Rosetta adalah sebuah bandar pelabuhan di Mesir, terletak kira-kira 65 km daripada Alexandria. Ia dikenali sebagai Rosetta oleh dunia Barat, sebaliknya di Mesir ia terkenal dengan nama Rashid. Bandar ini telah melakarkan sejarah yang amat penting dalam memahami sejarah Mesir dahulu kala.
Dalam tahun 1798 Napoleon Bonaparte telah melancarkan serangan ke
atas Mesir. Setahun selepas itu, pada tahun 1799, satu kejadian
dramatik telah berlaku di mana tentera Perancis Napoleon telah menemui
sebuah batu bersurat ketika mereka sedang menggali tanah untuk membina
kubu. Batu itu kemudiannya terkenal dengan nama Rosetta Stone di kalangan ahli-ahli pengkaji Mesir Purba.
Penemuan batu bersurat Rosetta telah membuka satu dimensi baru kepada
pakar-pakar Egyptologi dalam memahami simbol tulisan hieroglif Mesir
purba. Tulisan Mesir purba dilakarkan dalam bentuk simbol atau lukisan
yang sukar difahami yang dinamakan hieroglif. Semenjak penaklukan
kerajaan Rom ke atas Mesir pada tahun 391 Masihi, tulisan-tulisan mereka
mulai pupus kerana monumen-monumen bertulis telah banyak diruntuhkan
oleh kerajaan Rom pada waktu itu. Oleh itu hampir 1,500 tahun simbol
hieroglif tinggal sebagai misteri kerana tiada siapa lagi yang tahu
menterjemahkannya ke dalam bahasa yang boleh difahami.
Pada tahun 1814 Thomas Young seorang saintis British telah berjaya
memecahkan sebahagian besar kod hieroglif pada batu Rosetta. Kemudian
pada tahun 1822 Jean-Francois Champollion seorang pakar bahasa berasal
daripada Perancis telah berjaya memecahkan kod hieroglif itu sepenuhnya.
Champollion bukan setakat dapat memecahkan kod hieroglif batu Rosetta
malah mencatatkan asas-asas penting dalam memahami konsep penulisan
hieroglif Mesir purba.
Kaedah yang dikemukakan oleh Champollion telah menjadi petunjuk
kepada ahli sejarah untuk membolehkan mereka membaca peninggalan
bertulis hieroglif Mesir yang lain. Dengan itu kajian tentang tamadun,
keagamaan serta kehidupan sosial masyarakat kuno Mesir dapat dilakukan
secara lebih ilmiyah dan terperinci.
Penemuan batu Rosetta oleh tentera Napoleon dan pemecahan kod
hieroglifnya oleh Champollion bukan setakat dapat merungkai misteri
sejarah Mesir purba kala malah ia dapat memecahkan misteri perkataan Haman yang dipertikaikan penggunaannya di dalam Al-Quran oleh sejarawan semantik.
Menurut mereka tidak ada Haman yang hidup sezaman dengan Nabi Musa. Sejarah yang tercatat mengenai Haman
ialah selaku perdana menteri kepada seorang raja Parsi bernama
Ahasuerus kira-kira 1,100 tahun selepas Nabi Musa. Apakah Haman yang
terdapat di dalam Al-Quran hanya semata-mata lagenda?
Persoalan ini terjawab melalui hasil pemeriksaan yang dilakukan oleh
pakar-pakar Egyptologi ke atas sebuah monumen Mesir yang terdapat di
museum Hof di Vienna. Hasil penelitian ke atas kajian oleh pengkaji
sejarah Mesir Walter Wreszinski dan Hermann Ranke, pakar-pakar
Egyptologi mendapati bahawa ejaan Haman sememangnya ada di dalam teks
tulisan hieroglif monumen tersebut dan dia dikatakan sebagai orang yang
mempunyai kedudukan yang rapat dengan Firaun.
Kenyataan ini diperkuatkan oleh kamus Ranke yang menulis bahawa Haman
merujuk kepada “ketua kepada pekerja-pekerja kuari”. Ranke juga
memasukkan Haman ke dalam kalangan tokoh-tokoh orang yang hidup di Era Baru Kerajaan Mesir Kuno.
Penemuan ini menolak dakwaan Haman sebagai tokoh lagenda dan
menyokong apa yang disebutkan oleh Al-Quran dalam Surah Al-Qasas,ayat
38:
“Dan berkata Fir`aun: Wahai pembesar kaumku, aku tidak mengetahui tuhan bagimu selain aku. Maka bakarlah wahai Haman untukku tanah liat, kemudian buatlah untukku bangunan yang tinggi supaya aku dapat naik melihat Tuhan Musa, dan sesungguhnya aku benar-benar yakin bahawa dia termasuk orang-orang pendusta”.
Al-Quran dengan terangnya menyebut bahawa Haman adalah orang yang
bertanggugjawab dalam pembinaan bangunan. Manakala ahli sejarah semantik
secara umumnya lebih cenderung menerima teori bahawa zaman Nabi Musa
hidup ialah zaman Era Baru Kerajaan Mesir Kuno.
Bukti tentang kewujudan Haman melalui pembacaan tulisan hieroglif ini
adalah suatu kebenaran tentang kemukjizatan Al-Quran kerana kenyataan
Al-Quran mendahului maklumat manusia yang diperolehi melalui penemuan
sejarah mereka.
(Oleh: Zaharudin Nawi)
No comments:
Post a Comment