Jam 1.50 pagi engin pesawat dihidupkan semula untuk penerbangan selanjutnya. Selepas 10 minit pesawat kami mula meninggalkan landasan. Hati tertanya-tanya adakah pesawat ini hanya membekalkan coklat dan air sejuk sahaja utk penumpang di sepanjang penerbangan. Tak ada makanan yang berat-beratkah? Agaknya sebab itulah tambangnya murah. Kata orang di dalam pesawat penumpang akan dihidangkan dgn makanan tengahari, malam dan sarapan pagi. Perut sudah mula memainkan irama keroncongnya tanda bahawa ia sudah lapar. Tidak sia-sia berfikir tentang bila makanan akan dihidangkan. Tiba2 pramugara dan pramugari mula menolak troli berisi makanan menghala ke tempat duduk kami. Saya hanya menjamah burger ikan, kuih, buah tamar dan susu. Nasinya yg berisi kentang kari bersama yougort saya hulurkan kepada kawan2 Pakistan kerana mereka sudah biasa dgn kelazatannya. Saya tidak biasa dgn makanan yg seperti itu. Selepas sarapan mata kami semua mulai mengantuk dan kami terus tidur sehinggalah sampai ke Madras jam 5.35 pagi. Tepat jam 6.45 pesawat meninggalkan Madras menuju ke destinasi kami yg sebenar iaitu New Delhi. Sarapan dihidangkan sekitar jam 7.45 pagi. Telur, roti, jem dan betik. 8.30 pagi penumpang diminta memakai talipinggang masing-masing kerana pesawat akan mulai landing. Saya cuba menikmati pemandangan menerusi tingkap kecil pesawat. Dari udara kelihatan bangunan dan rumah-rumah di bandar Delhi seperti petak-petak sawah. Tidak ada bangunan pencakar langit yang mendongak ke atas. Tidak banyak jaluran sungai yang mencelahi tanah-tanah lapang. Tidak ada gunung dan bukit bukau yang memagari. Tidak ada pokok dan hutan yang menyelubungi. Jaringan jalan raya yang bengkang-bengkok agak jelas kelihatan. Suatu pemandangan yang amat berbeza dgn apa yang ada di tanahair. Jam menunjukkan pukul 9.00 pagi. Jantung berdebar-debar kerana terbayang-bayang kesukaran untuk melepasi kaunter imegresen nanti sebagaimana yang diceritakan oleh kawan-kawan dahulu. Takut mereka tak terima visa. Takut ditanya itu dan ini dan tak tahu hendak menjawabnya. Atau takut tersalah jawaban yang boleh mengundang ketidakpercayaan mereka bahawa kami datang untuk tujuan lain. Dalam asyik berfikir saya tidak menyedari bahawa saya sudah berada di dalam lapangan terbang antarabangsa Indra Gandhi. Syukur kepada Tuhan kerana akhirnya saya dapat memijak bumi India.
No comments:
Post a Comment