Friday, August 29, 2014

Anekdot Ulama 58: Hamzah Yusuf



Dalam tahun 90an Yusuf Abdullah, seorang rakan kami keturunan India-Yaman yang merupakan warganegara US telah membawa pulang ke Deoband kaset-kaset Hamzah Yusuf yang sedang popular di sana ketika bercuti pada bulan Ramadhan. Saya tumpang mendengarnya. Kuliahnya pada waktu itu lebih berbentuk turath jika dibandingkan 'falsafah". Kuliahnya begitu bersemangat persis cara Arab berpidato. Mungkin kesan lama di tanah Arab. Pakaiannya pun lebih condong kepada pakaian timur Tengah dan afrika Utara dgn berserban daripada berkot. Dalam satu kaset ketika menghuraikan hadith Muwata` beliau mengatakan misdaq dajjal itu ialah komputer, kapal laut.....dan sebagainya yang digambarkan oleh penguasaan teknoloji moden yang dikatakan New World Order.

Lama kelamaan kuliahnya beralih kepada "falsafah" umum tentang Islam. Mengutamakan nilai-nilai universal kemanusiaan yang boleh menjadi titik tolak kepada pendekatan dakwah untuk masyarakat Barat di US. Akhirnya beliau menjadi lebih terkenal. Wawasannya ingin didengari di dewan-dewan kuliah para cediakawan. Maka lahirlah Zaituna yang seperti Istac di Malaysia sebagai wadah beliau mendidik generasi Amerika yang beliau impikan.

Kini beliau di Malaysia. Ramai yang hadir dalam majlis beliau daripada pelbagai latarbelakang minda. Semua mempunyai andaian tersendiri tentang pemikiran dan hala tuju Hamzah Yusuf.

Seperti di India, saya mendengar kasetnya tanpa menemuinya, hari ini juga ketika dia di Malaysia saya mendengar berita tentangnya tanpa menghadiri majlisnya. Saya tidak dukacita kerana tidak menghadiri majlisnya apatah lagi menemuinya kerana saya tahu Hamzah Yusuf tidak kecewa jika seseorang tidak menghadiri majlisnya tetapi berbuat sesuatu untuk thaqafah ilmu dan agamanya.

No comments: