Thursday, October 14, 2010

Wahyu Dalam Bukhari

Wahyu Dan Niat

Oleh kerana wahyu bersumber daripada Allah swt dan Allah swt tidak memandang manusia berdasarkan rupa paras tetapi kepada hati seseorang maka wahyu hanya akan memberi faedah kepada orang yang mempunyai niat yang suci di dalam pencariannya tentang kehidupan. Untuk Nabi, baginda akan dianugerakan wahyu secara langsung daripada Allah swt. Manakala mereka dikalangan umatnya yang mempunyai keikhlasan yang tinggi terhadap agama Allah akan dipermudahkan mereka menerima hidayah dan pengajaran dari sumber wahyu.

Bentuk wahyu yang diturunkan kepada Nabi saw

1- Salsalatul-Jaras – Bunyi seperti bunyi loceng. Bagaimana hakikatnya tidak dijelaskan oleh mana-mana riwayat hadis. Namun di kalangan ulama ada yang mentafsirkannya sebagai bunyi malaikat atau bunyi sayap malaikat. Bentuk ini dikatakan bentuk yang paling sukar ditanggung oleh Rasulullah saw.

2- Tamathul-Malak – Malaikat menyerupai manusia. Kebanyakan malaikat yang membawa wahyu ialah Jibrail yang menyerupai seorang sahabat bernama Dahyah Al-Kalbi. Ada kalanya menyerupai lelaki yang tidak dikenali. Ia dianggap sebagai bentuk wahyu yang paling ringan.

3- Malaikat Jibrail – Malaikat Jibrail datang dengan bentuknya yang asal. Diriwayatkan ianya berlaku sebanyak 3 kali walaupun salah satu daripada riwayat tersebut agak lemah periwayatannya.

4- Ru'yah Sadiqah – Mimpi benar. Rasulullah saw melihat cahaya putih seumpama cahaya di waktu subuh. Peristiwa ini berlaku sebelum turunnya Al-Quran. Wahyu ini menyebabkan Rasulullah saw mula menyendiri, bertafakkur dan beribadat di tempat yang sunyi, jauh daripada kesibukan manusia, di sebuah gua yang dinamakan gua Hiraq.

5- Kalam Ilahi – Allah swt bercakap terus dengan Rasulullah saw dalam peristiwa mi`raj seumpama Allah swt bercakap dengan Nabi Musa as. (Al-Itqan)

6- Nafas Fi r-Rau`– Malaikat Jibrail (Ruhul Qudus) meniupkan sesuatu ke dalam hati Nabi saw berupa wahyu sebagaimana hadis menyebut bahawa

إنَّ رُوح القُدسِ نَفَثَ في رُوعي أنه لن تَمُوتَ نفس حتى تستكمل رِزْقها وأجَلَها (جامع الأصول)

أَنَّ جِبْرِيلَ عَلَيهِ السَّلاَمُ أَلْقَى فِي رَوْعِي أَنَّ أَحَدًا مِنْكُمْ لَنْ يَخْرُجَ مِنَ الدُّنْيَا حَتىَّ يَسْتَكْمِلَ َرِزْقَهُ (الحاكم)

(Al-Itqan)

Keenam-enam bentuk itu boleh dibahagikan hanya kepada dua bahagian.

  1. Wahyu Ilahi – samada Allah mencampakkan terus ke dalam hati Rasullah saw tentang sesuatu perkara yang dinamakan Wahyu Qalbi atau bercakap secara langsung dengan baginda Rasulullah saw yang dinamakan Kalam Ilahi.
  2. Wahyu Malaki – wahyu melalui perantaraan malaikat. Lazimnya malaikat Jibrail. Namun ada riwayat mengatakan malaikat Israfil menurunkan wahyu ketika zaman fatarat iaitu zaman wahyu dihentikan daripada turun buat sementara waktu. Namun riwayat ini diperselisihkan oleh ulama hadis tentang keautoritiannya walaupun Ibn Hajar cenderung menerimanya.

Hikmah Bentuk Wahyu Yang Berbagai-bagai

  1. Menunjukkan wahyu bukan datang dari Muhammad saw tetapi dari sumber ghaib yang hanya boleh dilihat oleh orang biasa melalui penjelmaannya sahaja.
  2. Menyakinkan umat bahawa agama yang dibawa oleh Nabi saw adalah dari sumber yang benar.
  3. Menunjukkan Allah mengatur sesuatu mengikut fitrah manusia. Manusia perlu difokuskan untuk sesuatu perkara yang penting dengan memalingkannya daripada tertumpu kepada perkara yang lain. Keadaan wahyu yang seumpama itu menumpukan Rasul saw kepada apa yang dialaminya dan menumpukan umah kepada apa yang dialami oleh Rasulnya.

Beberapa Situasi Penerimaan Wahyu

  1. Keadaan Nabi saw

- Nabi berpeluh walupun di musim sejuk.

- Nabi lebih bersifat pemurah terutama di bulan Ramadhan.

- Nabi berkumat- kamit membaca Al-Quran bimbang ianya terlupa

  1. Keadaan Ahli Kitab

- Waraqah bin Naufal yang mengetahui sifat Nabi akhir zaman beriman dengan Nabi saw.

- Mereka mengetahui Nabi akhir zaman akan bangkit seperti hal Heraclius dan Dhughatir, teman Heraclius.

- Heraclius yang mengetahui sifat Nabi akhir zaman dan menunggu-nunggu kedatangannya namun akhirnya tidak beriman dengan Nabi saw.

- Dhughatir yang mengetahui sifat Nabi akhir zaman dan menunggu-nunggu kedatangannya akhirnya beriman dengan Nabi saw dan mati dibunuh oleh rakyat yang fanatik kepada agama Kristian mereka.

  1. Keadaan Musyrikin

- Menolak apa yang di bawa oleh Muhammad saw tetapi mengakui sifat-sifat terpuji yang dimiliki oleh Nabi.

- Mengetahui masa depan cerah terhadap agama ini.

- Ada yang menolak, kemudian beriman seperti Abu Sufiyan dalam peristiwa pertemuan dengan Heraclius.

No comments: