Thursday, December 10, 2009

Anekdot Ulama 10: Iqbal Di Masjid Cardova


Pada tahun 1933 Iqbal telah melakukan lawatan ke beberapa buah negara di dunia termasuklah Sepanyol. Beliau tidak ketinggalan daripada melawat beberapa buah bandar di sana termasuk Cardova dan Granada. Di sana Allamah Iqbal sempat singgah di masjid Cardova yang sudah lama menjadi gereja. Sesampainya di gereja tersebut Iqbal meminta paderi di situ agar mengizinkannya bersolat di dalamnya. Paderi itu berat untuk menerima permintaan Iqbal. Kata Iqbal kepada paderi itu, "Kami orang Islam tak pernah bersikap begini dalam melayani tetamu sebagaimana kamu bersikap kepada kami". Sebaik sahaja mendengar teguran Iqbal, paderi itu termenung lalu meminta Iqbal menunggu sekejap. Dia perlu meminta izin daripada ketua paderi terlebih dahulu. Setelah paderi itu pergi Iqbal dengan tidak berlengah-lengah lagi terus sahaja bersolat di situ. Suatu hal yang menakjubkan kerana hampir tujuh ratus tahun selepas hilangnya pemerintahan Islam di Sepanyol Iqballah orang yang pertama dapat bersolat di masjid Cardova. Kata Iqbal, "Amat pelik kerana orang Islam memerintah Sepanyol hampir lapan ratus tahun namun tidak kelihatan kesan-kesan kewujudan umat Islampun di sini, paling tidak bekas tanah perkuburan mereka." Seolah-olah Iqbal ingin mengatakan apakah gerangannya penghapusan ini!!! (Rozgar -i- Faqir, vol 1, 47)

No comments: