Monday, July 30, 2007

Kitab Siri 4 - Hidayatul Nahw (هداية النحو)

Hidayatul Nahw adalah sebuah kitab nahu bahasa Arab yang tidak asing lagi dikalangan penuntut ilmu turath bermanhajkan kurikulum Dars Nizami. Dari segi level ianya boleh diletakan diperingkat pertengahan seumpama kitab Matan Mimmah, sebuah kitab nahu yang digunakan di pondok-pondok di Malaysia, Patani dan Indonesia. Kitab Hidayatul Nahw dikarang oleh seorang alim yang berasal dari India. Beliau adalah Sirajuddin Uthman al-Chisti, al-Nizami, al-Oudhi. Meninggal pada tahun 758H. Diceritakan bahawa Sheikh Sirajuddin hanya mengambil masa hanya enam bulan saja untuk menguasai ilmu dars nizami.

Saturday, July 28, 2007

Kitab Siri 3-Talkhisul Miftah (تلخيص المفتاح)

Kitab talkhisul miftah (تلخيص المفتاح) adalah sebuah kitab turath yang menyentuh permasalahan ilmu balaghah. Kitab ini termasuk kitab yang digunakan sebagai kurikulum di kebanyakan institusi yang masih berpegang kepada penggunaan kitab-kitab turath sebagai teks pengajian. Talkhisul Miftah dikarang oleh seorang ulama yang terbilang dari Qazwain, tempat lahir Imam Ibn Majah. Beliau adalah Muhammad bin Abd Rahman dilahirkan pada tahun 666H menurut Hafiz Ibn Hajar. Kuniyyahnya Abu Abdillah. Laqab atau gelarannya banyak. Antaranya, Abul Ma`ali ( أبو المعالي), Jalaluddin (جلال الدين )dan Qadhil Qudhoh ( قاضي القضاة). Allamah Qazwain pernah dilantik menjadi kadi di daerah di sekitar Rom semasa berumur hanya 20 tahun. Ini menunjukan bahawa beliau seorang yang pintar lagi cerdas. Selain dari itu beliau juga pernah menjadi khatib di Masjid Jamek Dimashq dan kadi di Mesir. Beliau meninggal dunia pada 15 Jamadil Ula 739H kerana mengidap penyakit lumpuh.

Friday, July 27, 2007

India dan Ulama Tanah Melayu

Hubungan keagaman antara Benua India dengan rantau Nusantara sudah terjalin sekian lama. Begitu juga hubungan keilmuan Islam antara negara India sendiri dengan Tanah Melayu kita sudahpun melakarkan sejarahnya yang tersendiri. Kita agak kecewa kerana ditinggalkan sejarah tanpa sebarang peninggalan ilmiah yang membolehkan kita berbangga dengan kesungguhan ulama-ulama kita meneroka dunia, bermusafir untuk melengkapkan diri dengan ilmu-ilmu Islam yang berkaitan dengan al-Quran dan Hadith Nabi saw. Tidak ramai yang peka terhadap sejarah ini. Walaubagaimanapun, kita masih beruntung kerana adanya orang seperti Almarhum Haji Wan Soghir yang telah mewakafkan dirinya mengumpulkan semula khazanah ulama-ulama Nusantara terutama ulama-ulama kita di Patani sebagai bekalan di masa hadapan untuk generasi yang akan datang.
Semasa saya berkelana ke bumi India pada tahun 1989 dan menziarahi institusi-institusi pengajian agama di sana saya dikejutkan dengan satu hakikat bahawa rupa-rupanya ramai sekali ulama-ulama tersohor di negara kita pernah singgah di bumi India dan menceduk ilmu yang mereka belum temui di tanah air mereka. Mungkin kita pernah mendengar nama-nama seperti Tok Khurasan, Tok Guru Haji Abbas, Tok Guru Nik Aziz Nik Mat, Dr Abd Hayie Abd Syukur, bekas Mufti Selangor Ustaz Ishak Bahrom dan Maulana Mohd Asri Darul Kausar. Mereka ini sekadar contoh popular pernah menjejak kaki ke tanah gersang bumi yang dinamkan sebagai Bharat di dalam bahasa Sanskrit dan Hindustan dalam lagenda sejarah. Hati saya sentiasa tertanya-tanya siapakah orang Malaysia yang pertama datang ke India pada masa pemerintahan British yang kerananya berlakulah kesinambungan kedatangan pelajar-pelajar Melayu berkelana ke bumi yang penuh dengan khazanah peninggalan beberapa tamaddun penjajah. Waktu pemergian saya tidak ramai pelajar Melayu yang belajar di sana. Sekitar belasan orang atau dalam lingkungan dua puluhan. Ianya semakin berkurang dari setahun ke setahun kerana yang telah selesai terus sahaja pulang atau menyambungkan pelajaran ke negara-negara Arab. Pelajar baru hampir boleh dikatakan tidak ada langsung kerana masalah kesusahan untuk mendapatkan visa pelajar untuk belajar di institusi agama. Dalam pada itu saya sempat menemui beberapa peninggalan penting pelajar-pelajar awal melayu kita di India. Diantara apa yang terpenting yang mereka tinggalkan ialah satu register senarai pelajar-pelajar Malaysia yang datang belajar agama di India dikelolakan oleh persatuan mereka pada kala itu. Kalau tak silap ianya seawal sebelum negara kita merdeka. Register itu telah dihantar pulang melalui post dan alhamdulillah ianya telah selamat sampai. Kini ianya telah diserahkan ke Arkib Negara melalui seorang rakan di Kota Bharu yang berkerja dengan Arkib Negara. Beliau pernah juga melawat India pada satu ketika dahulu.

Dars Nizami

Jarang kita mendengar ungkapan Dars Nizami. Malah mungkin inilah julung kali ianya didengari. Kepada mereka yang pernah belajar di madrasah-madrasah bersistemkan pengajian madrasah ala India-Pakistan, Dars Nizami seharusnya tidak asing bagi mereka. Namun, malang sekali kerana tidak ramai yang mengetahuinya walaupun bertahun-tahun menuntut ilmu di bawah naungan apa yang dinamakan Dars Nizami itu.

Sebenarnya, Dars Nizami adalah satu curriculum pengajian islam yang disusun oleh Allamah Mulla Nizamuddin Firinggi Mahall (d.1748). Ia mula digunakan semasa pemerintahan kerajaan Islam Mongol India dibawah naungan Sultan Alamghir Aurengzeb (1619-1707). Tetapi, kurikulum ini bukanlah semata-mata lahir dari idea Mulla Nizamuddin, malah ianya terbentuk lanjutan dari susunan ulama-ulama terdahulu sebelum Mulla Nizamudin seperti Mir Fathuallah Syirazi, Mulla Abd Salam Lahori, Abd Salam Deiwi, Mulla Danial Churasi, Mulla Qutubuddin Sahali, Mulla Qutubuddin Shams Abadi, Mulla Amanullah Banarasi dan akhirnya final polish oleh Mulla Nizamuddin. Setelah runtuhnya kerajaan Islam Mongol melalui penjajahan British, kurikulum ini menjadi merosot dan tidak terarah. Ia kemudian dihidupkan kembali oleh sebuah institusi agama ala Al-Azhar Mesir yang diberi nama sebagai Darul Uloom Deoband. Ia ditubuhkan secara terancang pada tahun 1886M di sebuah kampung (pekan) bernama Deoband yang terletak kira-kira 153km (kira-kira 4 jam dengan keretapi ekspres) ke utara dari ibukota India yaitu New Delhi. Walaupun Dars Nizami telah melalui rentetan pindaan dari semasa ke semasa, namun kurikulum baru diperkenalkan tetap menggunakan namanya yang asal Dars Nizami sebagai menghormati sumbangan Mulla Nizamuddin. Hakikatnya, pengajian kitab-kitab turath di benua kecil India dewasa ini adalah pengajian kitab-kitab Dars Nizami dengan acuan pemikiran Shah Waliyullah Dehlawi (1702-1763). Sejarah lanjut tentang Dars Nizami boleh diperolehi dari kitab berbahasa Urdu Tarikh Darsi Nizami oleh Maulana Mumshad Ali Qasimi.

Kitab Siri 2 - Matan Miatu Amil ( مائة عامل)

Sebelum ini kita sudahpun mengenali kitab syarah miatu `aamil. Kali ini marilah kita mengenal pula matan kepada syarah miatu amil. Kitab miatu `aamil adalah hasil karya seorang ulama agung dalam bidang nahu yang bernama Abd Qahir bin Abd Rahman.Di antara karya-karya beliau yang sekian banyak kitab miatu `aamil adalah karya beliau yang paling masyhur dan mendapat sambutan yang begitu hebat dikalangan ahli ilmu.Satu perkara yang menakjubkan tentang Sheikh Abd Qahir ini ialah beliau hanya memiliki seorang guru sahaja di dalam bidang nahu.Guru beliau itu adalah Abu al-Husain Muhammad bin al-Husain yang merupakan anak saudara kepada Abu Ali Farsi. Sheikh Abd Qahir juga telah mengarang satu syarah kepada kitab al-iidhaah, ( الإيضاح ) yang ditulis oleh Abu Ali Farsi. Beliau mmeninggal dunia pada tahun 471H.

Kitab Siri 1 - Kitab Syarah Miatu Amil (شرح مائة عامل )

Kitab ini adalah sebuah kitab nahu bahasa Arab. Ia dikarang oleh seorang ulama yang bernama Abd Rahman bin Shamsuddin Ahmad Al-Asfhaani terkenal dengan gelaran Jami, juga dipanggil dengan gelaran Imaaduddin dan Nuruddin.Beliau dilahirkan di Khurasan pada tanggal 23hb Syaban 817H. Salasilah keluarga pengarang kitab syarah miatu amil ini berasal dari keturunan Imam Muhammad, murid Imam Abu Hanifah.

Kitab ini sebenarnya memuatkan seratus amil (عامل) yang lazim digunakan di dalam bahasa Arab.Oleh itu, ia sangat sesuai diajar diperingkat permulaan pembelajaran ilmu nahu beriringan dengan kitab-kitab nahu ibtidai seperti matan Al-Jrumiyyah, Nahu Mer dan seupamanya. Oleh kerana kemasyhurannya, kitab ini telah dijadikan sebagai teks wajib bagi madrasah-madrasah di benua kecil India yang terdiri dari negara seperti India, Pakistan dan Bangladesh.

Ia bermula dengan khutbah pengarang:
بسم الله الرحمن الرحيم، الحمد الله على نعمائه الشاملة وألائه الكاملة، والصلوة على سيد الأنبياء محمد المصطفى.....اعلم أن العوامل في النحو...مائة عامل
dan diakhiri dengan perbahasan mengenai amil feel mudhaari`:
وعند الكوفيين أن عامل الفعل المضارع تجرده عن العامل الناصب والجازم وهو مختار
ابن مالك رحمه الله

Salam Perkenalan

Assalamualaikum
Salam perkenalan dari Aji. Semoga kita semua mendapat rahmat dari Allah.

Jumpa lagi..
Wassalam