Wednesday, July 3, 2013

Kembara Deoband 58: Hadiah Quran Nublan Zaki

Saya bercita-cita untuk menghafal Al-Quran semenjak dari sekolah menengah iaitu dalam tahun 80an. Ramai sahabat yang saya kenali menghadiahkan kepada saya kaset qari-qari yang membaca Al-Quran dengan suara yang merdu-merdu. Ini membuatkan saya bertambah minat untuk menghafal Al-Quran. Saya berjinak-jinak menghafalnya setelah meniru bacaan mereka. Suatu hari saya dihadiahkan sebuah Al-Quran kecil oleh seorang sahabat satu sekolah, Nublan Zaki. Kami juga pernah mengikuti kursus bahasa Arab di Pusat Bahasa Arab Nilam Puri selepas SPM. Beliau anak kepada Ustaz Yusuf Zaki Yakub, penterjemah Tafsir  Zilal. Waktu itu dia sedang menuntut di UIA. Saya masih berada di Kota Bharu. Saya amat gembira kerana Quran yang dihadiahkan itu sungguh indah. Warnanya hijau. Corak kulitnya digubah dengan warna keemas-emasan. Ia diletakkan dalam satu kotak kecil dan dipecahkan kepada enam naskah. Satu naskah terdiri daripada lima juzuk. Quran ini memudahkan lagi saya untuk menghafal. Saya selalu membawanya ke mana sahaja saya pergi. Saya letakkannya di dalam kocek baju kerana saiznya muat untuk diletakkan dalam kocek.

Suatu hari saya berada di Masjid Muhammadi Kota Bharu untuk menunaikan solat. Saya perlu masuk tandas dahulu. Saya letakkan Quran di luar tandas. Bila saya keluar tandas, Quran itu hilang. Ia diambil orang. Mungkin orang itu ingat tak patut Quran ditinggalkan dekat tandas, lalu meletakkannya dalam masjid. Saya mencari-carinya di sekitar masjid tetapi tidak menemuinya. Saya amat kesal kerana saya amat sayangkan Quran itu. Banyak sudah juz yang dihafal menerusinya. Ia adalah naskah yang pertama yang terdiri daripada juz satu sampai juz lima. 

Wajah Al-Quran kecil hadian dari Nublan Zaki yang sudah lusuh di makan usia.


Juz 6-10                                                             Juz 11-15


Juz 16-20                                                         Juz 21-25


Bila saya ke India saya membawa Quran tersebut tanpa naskahnya yang hilang. Kemudian naskah yang terakhir pula hilang iaitu  juz 26-30. Saya terus menggunakan Quran itu sehinggalah pada tahun 1992 bila saya mengambil keputusan untuk menghafal Quran sepenuh masa. Ini setelah melihat Nik Mohd Abduh berbuat demikian. Dia berhenti belajar kitab dan mendaftar di kelas tahfiz. Sayapun menurut jejak langkahnya. Untuk tujuan ini saya menggunakan Quran yang lebih besar. Saya menggunakan Quran cetakan Saudi. Tidak banyak tanda yang ada dalam Quran itu berbanding dengan cetakan India. Dalam kelas mereka menggunakan hafalan mengikut pecahan-pecahan ruku`. Oleh itu saya meminta kawan di kelas tahfiz saya yang bernama Zakir dari Asam untuk menulis tanda ruku` seperti dalam cetakan India. Pada hujung tahun 1993 saya menamatkan hafalan Quran dan menyambung semula pengajian kitab.

Siapa sangka hadiah yang bersahaja daripada Nublan Zaki telah merelisasikan cita-cita saya itu. Walaupun bersahaja tetapi ia amat bermakna untuk diri saya. Pada waktu itu saya tidak mempunyai sumber untuk memilki Quran seumpama itu. Hanya niat murni yang menyampaikannya kepada saya. Semoga Allah  sentiasa memberi taufik kepada saya untuk terus membaca Al-Quran dan menjadikannya sumber pahala kepada mereka yang kerananya saya dapat menghafal Al-Quran.

Wajah sekarang bahagian depan Al-Quran 
yang saya gunakan ketika menghafal

Bahagian belakang Al-Quran

Mukasurat terakhir tertera tarikh saya tamat menghafal Al-Quran berserta 
tanda ruku` yang ditulis oleh Zakir Asami

Tuesday, July 2, 2013

Kembara Deoband 57: Darul Hadith dan Darul Tafsir

Gambar-gambar ini diambil pada tahun 1993.

Di hadapan pokok Molsari terdapat satu bangunan yang besar yang merupakan bilik-bilik darjah Darul Uloom peringkat tinggi. Ia terdiri daripada dua binaan yang besar. Iaitu bangunan Darul Hadith dan bangunan Darul Tafsir.

a) Darul Hadith. Lelaki yang sedang menyapu itu masih saya ingat rupa parasnya. Dia bekerja sebagai tukang sapu. Tempat yang dia menyapu bergantung kepada tugasnya hari itu. Kebanyakan tukang sapu adalah dari golongan kaum Bangi  (bukan bandar Bangi). Kaum bangi adalah Hindu yang berkasta rendah. Walaupun dinamakan Darul Hadith tetapi kelas-kelas yang terdapat dalam bangunan tersebut  bukan semestinya kelas-kelas hadith sahaja. Kemungkinan sewaktu awal-awal pembinaanya bangunan itu hanya digunakan sebagai kelas pengajian hadith.

Darul Hadith

Darul Hadith Fauqani yakni bahagian atas Darul Hadith. Bahagian ini adalah untuk pengajian kitab Mishkat Masabih berserta kitab-kitab yang lain yang setara dengan levelnya.

b) Darul Tafsir. Bahgian atas yang berwarna putih itu adalah Darul Tafsir. Semasa zaman saya kelas itu tidak digunakan sekian lama. Ia dibiarkan kosong berkunci. Mendengar nama Darul Tafsir seolah-olah suatu yang mengerikan. Terletak di bahagian paling atas Darul Uloom. Untuk sampai kepadanya mesti menaiki tangga tinggi yang sempit. Di sana tidak ada cahaya lampu. Namun setelah saya memasuki tahun 7 sebelum tahun akhir iaitu tahun 8, kelas itu dibuka kembali. Saya sempat belajar tafsir Baidhawi di dalamnya. Apabila tiba waktu tafsir kami akan menaiki tangga untuk ke kelas. Kemudian ia ditutp kembali. Selepas itu dibuka pula untuk kelas tajwid. Saya amat beruntung kerana sempat belajar hampir di semua bangunan Darul Uloom dari bangunan lama sampailah wujudnya bangunan baru.

Darul Tafsir


Darul Tafsir Dari Pandangan Jauh

Kubah Darul Tafsir

Kembara Deoband 56: Kuan dan Pokok Molsari

Gambar-gambar ini diambil pada tahun 1993. Bahagian yang agak glamour setelah memasuki pintu utama Darul Uloom ialah:

a) Perigi Darul uloom atau kuan yang diletakan di hadapannya satu pam tangan. Airnya sungguh sejuk. Terdapat gelas besi yang diikat dengan rantai besi supaya tidak hilang. Gelas itu untuk sesiapa menghilangkan dahaga terutama di musim panas. Adakalanya terpaksa beratur untuk minum dalam dua tiga orang menunggu giliran.


Perigi atau kuan bersama pamnya. Perigi kelihatan seperit 
kolah di bahagian belakang  sekali

 b) Pokok Molsari. Sebuah pokok yang cukup besar dan rendang. Bunganya harum. Pokok ini menghasilkan bayang yang cukup besar untuk meneduhkan bahagian depan Darul Uloom yang dinamakan Ihata Molsari.

Pokok Molsari di depan perigi dan pam air

Monday, July 1, 2013

Kembara Deoband 55: Pintu- Pintu Darul Uloom Deoband

Gambar-gambar ini diambil pada tahun 1993


Bab Imdad. Pintu utama Darul Uloom. Dibina di zaman Maulana Qari Tayyib oleh Maulana Wahiduzzaman

Bab Qasim. Bahagian atasnya yang baru dibina di zaman Maulana Marghuburahman oleh Maulana Wahiduzzaman

Bab Rafi`. Juga terkenal dengan nama Mawwaj Gate (Bab Mawwaj) 

Madani Gate. Pintu yang selalu digunakan oleh Maulana Husein Ahmad Madani untuk memasuki Darul Uloom

Bab Zahir. Dibina atas biayaan Raja Zahir, raja  Afhanistan pada tahun 1940 pada zaman Maulana Qari Muhammad Tayyib.

Saturday, June 29, 2013

Kembara Deoband 54: Rahat Manzil

Setelah tinggal di Baitul Jamil saya berpindah ke rumah sewa baru yang bernama Rahat Manzil pada awal-awal tahun 90an. Waktu itu saya tinggal bersama dengan Wan Nazarudin sebelum dia mengambil keputusan untuk pulang ke Malaysia. Rahat Manzil berhadapan dengan Masjid Madani, masjid tempat Maulana Husein Ahmad Madani solat pada zamannya. Di bawah masjid ini ada bahagian bawah tanah. Ia dikatakan tempat Maulana Madani bersuluk. Berdekatan dengan masjid ini terletaknya rumah keluarga Husein Ahmad Madani   yang tidak jauh dari Masjid Rashid dan bangunan Thanawiah Darul Uloom.

Rumah sewa kami dimiliki oleh satu keluarga yang berada dan berpendidikan. Anak tuan rumah yang berurusan dengan saya dalam apa sahaja hal ehwal tentang Rahat Manzil ialah Faisal. Waktu itu dia sedang belajar di Kolej. Abangnya adalah pensyarah bahasa Inggeris di Jamia Milia New Delhi. Rumah ini mempunyai satu court badminton yang besar. Malah ia seperti taman. Kami menebas juga bulu tangkis di kala lapang terutama di musim sejuk. Bilik rumah ini besar-besar belaka. Ada tiga bilik dan satu dapur. Kami duduk ditingkat atas. Bilik bawah disewa oleh orang Deoband yang sudah berkeluarga.Kemudian ia disewa pula oleh seorang Bangladesh yang berkahwin dengan anak Insyaalah Khan orang Deoband. 

Bersama dengan tuan rumah Faisal

Ketika duduk di sini saya memasak juga. Bergilir-gilir dengan Wan Nazarudin. Kemudian Surul (Ustaz Surul Sahabudin) dan Ismail datang untuk tinggal bersama dengan kami. Waktu ini Surul masuk kelas hafiz dan menghafal Quran. 

Giliran memasak malam utk Surul, Wan dan Ismail

Setelah Surul dan Wan meninggalkan Rahat Manzil saya tinggal bersama pelajar Thailand dari Bangkok. Sepatah perkataan merekapun tidak difahami. Mereka adalah generasi orang Melayu Bangkok yang sudah tidak boleh bertutur bahasa Melayu. Perkataan Melayu yang mereka tahu adalah "Saya Terima Nikahnya dengan maskawin...." kerana jawab nikah masih memakai bahasa Melayu kata mereka. 

Sebelum saya tinggal di Rahat Manzil saya menyewa bilik di Masjid Madani. Biliknya macam kubur   menyebabkan saya hampir tidak dapat bernafas. Saya tinggal di bahagian tingkat atas berdekatan dengan bumbung Masjid menyebabkan saya seolah-olah di kukus pada musim panas.  Saya selalu berdoa agar diberikan bilik yang baik sedikit. Bila mendengar khabar berita tentang kekosongan Rahat Manzil saya nekad untuk menyewanya walaupun duit cukup-cukup makan. 

Friday, June 28, 2013

Anekdot Ulama 52: Ustaz Abdul Qadir dan Kitabnya

Banyak perkara yang saya tidak mengetahui tentang orang yang saya mengenalinya. Al Marhum Ustaz Abdul Qadir Hasan antara individu yang saya kenali tetapi tidak banyak maklumat peribadinya saya tahu. Berasal dari Kelantan. Tinggal di Segambut. Beliau pernah belajar di Deoband. Dia adalah abang angkat Maulana Mohd Asri Darul Kauthar. Ustaz Abdul Qadirlah yang menjaga maulana ketika maulana dikirimkan oleh keluarganya untuk menghafal Al-Quran di Deoband. Waktu itu maulana masih kecil. 

Saya mengenali Ustaz Abdul Qadir setelah diperkenalkan oleh sahabat untuk proses mendapatkan visa ke India. Ustzlah yang menjadi perantara antara kami dengan kedutaan India di Kuala Lumpur. Yang saya tahu ustaz pernah bekerja dengan Pusat Islam sewaktu awal-awal penubuhannya. Selepas itu ustaz berhenti dan menjadi pendakwah bebas. Hampir semua pejabat mengenali ustaz kerana ustaz  mengajar di suaru-surau pejabat pada waktu tengahari. 

Saya tidak tahu bahawa Ustaz mempunyai kebolehan mengarang sehinggalah saya dihadiahkan oleh seorang pelajar Basooir, Nik Mohd Farid sebuah buku hadith karangan Ustaz. Nik antara orang yang banyak mengetahui tentang Ustaz kerana sempat berguru dengannya. Buku itu berkenaan ilmu Mustalah Hadith sebanyak 2 jilid. Buku bersaiz kecil. Jilid pertama 156 mukasurat manakala jilid kedua 160 mukasurat.  Dicetak dalam tulisan jawi oleh Pustaka Aman Press. Tidak diketahu bilakah ustaz menulis buku ini. Mungkin awal-awal tahun 70an kerana cetakan jilid pertamanya pada tahun 1975. Manakala cetakan pertama jilid kedua pada tahun 1985. Kemungkinan Ustaz menulis kitab ini sebelum ustaz sibuk dengan aktiviti mengajar di surau-surau dan di masjid-masjid. Seperti kitab-kitab mustalah yang lain ia hampir mencangkupi kesemua tajuk-tajuk asas yang penting dalam ilmu hadith iaitu tentang hadith Sahih, Hasan dan Dhaif.

Ustaz sudah tiada. Hanya kitabnya lah dapat berbicara. Semoga suatu hari nanti kitab ini diulang cetak agar ia tidak luput daripada pengetahui pembaca tentang khazanah-khazanah ilmu yang ditinggalkan oleh mereka yang terdahulu dan mendatangkan pahala yang berterusan buat Ustaz.

 Kitab Ilmu Hadith Ustaz Abdul Qadir Jilid 1

 Kitab Ilmu Hadith Ustaz Abdul Qadir Jilid 2


Thursday, June 27, 2013

Kembara Deoband 53: Seorang Itali Tetamu Deoband

Suatu hari ketika di Deoband saya bertemu dengan seorang Italy. Dia baru masuk Islam. Banyak mengembara untuk mencari agama. Boleh bercakap Arab tetapi bahasa pasar. Banyak merantau di tanah Arab untuk mencari sheikh tasawuf. Pernah bertemu dgn Nuh Ha Min Keller di Jordan. Dialah yg memberitahu saya Nuh Ha Mim Keller baru menerbitkan bukunya Realiance of  the Traveller terjemahan kitab fekah mazhab Syafie Umdatu Al-Salik. Dia ke India kerana ingin menziarahi kubur Sirhindi dan mencari guru tasawuf tarikat Naqshabandi kerana gurunya sudah meninggal. Itulah seorang salik ada yang mencari rantaian kerohanian menerusi pencarian fizikal…

Kebetulan ketika saya mengambil MA di UIA ada pelajar MA dalam jurusan Usuludin yang bernama Mohd Nasir Mohd Tap selalu bersembang dengan saya ketika berada di kantin kolej tentang berbagai isu yang agak santai. Antaranya tasawuf di Deoband. Beliau bukan setakat pengkaji tasawuf malah seorang pengamal tarikat Naqshabandi. Bukan itu sahaja beliau juga rajin bertalaqi kitab-kitab turath. 

Dalam diam-diam Mohd Nasir Mohd Taip telah menghasilkan satu karya ilmiah tentang wacana tasawuf, tarekat dan pemikiran kalam Imam Ahmad Sirhindi. Saya dihadiahkan buku itu oleh beliau kerana katanya nama saya ada dinukilkan dalam buku itu (m/s 80) ketika beliau membicarakan tentang perbezaan konsep wahdatul wujud antara Maulana Asraf Ali Thanawi dengan Sirhindi. Itulah seorang salik ada yang mencari peluang menyumbang rantaian kerohaniannya melalui wacana ilmiah.

Karya Mohd Nasir Mohd Tap

Buku Nuh Ha Mim Keller

Saya tidak mengetahui banyak perkara tentang Sirhindi. Saya mengetahui tentangnya kerana namanya sentiasa disebut-sebut dalam buku-buku ulama Deoband dan ulama India yang lain seperti Maulana Abul Hasan Ali An Nadwi. Noktah-noktah Maktubaat yang ditinggalkan olehnya menjadi kajian dan panduan kepada mereka yang mencari jawapan kepada polemik pengalaman kerohanian. Sesetengah ulama keliru dengan jenama `Deobandi`. Tidak sedikit di kalangan ulama di tanah air kita juga keliru dengan Deobandi. Mereka sinonimkan Deobandi dengan Wahabi kerana kebetulan pandangan Deobandi dan Wahabi serupa tentang beberapa isu. Meraka juga keliru tentang pelajar-pelajar Malaysia yang keluar daripada madrasah aliran-aliran Deobandi. Mereka menyangka pelajar-pelajar lepasan madrasah Deobandi tidak kira samada di India ataupun Pakistan adalah penjelmaan  kepada pandangan Deobandi. Dalam hal tasawuf Deobandi menerima tasawuf malah penjadi pengamal dan pendokongnya. Tentang bagaimana pembawakan tasawuf Deobandi itu tidak menjejaskan mereka daripada digolongkan dalam golongan mutasawifin atau mutasawifun. Oleh itu sesiapa sahaja yang lepasan madrasah aliran Deoband yang menolak tasawuf sebenarnya tidak mewakili suara ulama Deoband dalam bab ini. Itu mungkin pandangan peribadi beliau.

Biodata Mohd Nasir