Thursday, January 23, 2014

Sistem Lunar dan Solar


Masyarakat dunia semenjak dahulukala menggunakan tarikh tertentu dalam menetapkan perayaan, upacara, musim, dan berbagai-bagai perkara yang signifikan dalam kehidupan mereka. Oleh itu lahirlah berbagai-bagai sistem takwim dalam sejarah tamadun bangsa. Di antara yang terpenting ialah kalendar yang menggunakan sistem lunar dan sistem solar.
 
Kebanyakan tamadun dunia dahulukala menggunakan sistem lunar atau qamariyah dalam menetapkan kalendar mereka. Kalendar Lunar tertua yang masih digunakan hingga sekarang ialah di Cina iaitu semenjak kira-kira 2,698 Masihi yang lalu. Hitungan satu bulan lunar atau qamariyah ialah sebanyak 29 hari, 12 jam, 4 minit dan 2.98 saat.Ia dikira daripada jarak antara dua penglihatan anak bulan. Kalendar Hijrah Islam adalah antara yang menggunakan sistem kalendar lunar. Setiap bulan dalam kalendar Islam mengandungi 29 atau 30 hari.
 
Manakala kalendar berasaskan sistem solar digunakan dengan meluas hari ini oleh masyarakat antarabangsa. Sistem ini menggunakan asas kalendar Gregoria yang pada asalnya adalah hasil pengubahsuaian kalendar Julian yang diasaskan oleh pemimpin Rom; Julius Caesar. Mengikut hitungan kalendar ini satu tahun dibahagikan kepada 12 bulan. Purata bilangan hari dalam satu tahun ialah 365 hari, 5 jam, 49 minit and 12 saat.
 
Dengan menggunakan alat gergasi astronomi moden, ahli sains mendapati bahawa perbezaan antara tahun Solar dan tahun Lunar adalah tepat sebanyak 10.875137 hari. Dalam erti kata yang lain, setiap 33 tahun terdapat perbezaan sebanyak 358 hari antara tahun Solar dan tahun Lunar iaitu lebih kurang jangka masa satu tahun. Ini bermakna setiap 100 tahun Solar akan bersamaan dengan 103 tahun Lunar. Manakala 300 tahun Solar pula akan bersamaan dengan 309 tahun Lunar.
 
Ketepatan pengiraan yang dilakukan oleh ahli sains ini bukanlah suatu perkara yang baru kerana Al-Quran sudah pun dari awal menyatakannya. Di dalam surah Al Kahfi, ayat 25 ketika mengisahkan tempoh masa pemuda-pemuda yang mendiami gua itu tertidur, Allah berfirman:
 

Dan mereka tinggal di dalam gua mereka tiga ratus tahun dan ditambah sembilan tahun lagi.”

 
Ulama tafsir dalam memberi komentar terhadap ayat ini, menyatakan bahawa 300 tahun mengikut perkiraan Solar adalah bersamaan 309 tahun mengikut perkiraan Lunar. Justeru, kenyataan santifik dan mufassir menambahkan kenyakinan terhadap keluarbiasaan Al-Quran dalam menyatakan sesuatu peristiwa.
 
Rujukan:
Mukjizat Ilmiyah Dlm Al Quran- Muhammad Kamil Abdul Samad
http://www.nabulsi.com/english-nab/scien topics/Allah%27s%20Signs%20in%20The%20Universe/solarluneryear.php
http://www.riverocean.org.uk/lunarcalendar/calendar.htm
http://en.wikipedia.org/wiki/Gregorian_calendar

 
Oleh : Zaharudin Nawi

No comments: