Ulama Deoband sangat prihatin terhadap senario politik semasa. Dari semenjak sebelum merdeka lagi mereka turun mengundi untuk menentukan pemerintah yang memberi faedah kepada Islam dan muslimin. Dalam buku Fiqhi Maqalatnya Maulana Mufti Taqi Usmani menulis tentang "Kedudukan Vote Pilihanraya dalam Islam". Antara yang disebut oleh beliau ialah:
1-Salah jika berfikir begini: Politik hari ini kotor. Oleh itu orang yang mulia tidak seharusnya mengambil bahagian dalam sebarang bentuk yang melibatkan pilihanraya yang sudah tentunya sebahagian daripada politik.
2-Walaupun politik penuh dengan kekotoran tetapi menjadi suatu tangugjawab kepada rakyat membersihkan negara daripada terus berganda dengan politikus yang kotor.
3-Hadis menyebut: Jika manusia melihat orang zalim dan tidak menyekatnya maka tidak mustahil Allah akan menimpakan azab kepada semua "إِنَّ النَّاسَ إِذَا رَأَوُا الظَّالِمَ فَلَمْ يَأْخُذُوا عَلَى يَدَيْهِ أَوْشَكَ أَنْ يَعُمَّهُمُ اللَّهُ بِعِقَابٍ مِنْهُ " (Tirmizi, Abu Daud). Berdasarkan hadis ini pilihanraya paling tidak satu kudrat yang mampu dilakukan oleh semua orang untuk menyekat parti yang zalim dan kotor.
4-Ramai orang baik-baik mengatakan "Kalau saya tidak mengundi tiada apa yang rugi" sedang mereka lupa kepada sabda Nabi saw: "Barangsiapa yang melihat seorang mukmin dihina dan tidak menolongnya sedangkan ia mampu maka Allah akan menghinanya di hadapan orang ramai di hari akhirat".
".مَنْ أُذِلَّ عِنْدَهُ مُؤْمِنٌ فَلَمْ يَنْصُرْهُ وَهُوَ يَقْدِرُ عَلَى أَنْ يَنْصُرَهُ أَذَلَّهُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ عَلَى رُءُوسِ الْخَلاَئِقِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ (Hadith dhaif, riwayat Ahmad). [Orang Islam adalah saudara kepada orang Islam yang lain. Dia tidak akan menzaliminya, menghinanya, dan merendahkannya. Riwayat Muslim الْمُسْلِمُ أَخُو الْمُسْلِمِ لاَ يَظْلِمُهُ وَلاَ يَخْذُلُهُ وَلاَ يَحْقِرُهُ -penterjemah]
[Dipetik dgn pindaan drp buku berbahasa Urdu
Fiqhi Maqalat oleh Maulana Taqi, p287, jilid 2]