Monday, October 4, 2010

Kembara Deoband 28: Raya Di Deoband-2

Antara jam 8.30 hingga 9.00 pagi penduduk Deoband tak putus arus berpusu-pusu ke Eid Gah. Mereka lebih memilih untuk solat beramai-ramai di Eid Gah jika dibandingkan dengan di masjid. Pakaian mereka tidak beraneka. Semua berpakaian kurta pajama yang baru atau baju serwani ala pakaian pemimpin Pakistan ketika majlis-majlis rasmi. Rata-rata berpakaian serba putih. Semua membawa sejadah masing-masing. Wanita tidak pergi bersolat hari raya. Hanya orang lelaki dan kanak-kanak. Sebelum solat imam akan memberitahu serba sedikit tentang kaifiyat solat hari raya. Dalam mazhab Hanafi takbir solat hari raya dibaca tetapi tangan tidak diangkat untuk setiap kali takbir. Kadang-kadang pelajar kita kebingungan kerana tidak pernah melihat takbir tidak mengangkat tangan. Khutbah wajib dalam bahasa Arab. Khutbah imam tidak panjang sekadar 10 hingga 15 minit. Teks khutbah boleh dibeli dikedai. Kebanyakkan imam sudahpun menghafalnya. Itulah yang dibaca semenjak ianya mula diperkenalkan oleh generasi ulama India awal.

jelebi yg dah masak

jelebi dlm kuali

Selesai khutbah semua bersurai. Mereka bermuanaqah sesama kenalan. Ketika pulang ada yang membeli mithai untuk dibawa ke rumah sanak-saudara atau kenalan. Kuih-kuih hari raya semuanya jenis mithai. Kuihnya tidak seperti di Malaysia. Tiada kuih khusus untuk hari raya. Hanya mithai yang dijual. Mithai bukan hanya didapati pada musim hari raya malah sepanjang tahun dijual. Cuma pada hari raya ramai juga pekedai-pekedai Islam mengambil inisiatif menjual mithai walaupun kualitinya tidak berapa bagus. Tidak kira Islam atau Hindu semuanya meminati mithai. Di India orang Hindu menguasai perniagaan mithai. Orang Islam pun membeli mithai daripada kedai orang Hindu. Maulana yang besar-besar pun makan mithai daripada kedai Hindu. Di Deoband kedai mithai yang terkenal ialah kedai Rastogi. Pelajar Darul Uloom kadang-kadang kelihatan memasuki kedai Rastogi. Tak ramai memasukinya kerana harga mithainya mahal-mahal bagi student madrasah. Kedai Rastogi terkenal kerana susu yang digunakkan agak asli menjadikan mithainya lebih enak dirasa. Antara nama-nama mithai itu ialah rasgula, jelebi, samosa manis, gajar halwa, bermacam laddu, bermacam burfi, rabri dan bermacam lagi nama yang kesemuanya milk based kecuali jelebi.

rasgula

No comments: