Tuesday, December 1, 2009

Kembara Deoband 15 - Maulana Ismail

Saya dan Wan Nazarudin begitu bersemangat pagi itu. Loceng telah dibunyikan. Kami sudahpun berada di perkarangan Jama Masjid kerana kelas kami akan bermula mulai hari ini. Pelajar-pelajar bergegas-gegas memasuki masjid. Kesemuanya berpakain kurta pajama berwarna putih. Kopiah mereka juga putih. Masing-masing datang dan mengambil tempat duduk di kawasan tiang-tiang yang telah ditentukan untuk menjadi kelas mereka. Kami ditunjukkan di bahagian mana kelas kami. Kelas tahun dua. Mereka panggil kelas duum (دُومْ). Atau kelas Hidayatul Nahwi (هداية النحو) mengambil sempena nama kitab pelajaran nahu Arab di tahun dua. Mata asyik memandang ke sana-kemari melihat gelagat pelajar India di dalam kelas. Mereka juga berpaling ke arah kami. Mungkin mereka tahu kami pelajar baru kerana muka kami yang belum pernah mereka lihat. Hampir kesemua pelajar menghalakan pandangan ke arah kami. Terasa serba salah dibuatnya. Kata kawan-kawan usah hiraukan perangai orang India.

Lama menunggu ustaz tidak datang-datang. Hari ini mengikut jadual kami akan diajar nahu bahasa Arab. Kitab yang akan digunakan ialah Hidayah Al Nahw, karangan ulama India juga. Ianya ditulis berbahasa Arab. Selepas satu jam nanti kami akan diajar pula dengan mata pelajaran ilmu saraf. Kitab yang digunakan ialah Ilm Al Sighah. Juga hasil karangan ulama tempatan tetapi berbahasa Parsi. Sambil menunggu ustaz saya membelek-belek kedua-dua kitab tersebut. Saya tertanya-tanya bagaimana saya akan mempelajari kitab-kitab ini sedangkan saya tidak mengetahui bahasa Arab maupun bahasa Parsi. Kenapa untuk mempelajari ilmu saraf bahasa Arab saya perlu menggunakan kitab berbahsa Parsi. Apakah bahasa yang akan digunakan oleh guru nanti. Kalau bahasa Urdupun kami tidak juga akan faham kerana belum pernah mempelajarinya. Tidak adakah pengajian bahasa terlebih dahulu sebagai permulaan. Kenapa harus melompat ke tahun dua. Kenapa tahun dua hanya kami berdua. Tiada pelajar lain. Berbagai-bagi persoalan bermain di minda.

Dalam keadaan tenggelam mengelamun tiba-tiba muncul seorang lelaki tua berbaju putih dan berkain sarung biru. Agak pelik kerana hampir tiada ustaz yang datang ke kelas berkain sarung. Orangnya kurus dan tinggi. Hidungnya mancung. Warna kulitnya sawa matang kegelap-gelapan. Daripada raut wajah dan janggutnya mungkin beliau sudahpun memasuki umur 60an. Wajahnya yang serius menambahkan lagi bilangan umurnya. Di tangannya ada payung. Kemungkinan payung untuk pulang ke rumah nanti kerana balik nanti cahaya matahari akan terik memancar. Agaknya beliau berjalan kaki dari rumah. Beliau terus menghampiri kami. Tanpa memperkenalkan diri dia duduk di hadapan kami. Tetapi kami sudahpun mengetahui bahawa guru yang akan mengajar kami nahu Arab ialah Maulana Ismail kelahiran Deoband. Dia tidak duduk bersila. Kaki kirinya dilipatkan seperti duduk antara dua sujud. Kaki kanan diangkat seperti duduk ketika makan mengikut sunnah dalam Jemaah Tabligh. Beliau meminta kami membuka kitab dan membacanya. Dia tidak membawa apa-apa buku, nota atau kertas. Beginilah hal kesemua ustaz-ustaz/maulana-maulana di sini. Mereka membaca di rumah dan cuba mengingatinya. Mereka datang ke kelas sehelai sepinggang. Apabila memasuki kelas pelajar akan membaca teks. Maulana akan memberi syarahan terhadap teks yang dibaca sedikit demi sedikit dalam masa satu jam sehinggalah tamat kitab di penghujung sessi. Saya mendengarnya dengan serius tetapi tidak memahaminya. Kerana mempertimbangkan kami pelajar luar maka Maulana Ismail mengajar menggunakan bahasa Arab. Simple Arabic. Wan Nazarudin lebih faham kalam Maulana kerana dia datang dari Sekolah Mahaad Muhammadi Kota Bharu. Setelah lebih kurang sebulan lamanya mengajar Maulana tidak lagi datang. Kami kebingungan. Walaupun kami tidak memahami seratus peratus pelajaran tetapi kami tetap menunggu Maulana. Orang kata belajar berguru berkat. Maulana terus menghilang. Tiada kawan-kawan senior yang tahu tentang sebab Maulana Ismail ghaib.

Setelah beberapa lama masa berlalu akhirnya berita tentang Maulana sampai ke telinga kami. Maulana Ismail masuk penjara. Berlaku insiden pembunuhan di rumahnya. Tidak tahu siapa yang membunuh siapa. Maulana bukan orang yang membunuh. Tetapi Maulana mengaku bagi pihak keluarganya. Mungkin Maulana merasakan dia sudah tua dan biarlah dia yang menanggungnya. Lagipun perbicaraan di mahkamah India tidaklah begitu adil. Orang yang berpengaruh sentiasa menang. Maulana dari keluarga yang miskin dan daripada kelompok keturunan yang tidak berpengaruh. Mulai saat itu saya tidak lagi mendengar berita tentang Maulana. Apakah beliau telah dibebaskan atau sebaliknya. Kejadian yang berlaku kepada Maulana mengingatkan hari-hari pertama dia mengajar kami. Muka yang serius itu sebenarnya adalah petanda mungkin Maulana sedang berhadapan dengan masalah keluarga. Namun ilmu yang dicurahkan oleh Maulan tidak sia-sia. Saya sudahpun mengajar kitab Hidayah Al-Nahw sekembalinya ke tanahair. Semoga Allah memberi pahala kepada Maulana Ismail di atas jerih payah beliau mengajar kami walaupun tidak lama. Saya dapat merasakan bahawa Maulana tidak sunyi di penjara. Tidak merasa hina dipenjarakan. Bukankah Maulana mengetahui bahawa Nabi Yusuf as juga difitnahkan sehingga terpaksa baginda qiam di penjara untuk ke sekian waktu. Sesungguhnya ujian Allah Ta`ala tidak mengenal sesiapa.

No comments: