Monday, November 23, 2009

Kembara Deoband 12 - MSU East of Kailash

Azhar daripada Deoband sudahpun menunggu kami di airport. Kami di bawa menaiki teksi. Saya tidak tahu Azhar hendak membawa kami ke mana. Perhatian saya hanya tertumpu melihat suasana baru di Delhi. Bahang kepanasan mula dirasai apabila keluar daripada airport kerana bulan Julai masih di dalam iddah musim panas. Agaknya suhu sudah menjangkau 40 darjah celsius lebih. Tengkok mula terasa haus. Namun saya tidak berani bersuara apa-apa kerana berjaga-jaga untuk tidak banyak merungut di tempat orang.

Jalan di sepanjang airport ke Delhi tidaklah begitu sibuk kerana jauhnya airport daripada pusat bandar. Kira-kira 45 minit perjalanan dengan kereta. Tanah-tanah di kiri kanan jalan masih lagi kosong. Tiada bangunan. Tiada perumahan. Jika dibandingkan dengan sekarang, tahun 2009, semuanya dipenuhi dengan bangunan rumah-rumah kedai dan hotel-hotel. Trafik mulai sibuk apabila teksi memasuki kawasan bandar. Hon-hon bas, lori, kereta, autorikshaw dan motosikal mula kedengaran. Kelihatan mereka begitu seronok menekan hon masing-masing. Mungkin mereka menggunakan bahasa hon di atas jalan raya yang tidak kami fahami. Hon sebagi salutation "namaste" untuk kawan dari arah yang berlawanan. Hon untuk memotong. Hon untuk memberi laluan. Hon menghalang laluan. Hon ucapan terimakasih kerana memberi laluan. Hon minta supaya bersopan sikit di jalan raya. Hon kerana marah. Hon haru biru bila di sana tidak ada traffic light dan tidak tahu macam mana hendak keluar daripada kesesakan yang tidak dirancang. Masing-masing mahu keluar dahulu. Ternyata kita dinasihatkan berhon di bandar Delhi. Di belakang sesetengah kenderaan terpampang arahan bertulis 'Please Hon'. Adakah ianya arahan daripada kerajaan atau amalan rakyat yang diredai oleh kerajaan sampai sekarang saya tidak mengetahui jawapannya.

Jalan di Delhi yang tiada line pemisah

Saya tidak jemu-jemu mengarahkan pandangan untuk melihat suasana Delhi. Jalan raya banyak tidak bertraffic light. Kenderaan berwajah lama. Kesemuannya ber-made in-kan India. Tidak banyak design kenderaan didapati. Produk Tata, Maruti, Mahindra dan Asyok Leyland semuanya kelihatan sama. Kereta-keretanya seperti kereta guru besar sekolah rendah saya Cikgu Sulaiman tahun 70an. Ia mengambarkan India tidak mengutamakan barangan import. Ia menunjukkan bahawa walaupun India adalah negara demokrasi terbesar di dunia tetapi dasar ekonominya lebih cenderung kepada Fabian Socialism. Mirip sistem perancangan berpusat Soviet Union ketika itu. Bangunan tidak tinggi. Semua serata. Tiada yang indah. Tiada yang mengasyikan. Warnanya lusuh kerana dibahangi oleh cahaya matahari. Tiang-tiang letrik condong hendak menyembah bumi. Wayar berserabut sambung menyambung di udara. Ada yang berjuntai-juntai ke bawah kerana putus atau diputuskan. Orang-orang miskin berderetan di sepanjang jalan. Meletakkan apa yang ada untuk hamparan tidur. Rumah-rumah setinggan di tepi jalan kelihatan amat miskin dan dhaif. Ia bagaikan khemah-khemah pelarian. Berdinding dan beratapkan kain guni dan juga plastik. Penghuninya seperti orang-orang nomad yang berpindah randah. Wajah mereka comot. Pakaian mereka compang camping. Kerana lama tidak berbasuh warnanya menjadi sekulit dengan warna tubuh mereka. Mereka memasak di tepi jalan. Membasuh mengikut giliran. Mandi separuh bertelanjangan. Penjual-penjual di tepi-tepi jalan sibuk menyorong kereta sorong. Memekik-mekik. Melolong-lolong. Chai! chai! chai! (teh!, teh!, teh!). Phal le lo! phal le lo!, phal le lo (buah! buah! buah!...ambik buah, jual buah!). Lembu-lembu terbiar berkeliaran di tepi jalan. Meragut apa sahaja yang ada. Kertas, plastik, sampah sarap, kain dan berbagai kotoran. Tiada rumput. Tiada lalang. Sesekali mereka diam di tengah jalan. Menghalang lalu lintas. Menguji iman dan kepercayaan. Tiada yang merungut kerana menghormati kesucian.

Berteduh di tepi jalan


Rumah setinggan di tepi jalan


Wayar letrik yang berserabut

Lembu bebas di tengah jalan

Sampah sarap menjadi makanan
lembu yang dianggap suci


Teksi kami kemudian melalui kawasan perumahan yang cantik. Rumah-rumahnya agak tersusun rapi. Persis spt rumah-rumah di KL. Kawasannya agak bersih. Suasananya agak tenang. Mungkin ia kawasan orang-orang kaya dan berpelajaran. Ada yang memiliki sekuriti. Rupa paras sekuriti guardnya seperti orang Melayu kecina-cinaan. Kata kawan-kawan mereka orang Nepal. Kebanyakan mereka datang ke India mencari rezeki. Bekerja di restaurant, hotel-hotel dan banyak yang menjadi security guard. Nepal pada waktu itu sesatunya negara di dunia yang mengamalkan sistem autokrasi berpaksikan Hinduism. Sepatutnya India kerana ia mempunyai bilangan penganut Hindu yang paling banyak di dunia. Tetapi tidak. Nepal sebaliknya yang mendapat tempat. Ia diperintah oleh seorang raja yang beragama Hindu yang diwarisi dari turun temurun. Malangnya Nepal termasuk salah sebuah negara yang termiskin di dunia dengan kadar 31% daripada 28 juta penduduknya berada di bawah paras kemiskinan. Tidak hairanlah ramai rakyatnya mengadu nasib di bumi India. Pada hakikatnya India sememangnya dikelilingi oleh negara-negara yang tidak mampu menyediakan peluang pekerjaan yang selesa kepada rakyatnya. Bangladesh, Pakistan dan Sri Lanka. Jika keadaan India sebegitu rupa bagaimana pula keadaan negara-negara disekelilingnya. Suatu perkara yang mengherankan ialah bagaimana boleh India menyediakan peluang pekerjaan kepada penduk-penduduk negara jirannya sedangkan rakyatnya susah mendapat kerja. Satu lagi persoalan yang sentiasa bermain di fikiran saya ialah bagaimana boleh terjadi India selaku sebuah negara nuklear di dunia tidak dapat menyediakan kemudahan yang paling asas untuk rakyatnya. Adakah kesemua duit rakyat dihabiskan untuk memperkuatkan ketenteraan? Berlumba-lumba dengan Pakistan melancarkan program pembinaan senjata nuklear terbaru. Missile Prithvi, Dhanush, Agni, Surya, Shaurya dan Sagarika melawan missile Hatf, Abdali, Ghaznawi, Shaheen, Ghauri, Babur, dan Ra`ad milik Pakistan.

Missile Ghauri Pakistan

Missile Agni India

Teksi kami akhirnya berhenti di hadapan sebuah rumah teres. Ramai yang keluar daripada rumah itu untuk menyambut kedatangan kami. Mereka seperti sudah menunggu-nunggu kedatangan kami. Saya terasa seperti VIP yang disenangi. Dipeluk-peluk. Ditegur-teguri. Mereka sungguh ramah dan sangat mehmaan nawaazi (hospitable). Barang-barang kami diangkut masuk ke rumah dalam sekelip mata sahaja. Mereka bercakap dengan bahasa yang saya tidak fahami. Rupa-rupanya mereka bercakap Arab. Mereka orang-orang Arab dari serata dunia. Palestine, Kuwait, Jordan, Sudan, Yaman, Algeria....Walaupun baru pertama kali datang kami merasakan seolah-olah sudahpun mengenali mereka sebelum ini. Itulah barangkali sifat orang Arab dahulu kala yang diwarisi. Apabila mereka mengatakan ahlan wasahlan maka ianya bukan sekadar luahan. Malah ia akan dijelmai dengan perbuatan. Tetapi akhlak ini kini bukan milik semua golongan Arab. Hanya mereka yang prihatin terhadap warisan Islam sahaja yang kelihatan menghidupkannya. Kata kawan-kawan orang Arab ramai di Delhi. Malah di seluruh pelusuk India. Hampir keseluruhan mereka adalah pelajar daripada berbagai-bagai peringkat pengajian tinggi. Ada yang mengambil BA. Ada yang mengambil MA. Ada yang sudah lama di India menyambung ke peringkat Phd. Bidang pengajian tumpuan mereka ialah selain pengajian agama. Hampir tiada orang Arab di madrasah-madrasah. Mereka belajar di universiti-universiti dan kolej-kolej. Rumah itu ialah markaz penuntut-penuntut Arab di Delhi. Mereka namakannya sebagai MSU. Singkatan kepada Muslim Student Union atau Ittihaad Talabatul Muslimiin Fil Hind. Ianya menjadi tempat persinggahan kepada mereka yang datang ke New Delhi. Samada dari luar negara atau dari dalam negeri. Pelajar2 Malaysia yang datang ke New Delhi pun biasanya menjadikan MSU sebagai tempat persinggahan mereka. Ianya pengalaman yang amat bermakna dalam hidup saya. Berada di India tetapi tidak disangka-sangka seperti berada di tanah Arab. MSU sentiasa dalam ingatan. MSU yang terletak di kawasan perumahan East Of Kailash. East of Kailash yang berdekatan dengan Markaz Tabligh Nizamuddin.

Bertanda A ialah lokasi East Of Kailash.
Di sebelah utaranya kelihatan stesen keretapi Nizamudin.
Markaz Tabligh Nizamudin berdekatan dengan stesen ini.


No comments: