Walaupun sekejap bertandang namun Nadwatul Ulama meninggalkan kenangan yang sukar dilupakan terutama apabila dapat melihat sendiri Maulana Abul Hasan Ali An Nadwi (1913- 1999), seorang ulama yang dikenali seantero dunia. Maulana dikenali sebagai nama Ali Mian di India. Itu barangkali panggilan manjanya di sana. Waktu itu Asar. Selepas solat asar Maulana Abul Hasan akan bersila lama menghabiskan wirid peribadinya. Itulah disiplin dan adab seorang hamba dengan Tuhannya. Walaupun sesibuk mana manusia tidak seharusnya ia alpa kepada keperluan rohaninya. Amalan itu bukannlah buat seketika sahaja malah kata kawan-kawan di sini itulah amalan Maulana jika beliau berada di Nadwatul Ulama. Kemudian beliau akan duduk di perkarangan rumah tetamu bersebelahan dengan Masjid Nadwatul Ulama. Waktu itu Maulana akan diziarahi oleh berbagai-bagai lapisan masyarakat. Dari orang kampung (gaaun wale), pelajar (talibi ilm), murid (shaagir), cendikawan (pare likhe aadmi) hinggalah kepada orang-orang besar yang berpengaruh (bare-bare aadmi). Maulana akan duduk di atas sebuah kerusi dikelilingi oleh kerusi-kerusi kosong yang akan dipanasi oleh tetamu-tetamu yang bertandang secara bergilir-gilir. Suasana penuh dengan ketenangan. Maulana diam sahaja barangkali diam berzikir. Maulana jarang menyapa melainkan jika ditanya. Hadirin menghormati majlis. Mereka bercakap dengan penuh adab. Tidak meninggikan suara. Tidak bercakap sesama sendiri yang boleh menganggu majlis. Ada yang datang lalu terus bersalaman dengan Maulana, kemudian berlalu. Tidak lengkap rasanya ziarah ke Nadwatul Ulama jika tidak sempat menemui Maulana Abul Hasan. Itulah barangkali apa yang telintas di dalam hati masing-masing apabila diberi kesempatan memijak kaki ke tanah Nadwah. Mengikut kawan-kawan lagi itulah rutin harian Maulana. Malah itulah adat kebiasaan tok-tok guru di India. Mereka akan menemui tetamu pada waktu selepas solat asar.
Ali Mian
Pelajar Malaysia waktu itu paling ramai di kalangan pelajar2 asing. Mereka ditempatkan di sebuah hostel yang dikhususkan untuk pelajar luarnegeri (lil waafidiin). Kesemua bangunan terletak di dalam kawasan Nadwah termasuklah hostel pelajar. Pelajar daripada Thailand juga ramai. Dari Indonesia tidaklah begitu ada. Nisbah ini ialah suatu refleksi menunjukkan kekuatan pengaruh pengajian India di negara masing-masing. Yang pasti pelajar Malaysia datang belajar di India sejak sebelum merdeka lagi. Suasana pelajar agak ceria. Mereka punyai masa yang cukup untuk melayan tetamu kerana kelasnya hanya sampai waktu tengahari sahaja berbanding dengan Deoband sampai ke asar, malah kadang hingga ke malam. Keceriaan mereka mungkin terpancar dek hidup mereka secara berukhuwwah. Itulah tarbiyyah yang berjaya disemaikan oleh Maulana Abul Hasan An Nadwi dan guru-guru Nadwah.
Mereka memasak sendiri mengikut kumpulan masing2. Nasi dibekalkan oleh pihak Nadwah. Lauk mereka masak sendiri kerana tak selera makan makanan India sepanjang masa. Perencah-perencah mereka bawa dari rumah untuk setahun. Saban tahun di akhir bulan sya`ban ada sahaja yang pulang bercuti dan membawa bekalan bahan masakan. Sebulan Ramadhan madrasah cuti. Waktu tengahari dan malam hostel sibuk dengan aktiviti memasak di depan bilik masing2. Pagi mereka bersarapan di kantin. Mereka menggunakan stove untuk memasak. Itulah satu2nya alat yang digunakan oleh masyarakat kelas biasa di India pada waktu itu untuk memasak dan memanaskan air. Tiada dapur disediakan kerana asalnya makanan pelajar dibekalkan oleh pihak madrasah secara percuma. Pandai-pandailah buat dapur sendiri. Masakan sungguh lazat kerana kepelbagaian resepi; Malaysia, Thailand dan Indonesia.
Ada dapur sendiri juga kadang-kadang ada negatifnya terutama kepada orang-orang yang menuntut ilmu. Kata kawan-kawan ustaz2 di sini kadang-kadang merungut juga kerana pelajar foreigner asyik memasak. Masa banyak terbuang. Pengajian hingga ke tengahari sahaja di Nadwah salah satu tujuannya ialah untuk memberikan masa yang lebih kepada pelajar untuk membuat ulangkaji dan membaca buku2. Bukan untuk tujuan memberi keselesaan untuk memasak maggie atau mamee. Untuk tujuan menggalakan pembacaan terutama literature bahasa Arab yang berunsur Islam Maulana Abul Hasan telah banyak mengarang kitab. Dari sekecil-kecilnya hingga ke sebesar-besarnya. Dari untuk kanak2 hingga kepada untuk pemikir-pemikir dunia. Dari Qisasun Nabiyyiin hinggalah ke Maaza Khasirul `Aalaam bin hithaatil muslimiin. Ada yang dijadikan sukatan ada yang digalakan membacanya. Waktu itu amat berharga untuk seorang penuntut ilmu. Jika benar-benar belajar terasa masa tidak mencungkupi. Kalau dahulu ulama-ulama terpaksa menggalas perut dengan hanya bertih-bertih beras semasa menuntut ilmu, tetapi zaman kebelakangan ini kita terlalu mewah dengan makanan sehingga membawa kepada pembaziran masa dan pembaziran harta. Itulah barangkali kenapa ilmu mereka berkat. Keberkatan itu boleh dilihat daripada hasil usaha mereka yang digunakan sepanjang zaman. Kehidupan mereka dijunjung. Akhlak mereka dipuji. Amalan mereka dicontohi. Nama mereka disebuti. Pemergian mereka ditangisi......
Setelah melihat Nadwah dan kehidupan guru-guru dan penghuninya terdetik di hati saya untuk datang semula ke Nadwah setelah tamat belajar di Deoband nanti. Bukan sebagai pengungjung setia tetapi sebagai seorang penuntut yang ingin menceduk ilmu dan tunjuk ajar dari guru-gurunya. Mudah-mudahan ilmu saya bertambah. Bahasa Arab saya indah, kefahaman terhadapnya mendalam. Akan terasa manis, akan terasa zauq apabila membaca ungkapan-ungkapan adabinya. Itulah keinginan saya. Angan-angan saya. Angan-angan ingin belajar di Nadwah terutama dalam Takhasus Fil Adabil Arabi, kelas tinggi pengkhususan dalam bidang Sastera Arab. Nama yang sinonim dengan kemasyuran Maulana Abul Hasan Ali An Nadwi yang pernah menjawat jawatan sebagai Ketua Kesasterawan Arab, Rabitah Alam Islami.
No comments:
Post a Comment