Sebuah kitab sampai kepada saya berjudul Kitab Inamul Bari (إنعام الباري). Sebelum itu seorang rakan dari US bertanyakan saya tentang kitab itu. Dia menanyakan saya samada saya memiliki kitab itu atau tidak kerana pada waktu kami belajar dahulu kami belum mendengar tentang adanya kitab Inamul Bari. Pada waktu itulah baru saya mengetahui tentang kehadiran kitab Inamul Bari. Ia adalah sebuah kitab syarah Bukhari. Setakat ini ia dibukukan dalam tujuh jilid. Jilid kelapan akan menyusul yang akan dimulai dengan kitab Bad`ul Khalq (بدء الخلق). Ditulis dalam bahasa Urdu kerana asal syarahan hadis Bukhari yang dilontarkan ialah dalam bahasa Urdu. Sebenarnya ia adalah kumpulan catitan anak-anak murid terhadap pengajaran hadis Bukhari oleh Maulana Taqi Uthmani selama beberapa tahun. Setiap tahun pengajaran Bukhari ditamatkan pada bulan Rejab atau Sya`ban di madrasah beliau Madrasah Darul Uloom Karachi. Oleh itu catitannya adalah suatu susunan semula merangkumi pengajaran di tahun-tahun yang berlainan. Di benua India catitan seumpama itu dinamakan sebagai Taqrir (تقرير) atau Ifadat (إفادات). Dengan kata lain ia termasuk dalam kategori amali (أمالي). Antara kelebihan Inamul Bari ialah perbahasannya tentang sesebuah hadis tidak panjang. Tetapi cukup padat. Oleh itu ia membantu mempercepatkan pembaca berpindah daripada satu hadis kepada hadis yang lain. Sekali gus mempercepatkan khatam Bukhari dengan bantuan sedikit syarahan. Hal ini sangat penting kerana hadis Bukhari tersangat banyak dan sukar untuk menghabiskannya jika dibaca tanpa syarah. Di samping taqrir Bukhari Maulana Taqi Uthamani juga mempunyai taqrir Tirmizi. Taqrir-taqrir ulama Deobandi sebegini sudah banyak dikumpulkan dan menjadi sumber rujukan di kalangan pelajar dan pengajar. Bertiti tolak kepada kepentingannya ini Maulana Zakariya Kandahlawi telah mengambil inisiatif menyusun kembali beberapa amali pengajaran hadis dalam bahasa Arab terutama amali Maulana Rashid Ahmad Gangohi yang dicatatkan oleh ayahandanya Maulana Yahya Kandahlawi. Jika diberikan masa yang cukup oleh Allah swt saya bercadang untuk menulis satu artikel tentang satu analisa terhadap Amali pengajaran hadis Ulama Deoband sebagai satu pendedahan kepada masyarakat pencinta hadis terhadap perkembangan ilmu hadis di India. Insyaalah.
No comments:
Post a Comment