Sunday, August 29, 2010

Kembara Deoband 25: Beruntung Jika Ada Madrasah

Setiap mahallat sekurang-kurangnya ada satu masjid. Itulah fenomena di Deoband. Biasanya orang yang menjaga kebajikan masjid ialah seorang mutawalli yang dilantik oleh penduduk kawasan mahallat atau diwarisi daripada sebuah keluarga yang mengasaskan masjid itu. Tidak ada jawatankuasa masjid. Mutawallilah yang menentukan siapa imam dan siapa muazzin masjid. Begitu juga dengan pembayaran api air. Deoband beruntung kerana memiliki Darul Uloom. Hampir kesemua imam dan muazzin adalah pelajar Darul Uloom. Bilik untuk mereka disediakan oleh pihak masjid. Setiap masjid memiliki sekurang-kurangnya satu bilik untuk imam dan muazzin. Mereka akan tinggal di situ sepanjang menjadi imam dan sepanjang belajar di Darul Uloom. Tidak timbul soal clash dengan masa belajar kerana kelas Darul Uloom mengikut jadual solat. Tidak ada kelas ketika solat waktu. Kelas tengahari bermula selepas zohor. Setengah jam sebelum asar kelas akan tamat. Kalau ada kelas malam ia akan bermula selepas maghrib. Sebaik azan isyak dikumandangkan kelas akan berhenti. Jika ada sambungan ia kan dimulakan semula selepas solat isyak.

Berkenaan dengan makan minum imam dan muazzin ia disediakan oleh pihak mutawalli. Biasanya jiran-jiran di sekitar masjid akan menghantar makanan mengikut giliran masing-masing secara sukarela. Imam dan muazzin tidak dibayar apa-apa di atas tugasnya itu. Mereka hanya disediakan dengan tempat percuma dan makan percuma. Di Deoband tiada tahlil. Deoband fatwakannya sebagai bida`ah. Manakala majlis seperti tahlil itu biasanya diamalkan oleh golongan Beralawi iaitu golongan penyembah kubur. Iaitu kubur mereka yang dianggap sebagai wali-wali oleh mereka. Oleh itu imam dan muazzin tidak perlu keluar ke mana-mana. Mereka punya waktu yang cukup untuk mentelaah pelajaran.

Beruntung Deoband kerana ada madrasah seperti Darul Uloom. Kalau tidak masjid mereka akan menjadi seperti surau-surau di kawasan perumahan di negeri Selangor. Zohor dan Asar kadang tiada jemaah kerana tiada imam. Imam semua keluar mencari rezeki. Maghrib dan Isyak ada imam. Subuh juga kelam kabut kerana semua bergegas keluar awal mengejar waktu untuk mengelakkan kesesakan lalulintas.

4 comments:

Anonymous said...

1. semoga deoband terus dirahmati oleh Allah.

2. Ustaz, Dulu ada beberapa ustaz mengatakan hadith-hadith fadilat ramadan adalah palsu.

2-3 tahun ini saya terkeliru dengan beberapa hadith popular yg dikata daif. kalau boleh saya mahu kepastian daripada ustaz. hadith popular yg dikatakan daif itu ialah
a. jika orang tahu nilai ramadhan, nescaya mereka ramadhan sepanjang tahun.
b. awal ramadhan adalah rahmat, pertengahannya pengampunan dan akhirnya pembebasan daripada azab neraka.

betulkah hadith popular dikatakan daif?

3. untuk saya cadangkan ustaz menulis satu kitab kecil berkaitan hadith palsu dan daif berkaitan bulan ramadhan. Tajuk cadangan: PENJELASAN HADITH-HADITH DALAM BULAN RAMADHAN..

Terima kasih.

ridhwan

Zaharudin Nawi/Aji said...

1. Hadis لَوْ يَعْلَمُ الْعِبَادُ مَا فِي شَهْرِ رَمَضَانَ لَتَمَنَّى الْعِبَادُ أَنْ يَكُونَ شَهْرُ رَمَضَانَ سَنَةً diriwayatkan oleh Tabarani dalam Mu`jam Kabirnya. Hadis ini dhaif. Malah ada yang mengatakan dhaif jiddan hatta ada yang mengatakan maudhu`.
2. Hadis وَهُوَ شَهْرٌ أَوَّلُهُ رَحْمَةٌ،وأَوْسَطُهُ مَغْفِرَةٌ، وآخِرُهُ عِتْقٌ مِنَ النَّارِ diriwatakan oleh Ibn Khuzaimah dalam kitab Sahihnya. Hadis ini juga dhaif. Disebut oleh Ibn Hajar dan Aini tentang kedhaifannya.
3. Cadangan yang bagus. Insyaalah.

Anonymous said...

1. terima kasih ustaz.

2. kalau ustaz ada ruang dan masa, ceritakan kepada kami bagaimana ulama dan suasana masyarakat ilmuan deoband mencari lailatul qadar

ridhwan

Anonymous said...

Beberapa bulan yang lepas saya terbaca artikel ustaz tentang pelajar deoband bernama ustaz lambak. Beliau adalah menantu kepada Tuan guru Hj abbas Tok Jiring Terengganu. Sekarang masih mengajar di suraunya di Kg Tok Jiring kuala Trg bersebelahan SMKA Tok Jiring.