ kerana tidak pernah balik dalam tempoh berada di Darul Uloom dari tahun 1989-2004 (kecuali sekali Ramdahan tahun 1996). Darul Uloom yang mulanya kosong lama kelamaan mula dipenuhi dengan pelajar-pelajar apabila Ramadhan mula melangkah membilang hari. Darul Uloom dikunjungi oleh tetamu yang datang dari jauh. Nun jauh dari ceruk rantau India yang berbagai-bagai jenis lokasinya. Mereka ialah pelajar-pelajar baru yang ingin mengadu nasib untuk memasuki Darul Uloom. Sekejap sahaja masjid Darul Uloom mula ceria dengan halakah-halakah ilmu. Pelajar-pelajar baru mengadakah halakah ilmu di masjid untuk mengulangi pelajaran bagi menghadapi peperiksaan yang akan diadakan di awal-awal bulan syawal. Cara mereka mengulang ialah dengan melantik seorang di kalangan mereka yang akan mensyarahkan kitab bagaikan dia seorang maulana. Mereka yang lain mendengar. Cara yang terkenal dengan jolokan takrar di kalangan orang madrasah. Mereka akan habiskan berbagai-bagai kitab secepat mungkin supaya dapat menghadapi peperiksaan. Kertas yang akan naik bergantung tahun kemasukan yang dipilih. Untuk ke tahun 6 misalnya beberapa kitab tahun 5 akan disoal seperti kitab fekah Hidayah, Usul Fekah Nurul Anwar, dan Kitab Sastera Arab Maqamat Hariri. Kita juga berpeluang untuk duduk sekali mendengar kuliah itu jika mahu mengulang pelajaran yang lalu. Bukan senang untuk mendapat peluang belajar secara kilat begini. Mereka tinggal percuma di hostel-hostel yang di buka oleh pihak Darul Uloom utk pelajar-pelajar baru. Untuk berbuka mereka berbuka di masjid Darul Uloom. Selepas itu mereka mungkin akan mengunjungi kedai-kedai makan yang berhampiran dengan Darul Uloom untuk menguatkan lagi perut. Makanan berbuka disediakan. Makanan sahur tidak disediakan. Apabila Ramadhan semakin menghampiri Syawal Darul Uloom semakin dipenuhi oleh kehadiran pelajar-pelajar baru. Mereka tidak akan pulang beraya. Malah mereka akan beraya di Deoband. Hari Raya bagi mereka hanya solat Hari Raya. Selepas itu mereka mungkin ke masjid semula untuk membuat persediaan peperiksaan kemasukan bagi sesi baru.
No comments:
Post a Comment