Tuesday, January 21, 2014

Kitab Al Abwab Al Muntakhabat Min Mishkat Al Masabih

Saya agak bertuah kerana dihadiahkan sebuah kitab hadith bertajuk `Al Abwab Al Muntakhabat min Mishkat Al Masabih` oleh seorang sahabat. Ia mengandungi banyak bab daripada kitab-kitab pilihan daripada kitab hadith Mishkat Al Masabih. Ia mencangkupi 8 kitab iaitu Kitab Iman, Ilmu, Fadhilat Quran, Doa, Jihad, Adab, Raqaq dan Fitan. Kitab ini diberi kata-kata aluan oleh Maulana Abul Hasan Ali An Nadwi, pendakwah, pemikir, dan saterawan Arab yang tidak asing di kalangan kita rakyat Malaysia.


Bab-bab ini adalah kumpulan hadith-hadith yang dipilih oleh Maulana Ilyas Kandahlawi, pengasas Jemaah Tabligh untuk tujuan dakwah. Ia dibaca kepada para pendakwah yang mengetahui teks Arab dalam jemaahnya. Tujuannya supaya pendakwah tidak lekang dengan sunnah. Selalu muhasabah diri ttg setakat mana mereka telah mengikuti pesanan-pesanan Nabi saw.

Kitab-kitab pilihan daripada Mishkat ini akhirnya dibukukan secara berasingan oleh Maulana Inamul Hasan, murid Maulana Ilyas yang merangkap Amir dalam jemaah tabligh juga suatu ketika dahulu. Beliau mula mentahkik hadith-hadithnya bersama dengan nota kakinya. Oleh kerana kesibukannya dalam program jemaah, tugas itu akhirnya diserahkan kepada Maulana Ilyas Barahbakwi yang pernah mentahkik kitab Hayatusahabah oleh Maulana Yusuf Kandahlawi (anak kepada Maulana Ilyas pengasas Jemaah tabligh sendiri).

Kitab ini sebenarnya boleh dikatakan silibus manhaj ta`lim Jemaah Tabligh di samping kitab Hayatusahabat, Adabul Mufrad dan Riyadhusalihin untuk mereka yang mengetahui bahasa Arab.

Saya bersyukur kerana saya sempat dengan Maulana Inamulhasan ketika di India dahulu. Walaupun saya tidak pernah mengikuti dakwah tabligh tetapi markaz Nizamudin merupakan tempat saya berlabuh jika saya ke Delhi. Saya akan mendengar bayan yang disampaikan oleh Maulana Inamulhasan dan Maulana Umar Palanpuri. Mereka adalah orang yang telah mewakaf seluruh kehidupan mereka untuk agama.

Berhati-hatilah daripada mengkritik Jemaah Tabligh kerana mereka dinaungi oleh para alim ulama yang tidak memisahkan diri daripada ilmu. Jika ada khilaf dalam manhaj dakwah cuma khilaf taqdim dan ta`khir. Matlamat sama. Ingin membawa manusia kepada `sa`adah daraini` yakni kebahagian dunia akhirat.


3 comments:

Amr said...

Ustadz, apakah kitab ini berbeza dengan kitab Muntakhab Ahadith

http://pustakaiman.blogspot.com/2011/11/muntakhab-ahadith.html

http://en.wikipedia.org/wiki/Muntakhab_Ahadith

Fajar Islam said...

Mohon share laman blog ni ye (: terima kasih

Fajar Islam said...

mohon share laman blog ustaz ye.. terima kasih