Saturday, October 25, 2014

Kembara Deoband 65: Maulana Taha Best Student Darul Uloom Deoband 1991

Tahun 1989 saya sampai ke Deoband dan memasuki Darul Uloom baru iaitu Darul Uloom Deoband Waqaf (dengan tambahan waqaf) yang menggunakan Jamik Masjid Deoband sebagai buildingnya.  Tahun berikutnya saya berpindah ke main building iaitu Darul Uloom Deoband lama. Saya dapati di sana ramai pelajar foreigner terutama dari South Afrika, England dan Afghanistan. Rata-rata mereka memasuki kelas atas. Bermakna mereka akan tinggal di Deoband dalam setahun dua sahaja. Ini kerana mereka telahpun belajar di tempat masing-masing sebelum datang ke Deoband. Mungkin mereka datang untuk mencari keberkatan atau belajar semula hadith dengan masyaikh Deoband . Kebanyakkan guru mereka adalah lepasan Deoband.


Waktu itu pelajar South Afrika, England dan Afghanistan semua tinggal di asrama. Kami pula tinggal di luar. Namun kami saling berkenalan antara satu sama lain kerana semua memiliki lesen yang sama iaitu foreigner. Pelajar South Afrika dan England mempunyai mess tersendiri dari turun temurun. Mereka bangunkan asrama di Darul Uloom dengan nama Africa Manzil. Di situlah mess mereka yang terletak di luar Darul Uloom.  Ada orang yang dibayar untuk memasak. Bila tiba time makan mereka hanya ke mess manakala pelajar Malaysia yang rata-ratanya miskin memasak sendiri dalam bilik sewa mereka. Semasa mereka ke mess inilah kami kerap terserempak di celah lorong berhampiran Masjid Chatta yang hanya beberapa langkah sahaja daripada mess mereka. Laluan mereka adalah laluan kami.

Antara mereka itu ada seorang yang bertubuh sasa. Saya mendapat tahu dia berketurunan Melayu. Orang panggilnya Toha. Saban hari ketika pulang dari kelas saya akan melalui bilik Toha yang terletak di Ihata Bagh, kawasan asrama pelajar South Afrika dan England. Saya pelajar baru. Toha juga pelajar baru. Dia datang pada tahun yang sama dengan saya tetapi ketika dia datang dia sudahpun alim. Sudahpun belajar di South Africa. 

 Bersembang dgn Maulana Toha

 Kunjungan Maulana Toha bersama para pelajarnya di Malaysia

Saya tidak pasti Toha terus masuk tahun akhir atau tahun sebelumnya. Bila dia memasuki tahun akhir namanya terus naik. Peperiksaan pertengahan tahun meletakkan namanya di atas. Nama South Afrika naik. Kami juga tumpang gembira kerana dia ada darah Melayu. Suatu hari Toha datang menziarahi kami pelajar Malaysia. Kami menyewa sebuah rumah yang kami panggil Baitul Jamil. Saya, Wan Nazarudin, Roselan, Hishamudin,  Nik Abduh (YB) dan Iskandar tinggal di situ.  Toha memasuki bilik saya. Kami bercakap bahasa Inggeris kerana pelajar South Afrika bercakap Inggeris sesama mereka. Toha beritahu bahawa datuk neneknya keturunan Melayu. Tapi dia hanya ingat hanya satu perkataan sahaja Melayu iaitu “Tok Guru”. Kawan-kawan menceritakan Toha sangat fasih bercakap bahasa Arab. Saya tidak tahu fasih mana kerana saya belum pandai Arab. Atau itu mungkin semata-mata takjub kerana rata-rata pelajar madrasah tak tahu bercakap Arab. Waktu itu kebetulan ada seorang pelajar keturunan Arab dari Australia. Namanya Fida`. Fida rapat dengan Toha. Jadi sahlah tu dia pandai cakap Arab. 

Waktu itu saya mempelajari kitab Hidayatu Nahw. Saya bertanya Toha kalau-kalau dia boleh ajar kami. Dengan senyum dia mengatakan aku tak belajar kitab ini. Aku hanya belajar Nahu Wadih.  Sampai sekarang Sheikh Toha menafikan hubungannya dengan nahu. Satu ketika saya dengar berita Toha kehilangan wang di New Delhi. Ketika di dalam bas koceknya digunting oleh penyeluk saku. Malang sungguh nasibnya. Saya juga diberitahu bahawa Toha mempunyai tulisan yang lawa. Khatnya cantik. Semua orang memujinya. Beliau tinggal di bilik No 2 Ihata Bagh bersebelahan dengan bilik saya yang saya diami setelah kebanyakan pelajar South Africa dan England pulang.  Saya pernah melihat tulisannya yang beliau abadikan dalam biliknya. Memang layak dipuji.

Waktu Toha tahun akhir ada seorang lagi pelajar genius. Namanya saya tidak ingat. Yang pasti dia adik kepada seorang  Maulana Darul Uloom yang berasal dari Afghanistan. Maulana Abd Rauf. Menurut cerita Maulana belajar di Darul Uloom sejak kecil. Maulana pernah belajar di Saudi juga buat seketika. Jadi Maulana boleh bercakap Arab dengan fasih. Boleh bercakap Arab dikira keramat di Darul Uloom waktu itu. Ada dua orang adik beradik Maulana Abd Rauf di tahun akhir waktu itu. Salah seorangnya  adalah saingan Toha di Dauratul Hadith. Rupanya saya ada kenangan juga dengan pelajar itu. Suatu hari saya di perpustakaan kerana ingin melihat kitab-kitab Parsi tentang syarah Risalah Lamiyah berkenaan huruf lam dalam Nahu. Kerana tidak faham saya bertanya beliau yang pada waktu itu tekun melihat kitab. Dia berserban besar seperti kebiasaan orang Afghanistan. Sebenarnya jarang pelajar datang bertandang di perpustakaan. Mungkin dia seorang yang kuat membaca.  Saya pula orang yang kebinggungan.

Bila peperiksaan akhir tahun 1991 diumumkan, nama Toha terpampang  dalam list sebagai `best student`. Dia dapat no satu daripada 700 pelajar. Nombor dua jatuh kepada pelajar Afghanistan tersebut.  [Sheikh Toha menceritakan dia mendapat berita bahawa pelajar tersebut telahpun meninggal dunia ditembak di sempadan Afghanistan dan Pakistan. Beliau mengajar di sebuah madrasah di sana]. 

Mengikut cerita, ayah Toha pernah jadi best student juga ketika belajar di Darul Uloom Deoband. Ayahnya sezaman dengan Mufti Ishak Bahrom, bekas mufti Selangor.  Selepas Toha pulang saya ingin mengorek berita tentang Toha. Waktu itu kawan rapatnya Zubair dari England masih ada. Beliau di tahun akhir pula. Mereka berbeza satu tahun pengajian. Saya masih ingat lagi kata-kata Zubair yang mengatakan bahawa dia selalu berdebat dengan Toha kerana beliau kuat Hanafi dan Toha kuat Syafie. Kata Zubair lagi: “Toha knows everything”.

Seperti pelajar Melayu dahulu kala Toha juga pergi ke Mesir selepas tamat Darul uloom Deoband selama 2 tahun.  Setelah pulang dia membuka sebuah madarasah di Cape Town. Itu yang saya dengar tentangnya bila ada orang South Afrika datang menziarahi Deoband.

Suatu hari saya menziarahi Maulana Qamarudin, guru hadith Muslim saya. Saya menceritakan kepada beliau bahawa Toha bekas best student Darul Uloom dahulu adalah keturunan Melayu. Dia terus berkata: Aku tidak pernah melihat kertas jawapan yang ditulis seperti yang ditulis oleh beliau. Tulisan Bahasa Arab dia juga hebat.[Sheikh Toha sambil bergurau memberitahu setiap kertas jawapannya dihiasi dengan syair sebagai penutup dengan meraikan usul Syafie dan Hanafi dalam huraian hadith. Hanafi kerana pemeriksa bermazhab Hanafi. Bahaya kalau melawan. Syafie kerana mazhab sendiri Syafie. Hati tak rela mempertaruhkan mazhab sendiri!!!. Akhirnya akan memberikan tarjih]

Toha tinggal kenangan. Saya selalu menceritakan tentangnya kepada kawan-kawan dan murid-murid saya. Mungkin dengan sebab keberkatan itu tiba-tiba dua tiga hari lepas saya menerima talipon daripada seseorang yang mengatakan bahawa Maulana Toha akan datang ke Malayasia pada hari Jumaat 24/10/2014. Dia ingin berjumpa saya. Dia ingin bertemu saya setelah 20 tahun berlalu.

Hari ini Maulana Toha datang ke rumah saya bersama anak-anak muridnya di Malaysia. Kami bersembang sekejap menceritakan tentang “purani baat” (cerita lama). Maulana Toha sempat bercerita tentang kisah ulama Deoband sambil menyelitkan unsur ilmiah tentang sejarah perkembangan manhaj Deobandi daripada Shah Waliyullah, Gangohi dan Kashmiri terutama untuk bekas pelajar-pelajarnya yang kesemuanya tidak pernah belajar di Deoband. Malah untuk renungan saya juga.

Maulana kemudian berangkat ke Kelantan untuk bertemu dengan Nik Abduh, Tok Guru Nik Abd Aziz dan rakan-rakan yang lain.Beliau juga akan ke Terengganu untuk bertemu dengan Maulana Lambok, yang juga bekas best student Darul Uloom Deoband.

Semoga Allah memberkati safar Maulana Toha Karan dan usahanya mengembangkan ilmu di South Africa.

2 comments:

Anonymous said...

Assalamualaikum Ustaz,
Adakah maulana Toha ini sheikh Toha Karan?

Zaharudin Nawi/Aji said...

ya