Hubungan keagaman antara Benua India dengan rantau Nusantara sudah terjalin sekian lama. Begitu juga hubungan keilmuan Islam antara negara India sendiri dengan Tanah Melayu kita sudahpun melakarkan sejarahnya yang tersendiri. Kita agak kecewa kerana ditinggalkan sejarah tanpa sebarang peninggalan ilmiah yang membolehkan kita berbangga dengan kesungguhan ulama-ulama kita meneroka dunia, bermusafir untuk melengkapkan diri dengan ilmu-ilmu Islam yang berkaitan dengan al-Quran dan Hadith Nabi saw. Tidak ramai yang peka terhadap sejarah ini. Walaubagaimanapun, kita masih beruntung kerana adanya orang seperti Almarhum Haji Wan Soghir yang telah mewakafkan dirinya mengumpulkan semula khazanah ulama-ulama Nusantara terutama ulama-ulama kita di Patani sebagai bekalan di masa hadapan untuk generasi yang akan datang.
Semasa saya berkelana ke bumi India pada tahun 1989 dan menziarahi institusi-institusi pengajian agama di sana saya dikejutkan dengan satu hakikat bahawa rupa-rupanya ramai sekali ulama-ulama tersohor di negara kita pernah singgah di bumi India dan menceduk ilmu yang mereka belum temui di tanah air mereka. Mungkin kita pernah mendengar nama-nama seperti Tok Khurasan, Tok Guru Haji Abbas, Tok Guru Nik Aziz Nik Mat, Dr Abd Hayie Abd Syukur, bekas Mufti Selangor Ustaz Ishak Bahrom dan Maulana Mohd Asri Darul Kausar. Mereka ini sekadar contoh popular pernah menjejak kaki ke tanah gersang bumi yang dinamkan sebagai Bharat di dalam bahasa Sanskrit dan Hindustan dalam lagenda sejarah. Hati saya sentiasa tertanya-tanya siapakah orang Malaysia yang pertama datang ke India pada masa pemerintahan British yang kerananya berlakulah kesinambungan kedatangan pelajar-pelajar Melayu berkelana ke bumi yang penuh dengan khazanah peninggalan beberapa tamaddun penjajah. Waktu pemergian saya tidak ramai pelajar Melayu yang belajar di sana. Sekitar belasan orang atau dalam lingkungan dua puluhan. Ianya semakin berkurang dari setahun ke setahun kerana yang telah selesai terus sahaja pulang atau menyambungkan pelajaran ke negara-negara Arab. Pelajar baru hampir boleh dikatakan tidak ada langsung kerana masalah kesusahan untuk mendapatkan visa pelajar untuk belajar di institusi agama. Dalam pada itu saya sempat menemui beberapa peninggalan penting pelajar-pelajar awal melayu kita di India. Diantara apa yang terpenting yang mereka tinggalkan ialah satu register senarai pelajar-pelajar Malaysia yang datang belajar agama di India dikelolakan oleh persatuan mereka pada kala itu. Kalau tak silap ianya seawal sebelum negara kita merdeka. Register itu telah dihantar pulang melalui post dan alhamdulillah ianya telah selamat sampai. Kini ianya telah diserahkan ke Arkib Negara melalui seorang rakan di Kota Bharu yang berkerja dengan Arkib Negara. Beliau pernah juga melawat India pada satu ketika dahulu.
1 comment:
Assalamu'alaykum, blog yang bagus. Saya tumpang lalu. Seronok baca tentang India. Saya tak tahu byk, saya cuba mendengar tentang Deoband dan Lucknow sahaja. Tima kasih.
Post a Comment