Monday, October 4, 2010

Kembara Deoband 29: Raya Di Deoband-3

Kebanyakkan maulana pengajar Darul Uloom orang luar. Mereka pulang berpuasa dan beraya di kampung halaman masing-masing. Hanya beberapa maulana sahaja orang tempatan Deoband. Begitu juga yang telah menjadikan Deoband sebagai tempat tinggal tetap mereka juga tidak ramai. Antara yang ada rumah di Deoband ialah Maulana Khurshid Alam (rakan sekelas TG Nik Aziz), Maulana Anzar Shah Kashmiri (almarhum anak Muhaddis Anwar Shah Kashmiri dan guru kepada TG) , Maulana Hamid Mian (anak sheikul adab Maulana Izaz Ali), Maulana Shamim (almarhum), Maulana Asad Madani (almarhum penaung Darul Uloom), Maulana Arshad Madani (mengajar saya Tirmizi), Maulana Saed Palanpuri (sekarang mengajar Bukhari), Maulana Nasir Ahmad Khan (almarhum bekas Sheikul Hadis), Maulana Shahed (almarhum mengajar saya Kitab Fekah Hidayah) dan Maulana Mufti Kafil Nishat (almarhum bekas mufti Darul Uloom). Di kalangan mereka ini tidak semua beraya di Deoband. Yang kebanyakkan masa beraya di Deoband ialah Maulana Khurshid Alam, Maulana Nasir Ahmad Khan, Maulana Shahed dan Maulana Mufti Kafil Nishat. Yang lain beraya di merata tempat kerana kebanyakkan mereka ke luar negara pada bulan Ramadhan kerana mencari dana untuk Darul Uloom.

Raya di Deoband hanya satu hari sahaja. Sehari dua selepas itu Darul Uloom akan mula dibuka untuk pelajar-pelajar baru menduduki peperiksaan bagi pengambilan baru. Pelajar lama akan datang di pertengahan Syawal. Saya juga tidak melihat masyarakat Deoband ke kubur pada musim raya. Ini mungkin kesan pengaruh Darul Uloom yang amat ketat sikapnya terhadap kubur. Kalaupun ada yang menziarahi mereka hanya berdiri sekejap sahaja di perkarangan perkuburan membaca Al Fatihah dan apa yang patut. Selepas itu mereka pergi dengan pantas.

No comments: