Friday, June 28, 2013

Anekdot Ulama 52: Ustaz Abdul Qadir dan Kitabnya

Banyak perkara yang saya tidak mengetahui tentang orang yang saya mengenalinya. Al Marhum Ustaz Abdul Qadir Hasan antara individu yang saya kenali tetapi tidak banyak maklumat peribadinya saya tahu. Berasal dari Kelantan. Tinggal di Segambut. Beliau pernah belajar di Deoband. Dia adalah abang angkat Maulana Mohd Asri Darul Kauthar. Ustaz Abdul Qadirlah yang menjaga maulana ketika maulana dikirimkan oleh keluarganya untuk menghafal Al-Quran di Deoband. Waktu itu maulana masih kecil. 

Saya mengenali Ustaz Abdul Qadir setelah diperkenalkan oleh sahabat untuk proses mendapatkan visa ke India. Ustzlah yang menjadi perantara antara kami dengan kedutaan India di Kuala Lumpur. Yang saya tahu ustaz pernah bekerja dengan Pusat Islam sewaktu awal-awal penubuhannya. Selepas itu ustaz berhenti dan menjadi pendakwah bebas. Hampir semua pejabat mengenali ustaz kerana ustaz  mengajar di suaru-surau pejabat pada waktu tengahari. 

Saya tidak tahu bahawa Ustaz mempunyai kebolehan mengarang sehinggalah saya dihadiahkan oleh seorang pelajar Basooir, Nik Mohd Farid sebuah buku hadith karangan Ustaz. Nik antara orang yang banyak mengetahui tentang Ustaz kerana sempat berguru dengannya. Buku itu berkenaan ilmu Mustalah Hadith sebanyak 2 jilid. Buku bersaiz kecil. Jilid pertama 156 mukasurat manakala jilid kedua 160 mukasurat.  Dicetak dalam tulisan jawi oleh Pustaka Aman Press. Tidak diketahu bilakah ustaz menulis buku ini. Mungkin awal-awal tahun 70an kerana cetakan jilid pertamanya pada tahun 1975. Manakala cetakan pertama jilid kedua pada tahun 1985. Kemungkinan Ustaz menulis kitab ini sebelum ustaz sibuk dengan aktiviti mengajar di surau-surau dan di masjid-masjid. Seperti kitab-kitab mustalah yang lain ia hampir mencangkupi kesemua tajuk-tajuk asas yang penting dalam ilmu hadith iaitu tentang hadith Sahih, Hasan dan Dhaif.

Ustaz sudah tiada. Hanya kitabnya lah dapat berbicara. Semoga suatu hari nanti kitab ini diulang cetak agar ia tidak luput daripada pengetahui pembaca tentang khazanah-khazanah ilmu yang ditinggalkan oleh mereka yang terdahulu dan mendatangkan pahala yang berterusan buat Ustaz.

 Kitab Ilmu Hadith Ustaz Abdul Qadir Jilid 1

 Kitab Ilmu Hadith Ustaz Abdul Qadir Jilid 2


No comments: