Sunday, October 3, 2010

Kembara Deoband 27: Raya Di Deoband-1

Hampir 13-14 tahun saya beraya di Deoband. Seingat saya hanya sekali saya beraya di kampung semenjak tinggal di Deoband dari tahun 1989 hingga 2004. Pada tahun 1996 saya pulang ke kampung kerana berubat disebabkan masalah perut. Pada tahun itulah saya berkesempatan untuk beraya bersama kaum keluarga. Raya di Deoband sungguh simple.

Pada hari terakhir Ramadhan, selepas sahaja menunaikan solat maghrib penduduk Deoband akan naik ke bumbung rumah masing-masing untuk melihat anak bulan Syawal. Saya pula biasanya akan naik ke bumbung Masjid Choti tempat yang selalu saya berjemaah. Kebiasaannya kami semua nampak anak bulan. Sebaik sahaja anak bulan kelihatan pihak Darul Uloom akan memukul gendang tembaganya. Suaran pukulan itu akan didengari oleh hampir kesemua penduduk Deoband. Anak-anak kecil akan bersorak riang tanda mereka sudah boleh beraya.

Malam itu penduduk Deoband khasnya kaum wanita akan sibuk memasak syeer. Syer ialah sejenis masakan yang akan dihidangkan khususnya pada hari raya puasa. Boleh dikatakan semua rumah menghidangkan syer. Walaupun begitu kualiti masakan syer berbeza-beza daripada rumah ke rumah. Bagi mereka yang agak kaya masakan syer mereka lebih enak kerana mempunyai campuran daripada bahan-bahan yang agak mahak. Syer dibuat daripada susu lembu asli. Ia direbus lama bersama-sama dengan bahan-bahan seperti badam, kishmis, biji gajus, sawayya, za`faran, kurma, chuara, kacang dsb. Itulah makanan tradisional mereka. Tidak ada makanan moden seperti kek atau biskut yang beraneka ragam dihidangkan.

Sheer
Selepas gendang tembaga dipalu pihak masjid akan mengiklankan waktu solat hari raya yang akan diadakan pagi esok. Antara masjid yang mengadakan solat hari raya ialah Masjid Darul Uloom, Masjid Qadi, Masjid Jamek dan Masjid Chatta. Tetapi sebahagian besar masyarakat Deoband akan bersolat di sebuah padang yang dikhaskan untuk solat hari raya. Padang itu dinamakan sebagai Eid Gah (Tempat Hari Raya). Hampir semua kampung muslim di utara India memiliki eid gah. Padang itu dilengkapi dengan satu mimbar konkrit yang besar. Ia sesuai dengan mazhab anutan orang Islam di sana yang menganut mazhab Hanafi. Mazhab Hanafi mengatakan mustahab diadakan solata hari raya di kawasan lapangan yang besar. bersambung...

1 comment:

Ibnu Mutalib said...

Ustaz, apa kaitan Eid Gah dgn Mazhab Hanafi? adakah Mazhab kata afdhol solat di tempat lapang?

maaf,keluar topik.

btw, penyampaian cerita yang sangat baik dari ustaz. kalau boleh buat buku InsyaAllah saya akan promote