Friday, June 1, 2012

Fathul Mughith, Terima Kasih Puan Syarifah

Di akhir-akhir tahun 90an saya diberi kesempatan oleh Allah mempelajari kitab usul Hadith karangan Ibnu Hajar Asqalani dan muqaddimah Abdul Haq Dehlawi di Darul Uloom. Dengan sebab itu saya mula mengetahui kitab-kitab usul hadith yang lain. Banyak sumbernya. Ada yang melalui pengajaran guru. Ada yang melalui bacaan sendiri. Ada yang melalui pemberitahuan kawan-kawan. Ada yang melalui sumber percetakan. Antara sumber informasi yang saya perolehi tentang cetakan kitab terbaru di India ialah melalui majalah mereka berbahasa Arab Ba`th Islami dan Sautul Ummah. Majalah Sautul Ummah tahun 1997  yang sampai kepada saya telah mengiklankan ttg penerbitan sebuah kitab Usul Hadith yang besar karangan anak murid Ibnu Hajar Asqalani iaitu Allamah Sakhawi. Namanya Fathul Mughith. Ia dicetak oleh percetakan Ahli Hadith (Salafiyah) di Varanasi. Varanasi terletak jauh dari Deoband. Satu-satu cara untuk mendapatkan kitab itu ialah melalui pos. Saya sangat berkeinginan untuk memilki kitab tersebut. Ia tiada di Deoband. Disebabkan masalah yg tidak dapat dielakkan saya tidak dapat membeli kitab itu sehinggalah saya pulang ke tanahair tanpanya.

Namun hati saya sentiasa mengingati kitab Fathul Mughith. Suatu hari saya akan memilkinya. Itulah bisikan hati kecil saya. Setelah hampir 9 tahun meninggalkan India tiba-tiba saya didekati oleh seorang pencita ilmu yang hanya dikenali sebagai  Puan Syarifah. Kata beliau, "Saya nak ke Kuwait, Ustaz. Ustaz nak kirim apa-apa kitab tak?". Saya keberatan untuk mengirim maklumlah nanti menyusahkan beliau pula. Lagipun Kuwait bukan tempat kitab, tentu sukar mencarinya. Tetapi melihatkan beliau begitu bersungguh hendak mencari kitab, saya katakan "Fathul Mughith oleh Sakhawi".

Selang beberapa minggu beliau pergi, saya menerima talipon mengatakan bahawa beliau sudah pulang dan membawa kitab tersebut. Kata beliau kitab itu 4 jilid. Amat sukar menemuinya di Kuwait. Kami berjanji bertemu di UM untuk menyerahkan kitab tersebut. Saya bertanyakan harganya tetapi Puan Syarifah mengatakan ianya hadiah utk Ustaz. Dua kegembiraan saya perolehi. Pertama kerana dapat memegang kitab tersebut setelah 16 tahun mengimpikannya. Kedua kerana ia sebagai hadiah yang tidak disangka-sangkakan.

 Fathul Mugith hadiah drp Puan Syarifah

Iklan Fathul Mughith dlm majalah Sautul Ummah 1997
Setelah membelek heliannya saya mendapati bahawa naskah tersebut adalah naskah tahkik ulama Varanasi India yang sama seperti yang saya impikan dahulu. Subhanallah, Alhamdulillah!!!!. Ia termasuk dua naskah yang paling bagus daripada 7 naskah yang dikenalpasti. Naskah Varanasi dikatakan naskah pertama yang ditahkikan secara cermat. Mereka memulakannya lebih awal daripada ulama Arab. Pada tahun 80an naskah Varanasi sudah berada dalam pasaran India. Idea ini dicetuskan oleh bekas-bekas penuntut Madrasah Salafiyah Varanasi yang melanjutkan pelajaran mereka di Saudi. Merekalah yang mendapatkan manuskrip lama untuk dihantar ke India. Manakala manuskrip India waktu itu telahpun ditahkik oleh Maulana Habiburahman `Azami tetapi tidak lengkap. Itulah uniknya India. Mereka bergelut dengan ilmu. Mereka tidak sekadar belajar dan mengajar tetapi juga melakukan penyelidikan walaupun dengan kemudahan yang terhad.Bagaimana pula dengan ulama kita?

1 comment:

Anonymous said...

Salam ustaz. boleh ustaz ceritakan serba sedikit ttg kaum wanita islam di deoband/india? bagaimana kehidupan seharian mereka, pakaian mereka dan di mana mereka mendapatkan pendidikan agama? serta secara umumnya, bagaimana ttg sistem di india, adakah menindas hak2 asasi org islam di sana? terima kasih ustaz