Thursday, September 5, 2013

Kembara Deoband 59: Best Student Darul Uloom Deoband Maulana Lambak

Seperti yang disebut sebelum ini pertama kali saya mendengar nama Lambak ialah daripada guru saya sendiri Maulana Said Palnpuri ketika saya dan Roselan menziarahi beliau di rumahnya. Pada tahun 2004 sebaik sahaja pulang ke tanahair saya bertanya khabar tentang nama beliau tetapi tidak ada yang mengetahui. Pada tahun 2009 setelah saya menziarahi Deoband saya membawa balik buku daftar Darul Uloom Deoband yang menyimpan nama-nama pelajar luar negeri mereka yang lama-lama. Saya dapati nama Lambak ada tertera di dalamnya. Ini memudahkan saya mencarinya kerana disertakan bersama alamat Maulana. Apabila Al-Akh Lotfi Yusuf dapat menjadi lecturer di UniSZA beliau memberitahu saya Maulana Lambak mengajar di surau TGH Abbas dan beliau ada juga mengikuti pengajiannya.

Saya bersama Hamizi, Mohd Azri, Kamarudin dan Nik Farid bertolak dari Kuala Lumpur pada pukul 8.30 pagi tanggal 5/9/2013 dalam ekspedisi kami untuk menziarahi Maulana. Jam 1.00 tengahari kami sampai di Tepoh, Kuala Terengganu dan makan tengahari di situ. Setelah makan kami solat di Masjid Wakaf Tembusu yang terletak berdekatan dengan rumah Maulana Lambak yang hanya dipanggil sebagai ustaz sahaja oleh pelajar-pelajar dan penduduk di kawasan itu. Selesai solat kami ke Surau tempat Maulana mengajar kerana Lotfi sedang menunggu di situ untuk membawa kami ke rumah Maulana. Sebelum itu saya sudah membuat temujanji dengan Maulana melalui Lotfi. Maulana menunggu-nunggu kedatangan kami. Rumah Maulana di seberang jalan utama setentang dengan surau beliau. Sebaik sahaja kami sampai Maulana sudahpun keluar dari rumah untuk menyambut kedatangan kami.



Kami dipelawa untuk masuk. Nampaknya Maulana tidak banyak protokol. Walaupun umur sudah menjangkau 80 tahun Maulana kelihatan kuat dan sihat. Sebelum ini saya terfikir-fikir bagaimana hendak bercakap dengan orang yang sudah lanjut usianya. Tentu dia penat. Tentu dia kurang dengar. Tentu dia cerewet. Tapi semua anggapan itu meleset. Maulana kelihatan kuat, pendengaran masih baik dan tidak cerewet.

                                                  Di hadapan Masjid Wakaf Tembusu: Dari Kiri:                                                                                         Kamarudin, Ibnnawi, Nik Farid, Hamizi dan Mohd Azri

Surau TGH Abbas tempat Maulana Lambok mengajar

Maulana pergi ke India pada tahun 1955 ketika berusia 19 tahun. Beliau menaiki kapal laut dari Singapura bersama dengan 9 orang pelajar lain ke Calcutta. Perjalanan mengambil masa 2 hari untuk sampai ke Calcutta. Dari Calcutta menaiki keretapi yang mengambil masa 3 hari 3 malam terus ke Deoband.

Sebelum ke Deoband Maulana sudahpun alim. Banyak kitab yang telah dipelajari di merata-rata pondok termasuklah pondok-pondok di Kelantan. Beliau adalah anak murid Tok Guru Hj Abbas satu zaman dengan TGH Abdul Aziz Nik Mat. TGH Nik Aziz  senior beliau dan pergi ke India lebih awal. Maulana mengakui TGH Nik Abdul Aziz sudahpun alim sebelum pergi India lagi dan juga seorang yang fasih bertutur bahasa Arab. Kalau dalam bidang Nahu Maulana sudahpun mempelajari kitab setinggi Syarah Ushmuni oleh Ali b. Muhammad b. Isa. Kalau Fekah sudahpun mempelajari Mahalli. Maulana masih mengingati tokoh-tokoh ulama dan pusat-pusat pengajian agama di Kelantan semasa beliau berada di situ. Malah beliau masih mengingati nama-nama anak beranak tokoh-tokoh ulama tersebut. Begitu juga kisah-kisah yang tidak jemu telinga mendengarnya. Antaranya anak-anak Tok Khurasan (1875-1944) dan mereka yang menjadi anak murid Tok Khurasan dan Tok Guru Haji Abbas (w.1997) seperti  Ustaz Yusuf Zaki Yakob (1928-1999). Maulana mengisahkan bagaimana Tok guru Haji Abbas suatu hari pergi ke rumah Ustz Yusuf Zaki dalam keadaan kaki yang penuh dengan selut (lumpur). Kerana menghormati Tok Guru Ustz Yusuf Zaki terus mempelawa Tok Guru masuk tanpa harus membasuhnya. Saya buat rumah ini untuk Tok guru, tok guru masuklah sampai ke katil sekalipun, pijak kapet sekalipun. Kata ustaz Yusuf Zaki.

Maulana/Ustaz Lambak



Tok Guru Haji Abbas, Mertua Maulana Lambak

Walaupun sudah alim Maulana tetap cintakan ilmu. Maulana tidak terus memasuki pengajian yang tinggi di Deoband sesuai dengan tahap kealiman Maulana. Malah bermula dari bawah. Walaupun sudah alim dalam nahu beliau tetap ingin mempelajari kitab nahu yang digunakan di Deoband. Maka belajarlah Maulana kitab nahu seumpama Kafiah dan Syarah Jami. Maulana sangat meminati pelajaran nahu sehingga mengambil kesempatan ketika berada di Deoband untuk menghafal matan Alfiyah Ibnu Malik. Maulana juga menumpukan kepada mata pelajaran ilmu alat seperti Mantik, Falsafah dan Balgahah. Dalam bidang mantik Maulana telah mempelajari kitab setinggi Sullamu l-Ulum dan Qadi Mubarak. Dalam bidang Balghah kitab setinggi Mukhtasar Maani dan Mutawwal. Usul Fekah pula sehingga Husami dan Taudih wa t-Talwih. Antara kitab yang dipelajari oleh Maulana di Deoband selain Sunan Sittah ialah Hujjatullah Balighah (rahsia syariat Islam), Syarah Aqaid Nasafiyah, Musayarah, Musamarah, Hashiyah Khayali (akidah), Dewan Mutannabi, Maqamat Hariri, Dewan Hamasah, Sab`ah Muallaqat (adab arabi), Tafsir Jalalain, Tafsir Baidawi (tafsir), Faizul Kabir (usul tafsir), Mishkat (hadith), Syarah Nukhbah (usul hadith), Nurul Anwar, Musallamu Subut (usul fekah), Siraji (faraid), Tasrih dan Syarh Chagmini (ilmu falak), Rashidiah (munazarah), Fawaid Makkiyah (tajwid) dan banyak lagi.
Beliau juga banyak meluangkan masa mengajar pelajar-pelajar Malayasia yang lain.


Antara guru-guru Maulana pada waktu itu ialah:
Maulana Fakhrudin Ahmad ((1889-1972))- Bukhari
Maulana Mohd Ibrahim Balyawi (1886-1967)- Tirmizi, Muslim
Maulana Syed Fakhrul Hasan (1905-1967)– Baidawi, Abu Daud
Maulana Naim –Sullam, Mukhtasar Ma`ani
Maulana Mian Asghar  Husein- Hidayah 1.
Maulana Mirajul Haq – Hidayah 2 (Saya sempat menemui beliau ketika berada di Deoband tahun 1989)
Maulana Qari Tayyib (1897-1983)- Hujjatullah Balighah
Maulana Mohd Salim- Tarjamatul Quran
Maulana Anzar Shah (1929-2008)- Tarjamatul Quran
Maulana Nasir Ahmad Khan (1918-2010)-Jalalain

Menurut maulana Mufti Darul uloom waktu ialah Maulana Mahdi Hasan (1883-1976). Mufti Mahdi pandai bertutur bahasa Arab tetapi kata Maulana dia tak pandai mengajar. Dia mempunyai daya ingatan yang kuat. Maulana yang pandai mengajar pada waktu itu ialah Maulana Fakhrulhasan. Saya mencelah: "Saya mengakuinya kerana saya memilki kitab syarah Baidawi dalam bahasa Urdu yang ditulis oleh Maulan Fakhrulhasan. Gaya penyampaiannya mudah dan teratur". 



Bergambar di rumah Maulana


Maulana-maulana yang menjadi Sheikhul hadith kami pada waktu saya di Deoband (1989-2004) adalah maulana-maulana yang hanya mengajar kitab-kitab bawah sahaja di zaman Maulana Lambak seperti Maulana Naim (w.2007), Maulana Anzar Shah (w.2008), Maulana Nasir Ahmad Khan (w.2010) dan Maulana Salim (hayat).


Tahun akhir yang diduduki oleh Maulana, yang merupakan tahun pengajian hadith secara seratus peratus, mempunyai sebanyak dua ratus lebih orang pelajar. Dalam peperiksaan akhir Maulana Lambak telah berjaya mendapat tempat yang kedua. Tempat pertama diduduki oleh Maulana Said Palanpuri (guru saya). Ketiga oleh Maulana Fakhruzaman (adik guru kami Maulana Wahiduzaman Kiranawi). Maka tidak heranlah Maulana Said memberitahu saya bahawa Lambak seorang yang sangat pintar (woh bahut zahin hai).

Mulanya Maulana juga bercadang ke Mesir apabila tamat Darul Uloom. Akan tetapi beliau meneruskan pengajian takhassus untuk mempelajari beberapa kitab yang lebih tinggi terutama dalam ilmu usul. Setelah itu Maulana terus pulang ke tanahair. Beliau hampir-hampir menjadi calon PAS waktu itu kerana semasa pulang pilihanraya sedang dalam proses untuk diadakan. Kata Maulana Allah tidak mentakdirkan beliau dalam bidang politik. Kawan-kawan yang lain ramai yang menjadi calon. Ada yang menang ada yang kalah. Beberapa individu yang terdapat di dalam buku register yang saya bawa dikenali oleh Maulana terutama yang sezaman dengan beliau. Hampir kesemuanya meninggal dunia. Yang hidup semuanya dalam keadaan uzur. Semoga Allah memberikan kesihatan yang sejahtera kepada mereka. Semoga suatu hari nanti kami dapat berkunjung lagi ke Terengganu untuk menziarahi mereka.

Semasa belajar di Darul Uloom Maulana tidak pergi ke mana-mana melainkan berkurung di Deoband sahaja. Beliau juga tidak pernah pulang bercuti sehinggalah tamat belajar. Maulana diberikan single room yang terletak di bawah bilik guru besar (darul Ihtimam). Biasanya hanya pelajar pintar sahaja diberikan single room. Maulana juga banyak menghabiskan masa di perpustakaan Darul Uloom, perkara yang jarang-jarang dilakukan oleh pelajar madrasah. Ini menunjukkan bahawa Maulana tidak berpada dengan buku teks malah ingin mengali masalah yang ada di dalamnya dengan lebih mendalam.

Maulana berkawin dengan anak TGH Abbas dari isterinya yang kedua. TGH Abbas seorang yang berharta. Beliau memberikan tanahnya untuk Maulana mendirikan rumah berdekatan dengan rumah  dan surau beliau. Kemudian Maulana bekerja dengan kerajaan sehinggalah pencen pada usia 55 tahun. TGH abbas juga mewasiatkan kepadanya agar menyambung tugasnya mengajar kerana orang lain tidak mempunyai kecenderungan untuk mengajar walaupun menjadi anak muridnya. Selepas itu Maulana mula mengajar di surau tersebut dan di masjid-masjid. Sehingga kini Maulana telah berjaya menamatkan 6 kali pengajian Bukhari. Setiap kali khatam mengambil masa 6 tahun. Maulana juga mengajar kitab Fekah Syafie bawahan, Muhazzab, Al Um, Tafsir Baidawi dan banyak lagi kitab. Kata Maulana Deoband adalah lubuk ilmu dan tempat yang berkat. Maulana-maulana yang ada di situ semuanya berkat sebab itulah semua kitab dapat dikhatamkan dalam masa yang singkat. Kita semua sibuk dengan dunia. Maulana Deoband juga mempunyai banyak keramat menurut Maulana. Antaranya kisah ruangan kosong dalam kelas Daurah Hadith, dari turun temurun dikosongkan antara kedudukan maulana yang mengajar dengan pelajar-pelajar yang duduk di hadapan. Katanya ruangan itu khas untuk jin. Antarnya seorang pelajar  pintar sengkatan dgn Maulana yang hilang ilmunya dek kata-kata seorang guru dengan nada kemarahan akan mengambil semua ilmu yang ada padanya kerana derhaka ia kepada guru. 

Rumah TGH Abbas mertua Maulana selaku gurunya
 yang terbiar di atas tapak tanah TGH Abbas yang 
luas di hadapan rumah Maulana

Maulana juga telah menunjukkan kepada kami kitab-kitab simpanannya. Ada yang disimpan di rumah dan ada yang diletakkan di surau. Dalam perbualan itu Maulana ada menyebut tentang kitab tarajim abwab Bukhari dalam bahasa arab yang dikarang oleh gurunya Maulana Fakhrudin Ahmad (1889-1972). Maulana Fakhrudin adalah anak murid Sheikhul Hind (1851-1920) dan Maulana Anwar Shah Kashmiri (1875-1933). Saya pertama kali mendengarnya atau terlupa ttg kewujudannya. Saya hanya memilki syarah Bukhari dalam bahasa Urdu oleh Maulana Fakhrudin. Saya membelek-belek kitab itu. Maulana memahaminya. Akhirnya Maulana mengizinkan saya membawa pulang kitab tersebut. Menurut Maulana Lambak, Maulana Fakrudin waktu itu sudahpun tua. Berjalanpun harus dipapah seperti juga Maulana Zakariya Kandahlawi (1898-1982) di Saharanpur. Kami juga meminta daripada Maulana agar memberikan kepada kami ijazah bagi semua riwayat hadith yang Maulana terima daripada guru-guru Maulana. Beliau dengan berbesar hati telah melafazkan lafaz ijazah kepada kami bagi kesemua marwiyaat beliau.

Kitab Tarajim Abwab Bukhari, Al Qaul Al Fasih, karangan 
Maulana Fakhrudin yg saya bawa pulang





Sebahagian Sanad Hadith Maulana Lambak



Maulana Menunjukkan Sanadnya sambil 
dilihat oleh Lotfi dan Ibnnawi


Begitulah serba sedikit tentang Maulana Lambak, nama yang cuba ditukar oleh anak Tok Kenali kepada Abdullah tetapi tidak menjadi kerana kuatnya pengaruh nama yg tetera pada kad pengenalan. Begitulah Maulana Lambak nama yang tidak dikenali ramai tetapi mempunyai sejarah hebat yang tersendiri. Itulah Maulana Lambak pelajar yang didoakan oleh gurunya untuk berkhidmat kepada ilmu sehingga penghujung hayat. Semoga Allah menjadikan kita termasuk ke dalam golongan orang yang sentiasa menuntut ilmu dan berkhidmat untuk ilmu walau di mana kita berada, walau usia hampir menjamah bumi.

Dalam Daftar Persatuan Bekas-Bekas Pelajar Darul Uloom Deoband tertera nama beliau seperti berikut:
Nama: Maulana Lambak,
Tahun Tamat Belajar: 1382H/1962
Alamat: Lambak bin Ibrahim, Kampong Jerim, Kuala Neros, Terengganu, Malaysia


Daftar Pelajar Malaysia Alumni Darul Uloom Yang diambil 
di Darul Uloom Deoband tahun 2009 Tertera nama Lambak

3 comments:

Anonymous said...

Assalaamu 'Alaykum
Muhtaram,

I have gone through a few pages of your blog and although I am not able to understand Malay it has been informative. Would you be willing to translate these biographies of Malay 'Ulama for our blog: ulamadeoband.wordpress.com

Please let me know

Requesting duas
Was-salaam

Zaharudin Nawi/Aji said...

Assalamualaikum wbt,
There are some of my fb friends who are willing to help you to translate the biographies. How to send you?
Wslm

Zaharudin Nawi/Aji said...

Contact me: znawi2000@yahoo.co.in