Saturday, November 7, 2009

Kembara Deoband 8 - Tarikh Keramat 22 Julai 1989

Perjalanan pulang dari Lucknow lebih mententeramkan jiwa saya jika dibandingkan dengan perjalanan semasa pergi kerana saya dapat melihat sendiri Nadwatul Ulama dan membuat keputusan untuk belajar di mana selepas ini. Ianya sekali gus membuka ruang untuk saya berfikir tentang hakikat Islam di India. Betapa Islam di India begitu subur hidup dengan pengajian agama yang mantap walaupun ia tidak dinaungi oleh mana-mana pihak yg berkuasa. Tidak individu. Tidak juga pemerintah. Tidak kuasa dari dalam. Tidak juga kuasa dari luar. Malah ia dipelihara oleh kesedaran yg tinggi ummahnya. Dari petani hinggalah yang bekerja di pejabat. Dari orang kampung hinggalah orang bandar. Dari orang biasa (layman; aam aadmi) hinggalah orang yg berpelajaran (educated; pare likhkhe aadmi).

Di sepanjang perjalanan saya tidak jemu-jemu melihat pemandangan di luar sana. Pemandangannya cantik dan mengasyikkan. Tanahnya jarang kelihatan kosong. Kelihatan kesemuanya diusahakan terutama untuk kegiatan pertanian dan penternakan. Seharusnya tiada yang lapar di India melihatkan tanah yang diusahakan sedemikain rupa. Tetapi keadaannya sebalik. Ramai yang meminta kerana kelaparan. Ladang-ladang gandum dan tebu kelihatan subur menghijau. Kebun-kebun mangga terbentang luas. Kerbau-kerbau sedang meragut dan berkubang di dalam lumpur. Gembala-gembala kambing tenang menunggu ternakan mereka memakan daun-daun pokok di tepi-tepi rel keretapi. Kereta-kereta lembu sarat dengan batang-batang tebu yang hendak di bawa ke kilang-kilang gula. Burung-burung berterbangan berpuak-puak. Sesekali kelihatan kumpulan merak menari-nari kegembiraan. Fenomena membuang air besar di sesetengah kawasan di kala kereta api melintas kadang-kadang menganggu mata saya memandang keindahan alam semulajadi ciptaan Tuhan. Fikiran saya mula melangkau jauh mengingatkan saat-saat akhir meninggalkan bumi tercinta..

bil ghari (kereta lembu) yang sarat dgn tebu menuju ke kilang gula

merak menari-nari berdekatan dgn parit (nali ke qariib)

Penerbangan kami ke New Delhi dengan Air India 411 dijadualkan pada pukul 10.30 malam tanggal 21 Julai 1989. Ramai kawan-kawan datang ke airport Subang untuk mengucapkan selamat tinggal kepada saya. Fenomena keakraban ukhuwwah Islamiyyah tahun 80an sememangnya lumrah. Itulah berkat usaha daei-daei yang cintakan Islam di kala itu. Adik-adik junior UM Basri, Raja, Ismail, Khairi, Yahya, Khairul Nizam dan Hamdan turut hadir. Kawan-kawan serumah di Bangsar Shahini, Mazlan Shamsur, Roslan, Hishamudin, Shah Johan, Wan Baharudin, dan Nazman tidak ketinggalan bersama hingga ke saat akhir untuk berlepas. Penerbangan tiba-tiba ditunda hingga ke pukul 12.00 tengah malam. Boarding pass keluar Malaysia sudahpun dijatuhkan mohornya oleh pihak imigresen bertarikh 22 Julai 1989. Tarikhnya mungkin dikira daripada waktu sebenar kapalterbang akan berlepas. Ianya sudah tentu tarikh keramat buat diri saya. Tarikh ini adalah suatu realiti bahawa saya benar-benar akan meninggalkan tanahair. Selama ini ianya hanyalah sebuah impian yang tidak ketahuan apakah benar ia boleh menjadi kenyataan. Tetapi hari ini pada tarikh 22 Julai 1989, saat ini ketika jam berdetik 12.00 tgh mlm, ia bukan lagi suatu mimpi.

Sebelum ini saya sudahpun mendengar rungutan kawan-kawan mengatakan penerbangan dengan Air India memang menyusahkan. Kerap berubah masa. Banyak transit. Transit di Singapura. Transit di Madras. Namun apa boleh buat itulah antara penerbangan yang paling murah yang dapat diperolehi. Selain Air India penerbangan yang menjadi pilihan pelajar-pelajar kita untuk ke New Delhi kerana tambangnya yang murah ialah Air float Russia. Rata-rata yang hendak belajar di India tidak mendapat mana-mana biasiswa. Mereka perlu berjimat dalam apa jua suasana termasuklah dalam pemilihan jenama kapal terbang. Kesemua urusan tiket sebenarnya diuruskan oleh kawan-kawan yang sudah ada pengalaman ke Pakistan. Mereka lebih arif tentang tiket. Ke India dan ke Pakistan agaknya sama. Junaid, Abu Hashim, Abdul Rahman dan Umbaidillah kesemuanya pernah belajar di Pakistan dan kini mahu menyambung pelajaran di India pula. Jika saya dan Wan Nazarudin kami belum pernah keluar daripada Malaysia. Namun kami masih berbeza. Wan Nazarudin pernah belajar di sekolah Arab manakala saya bukan daripada aliran Arab atau agama. Sebelum ini kami semua belum mengenali antara satu sama lain. Kami dipertemukan oleh tujuan yang sama. Tujuan hendak mengembara menuntut ilmu di bumi India. Saya dan Wan beruntung kerana ada teman-teman yang sudahpun ada pengalaman berada di dalam airport. Tidaklah kami seperti rusa masuk kampung. Saya tidak kesah walaupun waktu ditunda asalkan jangan saya tidak dibenarkan terbang langsung. Tumpuan saya hanyalah satu iaitu mahu meninggalkan Malaysia dan sampai ke bumi India. Tidak kiralah pukul berapa. Saya tidaklah resah dan merungut kerana kelewatan. Sikap tidak merungut dan keluh kesah ini mungkin satu faktor besar kenapa saya betah tinggal lama di India. 1989 hingga 2004 sudah tentu lama masanya. Matlamat itu penting. Apatah lagi kalau ia adalah matlamat agama. Cinta kita kepada sesuatu menyebabkan sesuatu yang pahit semuanya dirasakan manis. Pukul 11.30 kami sudahpun berada di dalam kabin kapalterbang setelah penat berlari ke sana ke mari mencari pintu A04. Satu keadaan yang mencemaskan kerana berlaku pertukaran pintu secara tiba-tiba menyebabkan kami terpaksa berlari tercunggap-cunggap mendapatkan arahnya yang betul. Muka kami kepucatan kerana takut ditinggalkan kapalterbang apabila pengumuman dikumandangkan berkali-kali meminta mereka yang belum lagi boarding segera berbuat demikian. Saya mungkin orang yang paling terasa penatnya kerana mengendong bagasi yang sarat dengan kamus dan buku-buku.

Kelam kabut dalam airport bukanlah sesuatu yang tidak diduga. Malah bibit-bibit susahnya urusan di India nanti sudahpun dirasai ketika menunggu untuk mendapatkan visa untuk ke sana. Kesemua visa kami berenam diuruskan oleh Al Marhum Ustaz Abdul Kadir Hasan yang pada masa itu tinggal di Segambut. Ustaz pernah belajar di India. Di Deoband. Kemudian ke Al Azhar. Ustaz pernah bertugas di Pusat Islam sekembalinya dari Mesir. Kata Ustaz selepas dipanggil oleh Dr Mahathir kerana ada perkara yg tidak dipersetujuinya tentang operasi Pusat Islam dia naik berang dan meletakkan jawatannya. Selepas itu Ustaz jadi pendakwah bebas. Ustaz juga berkahwin dengan orang Hindustan. Gadis Deoband dari mahalla Qilla. Ianya sedikit sebanyak dapat membantu memudahkan kerja Ustaz menolong pelajar yang hendak ke India. Ustaz mempunyai kenalan di kedutaan India untuk urusan yang sukar ini. Malah mereka orang kedutaan melihat Ustaz ada hubungan yang kuat dgn negara mereka. Hampir kesemua visa pelajar Malaysia tahun 80an diuruskan oleh Al Marhum Ustaz. Bukan senang untuk mendapatkan visa pelajar untuk belajar di madrasah di India. Semua permohonan yang diajukan tidak semua lolos daripada disyaki mahu ke madrasah. Jika mereka tahu mahu ke madrasah permohonan akan dibatalkan serta merta. Oleh itu permohonan dibuat atas tiket belajar di kolej-kolej atau universiti-universiti di India. Siapa yang bernasib baik sahaja akan memperolehinya. Ianya adalah anugerah Allah jika menghargainya. Semuga Allah membalas jasa Ustaz yang besar ini.

Biasanya setiap kali ditanya Ustaz akan mengatakan esok visa kami semua akan siap. Kenyataan ustaz sebenarnya berpandukan apa yang dijanjikan oleh orang India yang bekerja di kedutaan tersebut. Kadang-kadang kami disuruh datang ke rumahnya esok kerana visa sudah siap. Tetapi apabila kami sampai di rumah, Ustaz kata 'orang itu' kata belum siap. Bukan sekali dua menaiki motosikal daripada Bangsar ke Segambut untuk mengambil visa yang tidak siap-siap. Tidak terhitung banyaknya sampaikan tayar motosikal saya sudahpun mengetahui lubang-lubang mana yang perlu dielakkan di sepanjang jalan ke rumah Ustaz. Paling kemuncak ialah kami dibenarkan membeli tiket kerana visa sudah siap. Apabila tiket sudah dibeli visa diumumkan belum lagi siap!!! Gelisah tidak terhingga kerana kawan-kawan daripada Pakistan itu kata orang Pakistan kuat menipu. Orang India pun sama. Namun alhamdulillah kerana berkat kesabaran akhirnya semua visa siap kecuali visa Umbaidillah. Tiketnya sudah dibeli. Tarikh penerbangan sudahpun ditetapkan. Keluarga di Kelantan sudahpun mengucapkan selamat tinggal untuk Umbaidillah. Beliau sudahpun berada di Kuala Lumpur. Esok hari penerbangan. Visa belum diperolehi!. Kami tidak mengetahui bagaimanakah lagi hendak menyakinkan Umbaidillah bahawa peluang untuk pergi masih ada. Masih ada ruang untuk memperolehi visa selagi tarikh penerbangan belum lagi tiba. Pernah ada kes sebelum ini di mana kesemua famili sudah berada di airport untuk mengucapkan selamat tinggal tetapi visa belum diterima. Tetapi akhirnya visa menjelma dalam keadaan yg penuh mencemaskan. Inilah sandaran kami untuk menenangkan Umbaidillah. Kami dapat merasai kekesalan beliau. Saya amat terasa bersalah kerana sayalah yang diamanahkah untuk berurusan dengan Ustaz dan melaporkan perkembangan visa kepada kawan-kawan yang lain. Macam-macam yang saya fikirkan. Serba tak kena dibuatnya. Tiba-tiba Ustaz menelepon saya katanya visa Umbaidillah baru siap. Alhamdulillah!!. Penantian yang mencemaskan akhirnya berakhir. Kesemua kami berasa lega kerana dapat terbang bersama. Jika Allah sudah takdirkan tentang sesuatu itu akan berlaku ianya akan berlaku jua, dalam apa keadaan sekalipun, walaupun dalam penglihatan manusia ia agak mustahil.

Fenomena yang sedemikian sebenarnya menjadi kebiasaan di India. Ia bukan ganjil. Malah sudah menjadi sunnah hidup mereka barangkali. Dalam urusan pejabat janji seolah-olah mainan sahaja. Tidak perlu rasa malu. Tidak perlu rasa bersalah jika janji tidak dikotakan. Datang esok!!! itulah kata-kata pegawai di pejabat polis bandar Saharanpur tempat kami menyambung permit tinggal di India (residential permit) kalau moodnya tak baik hari itu. Bila esok datang dia tanpa nada yang kesian belas akan berkata pula "kal aaoo!!! Sir nahin hai" (esoklah dtg Tuan tak de). Macam2 alasan akan diberikan. Bayangkan kita dtg dari jauh menaiki bas. Satu jam perjalanan bukanlah dekat terutama jika kemudahan transport tersangat poor. Menunggu giliran bas yang tidak berapa kerap satu hal. Penumpang yang sesak satu hal. Jarang mendapat tempat duduk satu hal. Perjalanan setelah menaiki bas satu hal yang lain. Naik basnya seperti naik kereta kuda. Melambung-lambung. Jalannya tidak rata, berlobang-lobang dan sempit. Gangguannya banyak. Ada lembu kambing melintas. Ada cart yang terbalik sarat dgn jerami dan batang-batang tebu. Ada pagar yang menahan kerana keretapi sedang melintas. Ada lori terbalik di sana-sini. Kadang kerana accident. Kadang dek muatan terlalu banyak. Tiada istilah JPJ di India. Tiada juga istilah pemantauan. Lori-lori selalu kelihatan senget kerana muatan yang tidak terkawal. Bas pula hampir seratus peratus besi kecuali tayar. Kerusinya daripada kayu. Kerangkanya daripada besi. Seluruh badan mudah bergetar apabila bas memecut. Kepala seperti dikocak-kocak. Sendi semacam nak tercabut. Tulang punggung di tempat duduk bagaikan hendak patah seperti dihempap dan diketuk-ketuk dgn besi....Semua itu saya lulus ujian pertamanya di Malaysia.

Beginilah selalunya sesak sampai ke bumbung.
Bayangkan bagaimana suasana dlm bus itu sendiri!!!

Jalan utama India merentasi
kampung2. Org2 kampung selamba
menggunakah jalan raya
untuk apa saja aktiviti (klik gmbr ini utk lihat dr dekt).





4 comments:

anwar said...

Sungguh menarik ustaz!gaya bahasa persis pengarang novel.Alhamdulillah,jerih payah ustaz,ana dapat tumpang kemanisannya.=)jzakallah khairan kathira

Zaharudin Nawi/Aji said...

Jazakallah

Anonymous said...

ustaz,

1. apakah perbezaan sistem pgajian di deoband dengan nadwatul ulama, lucknow

2. adakah ada perbedaan diantara aliran deobandi-mazhad hanafi dengan aliran ahli hadith di deoband

3. Saya masih mencari buku terjemahan dari kitab Izhharul haq karangan syeikh rahmatullah al kiranawi, pengasas madrasah shaulatiyyah, mekah. buku ini menyebabkan beliau diusir oleh british dari india. seandai ustaz dan isteri ada masa, alangkah indahnya jika terjemahkan kitab ini

jutaan terima kasih

Zaharudin Nawi/Aji said...

1-Kedua-dua masih mengekalkan sistem madrasah. Pure agama. Sistem Deoband lebih traditional dr Nadwah. Pada awalnya sama. Kemudian Nadwah byk berubah dgn adanya pemikir2 spt Abdul Haie, Syibli Nu`mani, Sulaiman An Nadwi dan Abul Hasan. Kurikulum lebih mudah berbanding dgn Deobnd. Di antara sudut yg mereka masih sama ialah dlm menjaga keharmonian antara mazhab Hanafi pengajaran Hadis dan tasawwuf.

2-Di Deoband tiada aliran ahli hadith. Aliran Deoband cuba mengharmonikan antara fekah, tauhid salaf-khalaf, tasawuf dan hadis. Aliran Deoband bertentangan dgn aliran ahli Hadith dlm sudut2 itu. Kdg2 mereka sama dlm beberapa perkara spt bida`ahnya maulid, tahlil, amalan2 di kubur etc. Kerana itu kdg2 org tersilap mengatakan Deobndi adalah wahabi sdgkan Deobandi kuat melawan wahabism. Aliran ahli hadith India samalah dgn aliran salafi di mana2 cuma nama sj lain stelah melalui siri penamaan identiti. Pernah dinamakan Muhammadi dan wahabi. Akhirnya didaftar semasa pemerintahan British sehingga skrg dgn ahli hadith. Aliran ahli hadith berpusat di Varanasi atau Banaras kalau di India. Ustz penuntut ilmu biasa sj tak reti nk bergaduh2.

3-Buku Izhaarul Haq itu ada dlm trjmhn bahasa Inggeriskan.