Sunday, August 22, 2010

Kembara Deoband 23: Beriktikaf Di Masjid Rashid

Masjid Rashid kini menjadi masjid utama Darul Uloom. Ia dibina sesuai dengan perubahan zaman. Agak luas dan banyak kemudahan disediakan. Sebelum ini Darul Uloom tidak memiliki masjid yang besar. Dengan terbinanya masjid Rashid hampir kesemua aktiviti Darul Uloom yang melibatkan ramai orang diadakan di situ. Pada bulan Ramadhan ia juga digunakan untuk iktikaf. Iktikaf di Masjid Rashid saban tahun dipimpin oleh Maulana Asad Madani, anak kepada Maulana Husein Ahmad Madani (Guru kpd Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat) sebulan penuh. Tidak seperti muktakif di Masjid Chatta, para muktakif di Masjid Rashid kebanyakkan datang dari kampung-kampung sekitar Deoband. Deoband dikira pekan kepada kampung-kampung (gaon) di sekitarnya. Kebanyakkan mereka adalah petani dan penternak. Pertanian mereka bersawahkan gandum dan juga tebu. Binatang ternakan mereka adalah kerbau, kambing dan biri-biri. Tubuh dan pakaian mereka seperti orang-orang kampung dalam filem Hindustan. Bertubuh sasa. Wajah yang berkerut. Kepala dililit dengan serban yang besar. Berpakaian kampung, kurta dan lungi (sarong) yang longlai dan berkedut-kedut. Hampir semuanya berwarna putih lusuh. Mereka membawa keperluan untuk beriktikaf dengan apa sahaja yang ada pada mereka. Guni, beg buruk, plastik etc. Agak mudah kehidupan mereka. Tidak malu dan tidak segan. Mereka juga membawa lota kerana fikirkan susah untuk beristinjak dan mengambil wuduk tanpa lota. Pili tak biasa dengan orang kampung. Makanan bersahur dan berbuka di Masjid Rashid agak enak. Maklumlah kambing-kambing mudah disembelih kerana ramai pendermanya daripada pihak orang kampung. Hampir setiap hari makan kambing. Qari-qari yang mengimami terawih daripada kalangan pelajar di Masjid Rashid juga agak terpilih dengan melihat kemerduan suara. Mereka inginkan sentuhan Mekah sesuai dengan kegahan Masjid Rashid. Pelajar-pelajar tak ramai di Deoband pada bulan Ramadhan kerana Darul Uloom bercuti tahunan dalam bulan ini. Yang ada ialah pelajar-pelajar baru yang datang untuk membuat persedian untuk menduduki peperiksaan kemasukan Darul Uloom untuk sesi berikutnya. Pelajar-pelajar ini akan berbuka dan bersahur di masjid Rashid.

No comments: