Sunday, May 6, 2012

Buku: Balada Pyanhabib, Anak Apak dan Mu`jam Tasrif

Pameran buku antarabangsa berakhir semalam tanggal 6 Mei. Dalam pukul tiga setengah saya bertolak dari rumah. Pukul 4 sampai di hentian Putra. Susah untuk mendapatkan tempat parking kerana ramai yang ingin mengambil kesempatan hari terakhir pameran buku. Setelah meneliti hampir kesemua boot pada hari sebelumnya, saya mengambil keputusan utk membeli 3 buah buku sahaja di samping 2 buah buku utk Ziyad dan Zuhair. Buku-buku itu ialah Balada Pyanhabib, Anak Apak dan Mu`jam Tasrif Afal Arabiyyah.

1-Balada Pyanhabib ialah koleksi puisi-puisi penyair Pyanhabib. Buku ini dikeluarkan oleh Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dan dilancarkan pada ptg hari tersebut. Saya sempat mendengar Pyanhabib dan beberapa tokoh sastera yg lain mendeklamsikan puisi masing-masing. Bagi yang sudah lama bersama dgn Pyanhabib mereka turut menceritakan beberapa pengalaman terutama ttg pengalaman mereka bersama Pyanhabib dalam persatuan karyawan "Anak Alam" sekitar tahun 70an. Saya bukan seorang yang puitis. Ketika belajar di Darul Uloom Deoband saya didedahkan dgn bahasa-bahasa puitis Urdu, Parsi dan Arab. Hampir kesemua Maulana menyulamkan pengajaran mereka dalam kelas dengan keratan-keratan syair yang indah-indah. Kadang syair Urdu, kadang syair Parsi dan kadang syair Arab. Malah ada di kalangan mereka mempunyai nama Pena sebagai penyair. Mereka juga kritis terhadap syair. Bekas Mufti Pakistan, Maulana Mufti Syafi` misalnya pernah mengkritik syair Iqbal sebagai kurang selamat daripada segi dini jika dibandingkan dengan syair Akbar Ilahabadi. Namun syair Iqbal lebih memberi kesan (ta`thir) kpd pendengar yang menurut anak Mufti Syafi` iaitu Mufti Taqi Usmani mungkin kerana perbezaan uslub penyampaian. Menurut beliau Akbar Ilahabadi byk menggunakan uslub "ta`ridh" yg kurang memberi kesan untuk pengislahan masyarakat. Mereka juga membaca Dewan Ghalib, koleksi Mirza Assadullah Beg Khan (1797-1869), pujangga Urdu India terulung. Selain syair Urdu, syair-syair Parsi juga menjadi kebiasaan ulama Deoband. Sekurang-kurangnya mereka telah mempelajari syair2 Gulistan dan Bustan Sa`di semenjak awal pendidikan lagi. Dari segi tasawuf peringkat tinggi mereka menerokai keindahan puisi Mathanawi Jalaluddin Al Rumi. Guru Mufti Syafi`, Allamah Muhaddith Anwar Shah Kashmiri sendiri amat peka dengan syair-syair Arab. Beliau mempunyai kemampuan untuk membezakan kefasihan dan kebalaghahan tulisan Mutannabi, Hariri, Hamdani dsb. Malah dia sendiri byk menulis syair Arab. Penyair mempunyai deria maknawi yg peka. Kebanyakkan penyair menyelongkar kesemua anjung yg mereka pandang menyebabkan kalam mereka bercampur aduk di antara bicara ttg keadilan, kemiskinan, keindahan, kemanusiaan, dengan kalam ttg perempuan, arak, berahi, duka nestapa, kekecewan etc. Adakah puisi Pyanhabib termasuk dalam kelompok nasi campur ini. Sambil berjenaka ketika mengulas Balada Pyanhabib yg bertajuk Taman, Prof. Siti Zainon yg juga rakan "Anak Alam" seangkatan dgn Pyanhabib, mengejutkan saya dgn kata-kata, "Porno juga Pyanhabib nih!!!!" apabila beliau melalui rangkap Baladanya yang berbau sedemikian. Membaca dan meriwayatkan syair-syair sebegini adakah salah. Hal ini telah dijawab dgn panjang lebar oleh, Sheikh Abdul Qahir Jurjani (the father of Ilmu Balaghah) dlm kitab beliau Dala`il al `Ijaz.

2-Anak Apak ialah sebuah memoir wartawan Subki Latif. Buku ini juga dilancarkan pada hari yang sama sebaik sahaja selepas majlis pelancaran buku Pyanhabib. Saya tidak berganjak dari majlis itu. Terus sahaja memasang telinga mendengar bedahan buku beliau itu. Pak Subki menceritakan bagaimana beliau boleh terlibat dlm bidang kewartawanan padahal cita-citanya adalah menjadi Tok Guru seperti ayahnya dan begitulah ayahnya menaruh harapan agar dia akan menjadi anak apak (anak bapa) mewarisi ilmu dan tugasnya di Manjung. Ayahnya pernah belajar di India. Pak Subki memang tidak asing dalam dunia penulisan akhbar terutama akhbar Harakah. Namun sebelum itu Pak Subki telah bekerja dgn Utusan selama 11 tahun, kurang separuh drp Pyanhabib iaitu selama 23 tahun. Semasa di India saya suka membaca buku-buku memoir. Dengan membaca buku-buku memoir kita boleh mengetahui ttg keadaan dan fenomena zaman yg dilakarkan daripada sudut yg pelbagai. Memoir yang saya kagumi ialah kisah Muhammad Asad memeluk Islam yg dirakamkan dalam bukunya The Road to Mecca. Buku-buku Kushwant Singh juga saya gemari kerana ia menceritakan ttg keadaan masyarakat majmuk India semasa British dan di awal-awal kemerdekaan.Tak kurang juga memoir ulama-ulama Deoband spt Ap Beti oleh Maulana Zakariya dan seumpamanya spt Sawanih Qasimi berkenaan dgn Maulana Qasim Nanutawi, Tazkirah Rashidiyah berkenaan dgn Maulana Rashid Ahmad Gangohi, Al Balagh Terbitan Khas berkenaan Mufti Syafi,  dan Dr Abd Hayi Arifi,  5A, Zeldar Park Maulana Maududi ki Asri Majalis ttg Maulana Maududi, Rozgari Faqir tentang pujangga Islam Allamah Iqbal dsb.

3- Mu`jam Tasrif Afal Arabiyyah ditulis oleh Anton Dahdah, seorang kristian Lebnon, juga penulis buku Mu`jam Qawaid Al Lughah Al Arabiyyah, sebuah buku nahu secara berjadual yang tidak asing lagi di kalangan peminat nahu. Amat menakjubkan kerana beliau adalah bekas prajurit dan juga bekas duta Lebnon di Brazil. Menghasilkan banyak buku-buku Arab berbentuk mu`jam. Buku ini amat berguna kerana ia menghuraikan tasrif dlm bentuk jadual. Mudah dilihat dan dibuat perbandingan antara suatu sighah dgn sighah yg lain. Ia menghilangkan kekusutan terhadap jalaran sighah yang banyak dan komplikated . Antara kelebihannya juga ialah, kerana ketelitian dalam pengeditan, kebarangkaliannya yg besar sunyi daripada kesalahan penandaan baris yg biasa berlaku kpd kebanyakan buku-buku ilmu saraf. Wazan-wazan kata kerja yang diberikan adalah komprehensif melebihi 16 ribu kata kerja. Kesemua wazan yg dicatatkan itu diambil drp pelbagai kitab samada drp sumber turath maupun modern.

No comments: