Wednesday, November 25, 2009

Kembara Deoband 13 - Bukan Sekadar MSU

MSU mempunyai cawangan di seluruh India. Di mana adanya pelajar Arab maka di situ akan adanya MSU. Cawangan yang agak besar ahlinya ialah di Delhi, Pune dan Lucknow. Ia bukan sekadar markaz tempat persinggahan. Malah MSU mempunyai agenda yang lebih besar daripada itu. Iaitu agenda Islam. Di antara aktiviti yang dilakukan oleh MSU yang terserlah ialah pentarbiahan. Mentarbiah pelajar baru dan lama kepada fikrah dan amal islami. Modus operandinya ialah dengan mewujudkan unit-unit usrah. Setahun sekali ahli-ahli usrah dari seluruh cawangan akan berkumpul dalam satu program yang dinamakan mukhayyam atau perkemahan. Manhaj yang digunakan ialah manhaj Jemaah Ikhwan Muslimin. Oleh itu perpustakaan MSU banyak diisi dengan buku tokoh-tokoh Ikhwan spt Yusuf Qardawi, Muhammad Ghazali, Ahmad Muhammad Rashid, Fathi Yakan, Sayyid Qutb, Mustafa Masyhur, Sayyid Hawa dsb. Program mukhayyam diisi dengan beberapa aktiviti seperti ceramah yang akan dihadiri oleh tokoh2 ternama dari dalam maupun luar India; latihan berkawat ala tentera; permaianan padang seperti bolasepak dsb, pementasan seperti pertandingan menghafal Al-Quran, persembahan nasyid dan lakunan; Ibadah spt solat berjemahan, qiamullai, wirid ma`thurat. Mukhayyam diadakan di lokasi yang berbeza-beza mengikut giliran negeri. Pernah diadakan di Hyderabad di negeri Andhra Pradesh, di Bangalore di negeri Karnataka, Delhi dan Lucknow di negeri Uttar Pradesh etc. Saya hanya sempat mengikuti dua kali mukhayyam sahaja. Mukhayyam di Hayderabad dan Banglore. Ini disebabkan biasanya tarikh mukhayyam berbetulan dengan tarikh peperiksaan akhir sesi di Deoband.

Pelajar Malaysia, Thailand dan Indonesia juga mempunyai hubungan dari segi tanzim dengan MSU terutama mereka yang belajar di Nadwatul Ulama. Lokasi Nadwah yang berdekatan dengan University of Lukcnow memudahkan mereka mengikuti program-program MSU Lucknow. Jumlah mereka yang ramai dapat mewujudkan satu persatuan pelajar-pelajar bukan Arab yang akrab dan kukuh dengan menjadikan MSU sebagai tempat rujukan mereka. Kemudahterimaan pelajar Malaysia kepada dakwah bercirikan dakwah seperti MSU ini sebenarnya adalah hasil rentetan dakwah yang berlaku di tanahair.

Tahun 80an merupakan tahun kebangkitan Islam di Malaysia. Di antara ciri fasa 80an ini ialah penerapan fikrah Islam yang syumul. Untuk tujuan mendedahkan kesyumulan Islam banyak agenda telah dilakukan oleh pendakwah-pendakwah di tanahair. Pada waktu inilah buku-buku gerakan Islam mulai diterjemahkan dengan rancaknya. Terutama buku-buku gerakan Ikhwan Muslimun Mesir, Jamaat Islami Pakistan, dan Revolusi Iran. Aktiviti dakwah banyak dipengaruhi oleh manhaj gerakan-gerakan ini. Oleh kerana ianya fasa penerapan maka golongan sasaran yang utama ialah golongan pelajar peringkat sekolah menengah dan peringkat universiti. Ramai guru-guru di sekolah dan pensyarah-pensyarah di universiti telah mengambil inisiatif ke arah melahirkan generasi pelajar yang berjiwa Islam. Usrah, tamrin dan rehlah mula diperkenalkan kepada golongan pelajar. Mereka mula diperkenalkan dengan tokoh-tokoh pendakwah antarabangsa melalui penerbitan risalah-risalah, buku-buku dan majalah-majalah. Bertitik tolak di atas landasan ini mereka mula menerajui persatuan-persatuan Islam. Banyak seminar, diskusi, forum, wacana dsb dijayakan untuk mengenegahkan Islam kepada masyarakat umum terutama masyarakat pelajar.


No comments: