Thursday, August 19, 2010

Kembara Deoband 21: Bersahur Dan Berbuka Di Deoband

Di Deoband tiada pasar Ramadhan. Tetapi ramai juga penjual-penjual membuka gerai di tepi-tepi jalan. Mereka hanya menjual beberapa jenis makanan sahaja iaitu samada siwayya (سِويَّان), pape (roti bulat yg dibakar kering), kurma atau buah-buahan. Siwayya di makan terutama di waktu sahur. Ia direndam dalam susu dan akan kembang seperti roti slice yang terendam dalam susu. Ia tidak perlu dimasak. Cukup dengan merendamnya dalam susu panas. Rata-rata masyarakat Deoband bersahur dengan makanan tradisional ini. Ia dijual mentah dan tahan selama sebulan Ramdahan. Juadah berbuka juga simple. Ada tamar, pakora (cengkodok), ada jelebi, ada chana goreng pedas (kacang goreng), campuran berbagai phal (buah-buahan) yang digaul hancur dengan masala terutama pisang dan epal. Ini dikira sebagai makanan ringan setanding dengan kuih muih kita. Minuman yang disediakan hanyalah chai (teh) atau sirup roh afza. Untuk makanan berat masyarakat muslim Deoband makan roti chapati atau nasi (pulao, kichhri atau biryani). Mereka hanya makan sekali sahaja iaitu sebelum solat maghrib. Dalam waktu yang pendek itulah mereka perlu menjamah semua perkara. Selepas solat maghrib biasanya mereka tidak lagi memakan apa-apa makanan melainkan menunggu untuk solat terawih. Begitu juga selepas terawih mereka tidak menjamah apa-apa makanan. Kalau adapun chai.

Tuesday, August 17, 2010

Hamka: Tuntunan Puasa


Nama Pak Hamka (1908-1981) sememangnya tidak asing di bumi kita Malaysia. Lebih mendekati apabila bahasa pena yang digunakan oleh Pak Hamka dalam literaturenya persis seperti bahasa Melayu. Pernah seorang teman Indonesia memberitahu saya bahawa bahasa yang digunakan oleh Bung Hamka ialah bahasa klasik Indonesia. Oleh itu bahasa Melayu kita sama dengan bahasa klasik Indonesia. Maka tidak heranlah suatu masa dahulu bahasa Melayu telahpun menjadi bahasa perhubungan utama atau lingua franca di rantau ini.

Saya selalu mengunjungi syarikat buku Crescent di Batu Caves kerana ia terletak dalam laluan saya dari rumah ke UIA. Di situ saya melihat banyak juga buku-buku Pak Hamka yang mereka jual. Saya membelek-beleknya tapi tidak tergerak pula hati untuk membeli buku-buku tersebut sehinggalah suatu hari di bulan puasa ini saya berpeluang membeli buku Pak Hamka. Selesai menjadi imam solat terawih saya duduk sekejap mendengar tazkirah oleh seorang Ustaz yang dijemput oleh surau taman tempat saya tinggal. Selepas itu saya turun dan melihat ada gerai buku di perkarangan surau. Gerai sementara itu memuatkan barang-barang yang dibawa oleh ustaz penceramah tadi. Wakil penjualnya menunjukkan kepada saya sebuah buku berjudul `Tuntunan Puasa, Terawih & Shalat Aidilfitri` oleh Prof. Dr Hamka yang diedar oleh syarikat Crescent. Kali ini saya tidak berfikir panjang lalu terus membelinya. Entah kenapa saya tidak mengetahuinya. Mungkin saja berkat Ramadhan. Malam itu juga saya membaca buku itu. Esok harinya saya dilupakan untuk memegang bahan-bahan bacaan rutin saya kerana masih teringin untuk mengetahui apa kata Pak Hamka seterusnya. Lalu saya mengambil keputusan untuk menamatkan buku Pak Hamka dahulu. Malam ini saya berterawih membaca juz yang ke 8. Sebaik sahaja pulang ke rumah saya terus sahaja membaca buku Pak Hamka itu dan menamatkannya pada jam 12. 40 malam tadi.

Apa yang menarik tentang buku Pak Hamka itu ialah bentuk tulisannya yang seolah-olah seperti seorang ustaz sedang memberi tazkirah selepas solat terawih. Perbincangan bukanlah berbentuk ilmiah tetapi lebih kepada nada ketukan memberi kesedaran tentang hikmat puasa itu sendiri. Kaitan puasa dengan terawih, zakat fitrah dan solat hari raya. Kesah-kesah yang diceritakan oleh Pak Hamka tentang tabiat-tabiat manusia di zamannya dalam penghayatan mereka terhadap puasa sama seperti tabiat manusia pada tahun 2000an ini. Oleh itu ketukannya mengena. Kata Pak Hamka kehidupan moden yang serba canggih ini sebenarnya didominasi oleh keserakahan memuaskan nafsu perut dan seks. Oleh itu puasa amat penting untuk menundukkan nafsu dan sekaligus mengimbangi keperluan manusia. Jika tidak manusia akan beralih kepada kepuasan lain yang bersifat rohani semata-mata yang disajikan oleh gerakan-gerakan kebatinan di seluruh dunia yang mengelabui mata hati masyarakat Barat yang sudah bosan dengan falsafah materialistik. Antara gerakan kebatinan yang mengambil kesempatan daripada krisis kerohanian masyarakat moden yang disebut oleh Pak Hamka ialah Gerakan Swami Vivikanda, Krishna Murthi dan Inayat Khan di India. Manakala di Indonesia Gerakan Subud. Kubur Inayat Khan ada di kawasan Markaz Nizamudin. Saya pernah melihat ramai pengunjung mat salleh ke situ. Mereka berjalan di lorong kecil di situ. Memang mereka kelihatan seperti orang yang sedang mengelamun seolah-olah sedang menerima kunjungan kedamaian daripada perhimpunan di markaz ajaran Inayat Khan itu.

Right Diagnosis

Patient: “Doctor, are you sure I’m suffering from malaria? One of my workers was getting treated for malaria by his doctor, but he died of typhoid.” Doctor: “His doctor was not qualified and experienced as I am. I assure you that if I treat you for malaria, you’ll die of malaria only.
(Contributed by MG Kapahi, Delhi) Quoted From Kushwant Singh Column of Hindustan Times

Sunday, August 15, 2010

Kembara Deoband 20: Terawih Di Deoband

Sebelum Ramadhan lagi biasanya siapa-siapa yang hendak menjadi imam terawih akan bersiap sedia mengulang dan menyemak Al-Quran masing-masing dengan pentasmi`kan. Mereka akan mengisi masjid-masjid Deoband. Di Deoband tidak ada surau. Walupun saiznya kecil lebih kecil daripada surau di Malaysia ia tetap dinamakan masjid. Ada juga yang menjadi imam di rumah. Terutama apabila imam itu kanak-kanak. Solat terawih diadakan di rumah juga supaya wanita boleh mengikutinya. Ini kerana tiada ruangan disediakan untuk wanita di masjid-masjid di Deoband. Malah boleh dikatakan di seluruh India begitu. Ada juga yang menjadi imam di bilik-bilik maulana kerana mengimami mereka. Ada yang hanya berimam di bilik hostel masing-masing dengan hanya seorang makmum hafiz di mana mereka bergilir-gilir menjadi imam.

Di sekitar Darul Uloom sahaja ada banyak masjid. Masjid Tayyib, Masjid Qadi, Masjid Kamal Shah, Masjid Usmani, Masjid Sharamzudin, Masjid Shah Wilayat, Masjid Lal, Masjid Jamek, Masjid Rashid, Masjid Chatta, Masjid Darul Uloom, Masjid Darul Uloom Waqaf, Masjid Madani, Masjid Sheikhul Hind, Masjid Safid dan banyak lagi. Malah di Deoband sahaja ada puluhan masjid kalau tidak ratusan. Kesemua masjid mengadakan terawih sebanyak 20 rakaat sesuai dengan fatwa Darul Uloom. Kesemua masjid juga akan menamatkan Al-Quran 30 juzuk sepanjang Ramadhan walaupun ada yang menamatkannya lebih daripada sekali. Setiap imam terawih akan ditemani oleh sekurang-kurangnya seorang penegur. Jika kebetulan di kalangan makmum ada yang hafiz maka ramailah tukang tegur. Kebanyakan masjid makmur dengan makmum. Hampir kesemua lapisan masyarakat turun bersembahyang terawih. Daripada yang alim sampai ke yang jahil-jahil. Daripada yang kanak-kanak hingga kepada orang-orang tua. Tiada yang keluar ketika solat witir. Apakah pemangkin yang menyebabkan mereka eager untuk berterawih sedangkan tiada tazkirah dicelah-celahkan?. Tiada selawat dilaungkan antara rakaat-rakaat terawih. Tidak ada more disajikan. Tiada tahlil dikendalikan. Hanya semata-mata ibadat terawih difokuskan. Cukup simple. Di Deoband juga tiada saguhati disediakan untuk imam. Darul Uloom memfatwakan imam terawih tidak boleh menerima duit hanya kerana menjadi imam solat terawih. Tetapi dibolehkan kalau disertakan dengan menjadi imam solat fardu selama sebulan itu. Ini kerana dalam kitab-kitab fekah menyatakan bahawa imam solat fardu boleh menerima ganjaran. Oleh itu ganjaran yang diterima bukan untuk terawih tetapi untuk solat fardu.


Monday, August 9, 2010

Mathnawi Rumi: Tentang Ta`alluq

Mengikut Mathnawi terdapat tiga jenis hubungan (تعلق) manusia dengan makhluk yaitu hubungan dengan ما سوى الله
1- Hubungan Yang Dipuji (ta`alluq mahmud)
2- Hubungan Yang Dicela (ta`alluq mazmum)
3- Hubungan Yang Diharuskan (ta`alluq mubah)

Ta`alluq Mahmud ialah perintah-perintah yang disyariatkan. Ianya adalah haq dan memutuskan hubungan denganya adalah haram.

Ta`alluq mazmum ialah tegahan-tegahan berupa nahi dalam syariat. Memutuskan hubungan dengannya adalah wajib.

Ta`alluq Mubah ialah perkara-perkara yang diharuskan dalam syariat. Ia bukan perkara yang dikategorikan sebagai taat dalam syariat dan tidak juga maksiat. Tidak disyariatkan kita memutuskan hubungan dengan ta`alluq mubah tetapi amat penting agar dikurangkan hubungan dengannya (taqliil) dan menjauhi daripada asyik (inhimak) dengannya .

Dalam pentarbiahan ruh untuk pemurnian ruh penekanan diberikan kepada pemutusan ta`alluq (قطع تعلق). Apa yang dimaksudkan dengan qata ta`alluq itu ialah pemutusan ta`alluq mazmum dan ta`alluq mubah. Kata mereka ahli tarbiah:
Ta`alluq mazmum = mesti dijauhi (ترك)
Ta`alluq mubah = mesti dikurangkan (تقليل)
(Rujukan: Kalid Mathnawi jilid 1, ms 43)

Sunday, July 25, 2010

Anekdot Ulama 36: Dr Abdul Hayie Abd Syukur

Saya di sekolah menengah pada waktu itu dalam tahun awal 80an. Saya punyai ramai kenalan daripada kalangan mereka yang sudahpun berkerja. Kebanyakan mereka terlibat dalam ABIM yang pada ketika itu masih dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. Saya selalu dijemput mengikuti usrah-usrah umum yang diadakan di sebuah surau di Pintu Geng, Kota Bharu. Di situ saya mengenali nama-nama seperti Ustaz Alias Uthman, Ustaz Darus Senawi, Ustaz Muhammad Mustafa dan Ustaz Mohd Kamil Majid yang pada waktu itu aktif di dalam ABIM. Pada waktu itu mereka bertugas di Nilam Puri sebelum bertukar ke UM, Kuala Lumpur. Saya mengikuti penyampaian mereka tentang Tafsir, Dakwah, Amal Isalmi dsb. Saya juga ke Pejabat Pas (orang awam panggil kelab Pas) pada hari jumaat kerana mengikuti kuliah Tok Guru Nik Aziz. Saya juga menghadiri ijtima Tabligh setiap malam Jumaat yang pada ketika itu diadakan di Lundang berdekatan dengan Syarikat Dian Darul Naim.

Di samping usrah-usrah umum, kuliah Tok Guru dan ijtima` tabligh saya juga diajak oleh kawan-kawan ke rumah seorang ustaz yang disifat oleh mereka sebagai ustaz yang alim dan mempunyai ingatan yang kuat. Rumahnya terletak di Pasir Pekan. Untuk ke rumah ustaz itu kami mesti menyeberangi Jambatan Sultan Ismail. Di rumahnya diadakan pengajian kitab Al Umm pada waktu malam, seminggu sekali. Saya hanya mengikut kerana seronok bergaul dengan orang-orang dewasa yang berwawasankan Islam. Ada lebih kurang 10 orang lebih mengikuti pengajian itu. Kata kawan-kawan Ustaz itu pernah belajar di India, di Darul Uloom Deoband. Semasa takruf saya diberitahu bahawa namanya Ustaz Abdul Hayaie Abd Syukor. Saya melihat Ustaz memakai cermin mata yang tebal. Tentu kuat membaca. Ustaz juga memakai serban. Kemudian saya sempat juga mengikuti kuliah-kuliah maghrib Ustaz Hayie di Masjid Muhammadi kerana rumah saya hanya bersebelahan dengan Masjid. Bibit-bibit mengikuti kelas Dr Abdul Hayie di rumahnya itu barangkali salah satu faktor pemangkin kenapa akhirnya saya terdampar di bumi India hampir 15 tahun lamanya.

Kalid Mathnawi Syarah Mathnawi Jalaludin Ar Rumi


Saya mengenali Mathnawi Maulana Rumi setelah melihat terjemahannya oleh Reynold A. Nicholson di dalam perpustakaan kecil pelajar-pelajar dari South Afrika di Darul Uloom Deoband. Perpustakaan kecil itu telah lama ditinggalkan kerana pelajar South Africa hampir tiada lagi belajar di Darul Uloom. Mereka punyai Darul Uloom sendiri di South Africa. Suatu ketika dahulu pelajar Malaysia lebih ramai belajar di Darul Uloom jika dibandingkan dengan pelajar South Africa. Rata-rata pelajar mereka yang pulang ke tanah air mengusahakan penubuhan madrasah ala Darul Uloom. Berlainan dengan pelajar Malaysia, mereka ke Mesir selepas tamat daripada Darul uloom dan pulang bekerja dengan kerajaan atau makan gaji setelah memperolehi ijazah Azhar.

Mathnawi Maulana Rumi merupakan kitab yang selalu ditatapi oleh mereka yang mempunyai latarbelakang pendidikan dalam bahasa Parsi terutama di Iran dan negara-negara di Benua India termasuklah para asatizah Darul Uloom. Semasa dalam kelas maulana-maulana kerap menyelitkan kata-kata Maulana Rumi dan Allamah Sa`di jika menyentuh perkara berkenaan nasihat, akhlak, hikmah dan ibadat. Maulana Rumi dengan Mathnawinya. Allamah Sa`di dengan Gulistan dan Bustannya. Semua kitab-kitab ini ditulis dalam bentuk syair. Gulistan dan Bustan dijadikan sukatan pelajaran pra pengajian Arab di Darul Uloom. Di kalangan guru saya Maulana Abdul Haq Azami ialah yang paling kerap mendeklamasi syair Mathnawi di kala mengajar kitab hadis Bukhari.

Setelah lama di Darul Uloom saya mendapat tahu bahawa Maulana Ashraf Ali Thanawi ada menulis syarah kepada kitab Mathanawi. Khabarnya berjilid-jilid. Ia dinamakan Kalid Mathnawi iaitu Kunci Mathnawi. Tapi malangnya saya tidak pernah melihat syarah itu ketika di India. Tiada sebuah kedai kitab pun menjualnya. Tetapi saya mengetahui Kalid Mathnawi dicetak di Pakistan. Jumlahnya sebanyak 24 jilid tetapi disusun di dalam 10 buah buku. Selepas kali pertama dicetak Kalid Mathnawi terus hilang daripada pandangan pencitanya. Kebanyakan yang ditemui kesemuanya tidak lengkap. Melihat kepada kepentingannya beberapa individu yang ternama di Pakistan telah berusaha mengumpulkan semula jilid-jilid mathnawi yang telah hilang di seluruh Pakistan dan India. Dalam pencarian itu hanya jilid ke-5 tidak ditemui. Akhirnya ia ditemui di India milik Qadi Sajjad Husain. Beliaulah orang yang menterjemahkan Mathnawi ke dalam bahasa Urdu berserta hasyiah ringkas.

Semasa belajar MA hadis di UIA saya sempat bertandang ke perpustakaan ISTAQ dan digembirakan dengan kehadiran Kalid Mathnawi yang diselitkan dicelah-celah rak setelah gagal mencarinya di main library UIA.

Cita-cita saya untuk memiliki Kalid Mathnawi tercapai apabila seorang pelajar Malaysia (Alkh Mohd Tahir) di Pakistan bersedia untuk mengirimkan kepada saya kitab itu melalui pos udara. Alhamdulillah ianya selamat sampai dengan cetakan baru. Mathnawi bermula dengan sebuah syair mengambarkan diri manusia sebagai sebuah seruling bambu. Tiupan lagu seruling bambu itu menggambarkan keadaan dirinya yang sebenar. Sedih dan dukacita kerana berpisah dari tempat asalnya dan alam di mana ia datang. Sedih kerana berpisah dengan sesuatu yang disayangi dan dicintai. Seruling bambu itu ialah ruh manusia yang merindui Penciptanya. Sifat malakut yang secara tabiinya tidak dapat dipisahkan daripada sifat kecintaan (mahabat, ishq, ma`rifah, zikir) kepada Penciptanya adalah merupakan sifat ruh. Apabila ia bercantum denga sifat nasut (kemanusian) maka sifat kecintaan itu menjadi semakin berkurangan. Kekurangan inilah yang menyebabkan seruling bambu sentiasa mendendangkan lagunya untuk meluahkan kesedihan. Begitulah komentar Kalid Mathnawi terhadap rangkap syair pertama Mathnawi Ar Rumi.