Sunday, August 15, 2010

Kembara Deoband 20: Terawih Di Deoband

Sebelum Ramadhan lagi biasanya siapa-siapa yang hendak menjadi imam terawih akan bersiap sedia mengulang dan menyemak Al-Quran masing-masing dengan pentasmi`kan. Mereka akan mengisi masjid-masjid Deoband. Di Deoband tidak ada surau. Walupun saiznya kecil lebih kecil daripada surau di Malaysia ia tetap dinamakan masjid. Ada juga yang menjadi imam di rumah. Terutama apabila imam itu kanak-kanak. Solat terawih diadakan di rumah juga supaya wanita boleh mengikutinya. Ini kerana tiada ruangan disediakan untuk wanita di masjid-masjid di Deoband. Malah boleh dikatakan di seluruh India begitu. Ada juga yang menjadi imam di bilik-bilik maulana kerana mengimami mereka. Ada yang hanya berimam di bilik hostel masing-masing dengan hanya seorang makmum hafiz di mana mereka bergilir-gilir menjadi imam.

Di sekitar Darul Uloom sahaja ada banyak masjid. Masjid Tayyib, Masjid Qadi, Masjid Kamal Shah, Masjid Usmani, Masjid Sharamzudin, Masjid Shah Wilayat, Masjid Lal, Masjid Jamek, Masjid Rashid, Masjid Chatta, Masjid Darul Uloom, Masjid Darul Uloom Waqaf, Masjid Madani, Masjid Sheikhul Hind, Masjid Safid dan banyak lagi. Malah di Deoband sahaja ada puluhan masjid kalau tidak ratusan. Kesemua masjid mengadakan terawih sebanyak 20 rakaat sesuai dengan fatwa Darul Uloom. Kesemua masjid juga akan menamatkan Al-Quran 30 juzuk sepanjang Ramadhan walaupun ada yang menamatkannya lebih daripada sekali. Setiap imam terawih akan ditemani oleh sekurang-kurangnya seorang penegur. Jika kebetulan di kalangan makmum ada yang hafiz maka ramailah tukang tegur. Kebanyakan masjid makmur dengan makmum. Hampir kesemua lapisan masyarakat turun bersembahyang terawih. Daripada yang alim sampai ke yang jahil-jahil. Daripada yang kanak-kanak hingga kepada orang-orang tua. Tiada yang keluar ketika solat witir. Apakah pemangkin yang menyebabkan mereka eager untuk berterawih sedangkan tiada tazkirah dicelah-celahkan?. Tiada selawat dilaungkan antara rakaat-rakaat terawih. Tidak ada more disajikan. Tiada tahlil dikendalikan. Hanya semata-mata ibadat terawih difokuskan. Cukup simple. Di Deoband juga tiada saguhati disediakan untuk imam. Darul Uloom memfatwakan imam terawih tidak boleh menerima duit hanya kerana menjadi imam solat terawih. Tetapi dibolehkan kalau disertakan dengan menjadi imam solat fardu selama sebulan itu. Ini kerana dalam kitab-kitab fekah menyatakan bahawa imam solat fardu boleh menerima ganjaran. Oleh itu ganjaran yang diterima bukan untuk terawih tetapi untuk solat fardu.


No comments: