Tuesday, September 2, 2014

Kitab Madkhal Maulana Abul Hasan Ali An Nadawi

Hari ini saya masih mengemas kitab di rak buku kerana semasa buat studio Basooir hari itu banyak kitab dipindahkan dan diletakkan dimerata-rata tempat.Oleh kerana sukar mencari kitab untuk rujukan terpaksalah saya kutip semula dan susun mengikut subjek. Tiba-tiba saya menemui sebuah kitab kecil dalam bahasa Urdu tentang "Pengenalan kepada pengajian ilmu Hadith" oleh Maulana Abul Hasan Ali An Nadawi. Kitab ini adalah kitab terjemahan daripada kitab asalnya dalam bahasa Arab berjudul "Al-Madkhal ila Diraasaat al-Hadith al-Nabawi al-Syarif". Saya pernah membacanya suatu ketika dahulu tetapi terasa seolah-olah macam belum lagi membacanya. Saya meletakkannya berasingan kerana berhasrat untuk membaca prakata dalam buku tersebut semula selepas berkemas. Bila selesai menyusun kitab saya mengambilnya dan cuba membaca mukadimahnya sampai habis.

Mukadimah yang ditulis oleh Bilal Abd Hayie Hasani itu sangat menyentuh perasaan. Selama ini Maulana Abul Hasan hanya dikenali sebagai tokoh Sastera Arab dan juga pemikir Islam. Jarang mengetahui beliau seorang yang alim dalam ilmu tafsir dan hadith.

Diceritakan bahawa semasa beliau belajar ilmu hadith secara talaqqi dengan gurunya Maulana Haider Hasan Khan, Maulana Abul Hasan menggunakan manuskrip yang amat unik kerana tidak ada orang yang memilki kitab yang sedemikian unik. Kitab itu adalah warisan daripada keluarganya. Kitab itu berasal daripada Maulana Qutubul Huda Hasani yang merupakan anak murid kepada Shah Abd Aziz Dehlawi (1745- 1823). Maulana Qutubul Huda Hasani menyalin kitab itu daripada gurunya Shah Abdul Aziz. Beliau juga mencatat nota-nota penting (hawashi) daripada kuliah gurunya. Kemudian kitab ini digunakan oleh bapa Maulana Abul Hasan iaitu Maulana Abdl Hayie Lucknowi ketika beliau bertalaqqi dengan gurunya Sheikh Husein Arab. Beliau juga menulis hawashinya sendiri. Apabila tiba giliran Maulana Abul Hasan mengaji Tirmizi abang beliau Dr. Sayyid Abd `Aliy Hasani memberikan kitab itu kepada beliau untuk digunakan sebagai teks pengajian. Maulana juga menulis hawashi ke atas kitab Tirmizinya itu.


Maulana Abul Hasan juga sempat mengajar ilmu hadith di Nadwatul Ulama. Beliau pernah mengajar kitab-kitab hadith yang besar termasuklah Tirmizi dan Bukhari. Maulana juga banyak menulis mukadimah kepada kitab-kitab syarah hadith seperti kitab-kitab syarah hadith yang ditulis oleh Maulana Zakariya Kandahlawi.

Dalam kesibukan hidupnya Maulana tidak pernah mengabaikan membaca kitab hadith. Di akhir hayatnya Maulana menjadikan kegiatan rutin mendengar bacaan kitab Bukhari yang dibacakan kepadanya. Kadang-kadang menyebut nokhtah-noktah penting daripada hadith yang didengarinya itu.

Kitab "Madhal ila Dirasat al-Hadith al-Nabawi al-Syarif" ini dikarang diakhir hayat beliau iaitu kira-kira empat atau lima tahun sebelum beliau meninggal dunia.

Semoga Allah menjadikan kita seperti Maulana Abul Hasan yang istiqamah dengan ilmu hingga ke akhir hayat. Itulah dia akhlak kecintaan kepada ilmu pengarang kitab Qisasun Nabiyyin, Qiraat Rashidah dan Mukhatarat Adab Arabi yang digunakan oleh Basooir.

No comments: