Thursday, July 22, 2010

Kitab Inamul Bari Maulana Taqi Uthmani

Sebuah kitab sampai kepada saya berjudul Kitab Inamul Bari (إنعام الباري). Sebelum itu seorang rakan dari US bertanyakan saya tentang kitab itu. Dia menanyakan saya samada saya memiliki kitab itu atau tidak kerana pada waktu kami belajar dahulu kami belum mendengar tentang adanya kitab Inamul Bari. Pada waktu itulah baru saya mengetahui tentang kehadiran kitab Inamul Bari. Ia adalah sebuah kitab syarah Bukhari. Setakat ini ia dibukukan dalam tujuh jilid. Jilid kelapan akan menyusul yang akan dimulai dengan kitab Bad`ul Khalq (بدء الخلق). Ditulis dalam bahasa Urdu kerana asal syarahan hadis Bukhari yang dilontarkan ialah dalam bahasa Urdu. Sebenarnya ia adalah kumpulan catitan anak-anak murid terhadap pengajaran hadis Bukhari oleh Maulana Taqi Uthmani selama beberapa tahun. Setiap tahun pengajaran Bukhari ditamatkan pada bulan Rejab atau Sya`ban di madrasah beliau Madrasah Darul Uloom Karachi. Oleh itu catitannya adalah suatu susunan semula merangkumi pengajaran di tahun-tahun yang berlainan. Di benua India catitan seumpama itu dinamakan sebagai Taqrir (تقرير) atau Ifadat (إفادات). Dengan kata lain ia termasuk dalam kategori amali (أمالي). Antara kelebihan Inamul Bari ialah perbahasannya tentang sesebuah hadis tidak panjang. Tetapi cukup padat. Oleh itu ia membantu mempercepatkan pembaca berpindah daripada satu hadis kepada hadis yang lain. Sekali gus mempercepatkan khatam Bukhari dengan bantuan sedikit syarahan. Hal ini sangat penting kerana hadis Bukhari tersangat banyak dan sukar untuk menghabiskannya jika dibaca tanpa syarah. Di samping taqrir Bukhari Maulana Taqi Uthamani juga mempunyai taqrir Tirmizi. Taqrir-taqrir ulama Deobandi sebegini sudah banyak dikumpulkan dan menjadi sumber rujukan di kalangan pelajar dan pengajar. Bertiti tolak kepada kepentingannya ini Maulana Zakariya Kandahlawi telah mengambil inisiatif menyusun kembali beberapa amali pengajaran hadis dalam bahasa Arab terutama amali Maulana Rashid Ahmad Gangohi yang dicatatkan oleh ayahandanya Maulana Yahya Kandahlawi. Jika diberikan masa yang cukup oleh Allah swt saya bercadang untuk menulis satu artikel tentang satu analisa terhadap Amali pengajaran hadis Ulama Deoband sebagai satu pendedahan kepada masyarakat pencinta hadis terhadap perkembangan ilmu hadis di India. Insyaalah.

Tuesday, July 20, 2010

Kembara Deoband 19: Bayya Tauhid

Berdekatan dengan rumah sewa kami pelajar-pelajar Malaysia ada sebuah kedai runcit. Kedainya sangat kecil. Ia bersambung dengan masjid Choti dan sememangnya ia milik masjid Choti tetapi disewa oleh seorang lelaki yang dikenali di kalangan kami sebagai Bayya Tauhid (Abang Tauhid). Di bahagian belakang kedai Bayya Tauhid itu ialah stor tempat dia meletakkan guni beras. Ia juga dijadikan tempat oleh Bayya Tauhid untuk memanaskan susu lembu sebelum dijual. Stor itu bersambung dengan bahagian depan kedai tempat Bayya Tauhid meletakkan barang-barang runcit yang hendak dijualnya. Di kala itu barang-barang di stor hampir tiada. Kalau adapun satu guni beras. Oleh itu ia dijadikan markaz tempat pelajar-pelajar Malaysia menjamu chai (teh), dud (susu) atau dud patti (susu + teh = teh susu). Untuk tujuan itu Bayya Tauhid menyimpan satu stove yang akan dipamnya untuk memasak chai. Bila ada permintaan Bayya Tauhid juga memasak telur goreng untuk dimakan bersama roti slice. Terutama di waktu pagi untuk sarapan.

Ketika saya baru-baru di Deoband barang-barang dalam kedai Bayya Tauhid tidaklah banyak kerana beliau baru setahun dua berniaga. Tetapi lama kelamaan barang semakin banyak. Sewaktu saya ingin meninggalkan Deoband stor Bayya sudahpun penuh dengan guni-guni beras. Hampir tiada tempat duduk untuk minum-minum chai. Apa yang menarik tentang Bayya Tauhid ini ialah tentang akhlaqnya. Apa yang saya lihat tentang kemajuan kedainya adalah hasil daripada keberkatan hidupnya. Berikut adalah ciri-ciri Bayya Tauhid.
1- Bayya Tauhid adalah seorang penyabar. Sepanjang saya mengenalinya selama 14,15 tahun dia tidak pernah bergaduh dengan sesiapa. Malah apabila dimaki hamun kerana urusan kedai dia akan diam. Kadang-kadang ada yang datang memohon maaf kerana bersikap kasar dengannya. Ramai pelajar berhutang di kedainya. Ambil barang dan bayar bulan-bulan termasuklah pelajar Malaysia. Ramai juga di kalangan pelajar yang pulang ke tempat masing-masing tetapi lupa untuk menutup akaun.
2- Bayya taat dengan syariat. Bayya tidak pernah luput solat berjemaah. Menyimpan janggut dan berpakaian kurta pajama yang merupakan syiar mereka yang beragama di India.
3- Bayya seorang penyantun. Bila bercakap penuh dengan sopan. Suaranya tidak meninggi.
4- Bayya seorang yang menjaga masa. Selepas solat subuh Bayya akan membuka kedainya. Pukul 10 dia akan ke pasar membeli barang. Sejam kemudian dia membuka kembali kedainya sehingga zohor. Selesai solat zohor di masjid beliau pulang ke rumah untuk makan tengahari dan tidur. Sebelum asar kedai akan dibuka kembali. Waktu asar kedai akan ditutup. Kedai akan dibuka sehingga jam 10, 11 malam mengikut musim pada waktu itu. Kedai akan ditutup waktu solat maghrib dan ishak. Deoband mengalami musim sejuk dan panas.
5-Bayya seorang peruncit berwawasan. Apabila tiba pilihanraya Bayya akan sibuk dengan kempen. Tetapi dalam lingkungan yang kecil. Berdakwah melalui kedainya. Ramai bertandang di kedainya. Issu dibincangkan sekitar politik Deoband dan politik India. Beliau akan berkempen untuk calon yang bagus untuk pilihanraya municipal board Deoband dan untuk pilihanraya India juga.
6- Bayya berpegang kepada Bahisti Ziwar. Di kedainya diletakkan kitab Bihishti Ziwar. Kitab itu akan dijadikan panduannya dalam jual beli supaya mengikut syariat. Beliau tidak berpendidikan tinggi hanya tamat diniyyat (kelas rendah) di Darul Uloom.
7- Bayya memelihara kambing. Bayya akan memelihara seekor dua kambing yang akan ditambat di hadapan kedainya. Beliau memberi makan kambing-kambing itu kacang dal dari kedainya. Kambing ini akan dikorbankan bila hari raya korban. Saban tahun Bayya akan berkorban seekor kambing pada hari raya korban. Bayya akan membeli anak kambing baru untuk dibesarkan sehingga layak dikorbankan untu hari raya seterusnya. Korban wajib dalam mazhab Hanafi.


Saturday, July 10, 2010

Kembara Deoband 18: S. Chand Company

Kitab-kitab tahun pertama kesemuanya berbahasa Parsi. Ia sangat menyulitkan saya. Saya berfikir bagaimana hendak meneruskan pengajian di Deoband kalaulah begini keadaannya. Walaupun keazaman kuat tetapi laluannya tidak membantu. Saya buntu bagaimana hendak memahami bahasa Parsi. Bagaimana hendak mempelajarinya. Setiap hari itulah yang difikirkan. Saya membelek-belek buku yang dibawa daripada Malaysia. Ada beberapa kamus dan satu buku Grammar English. Saya belinya ketika di sekolah menengah tetapi tidak pernah membacanya. Saya memasukkannya juga ke dalam beg saya untuk menaiki pesawat. Mungkin ia akan mendatangkan faedah kepada saya ketika di India nanti. Itulah harapan saya kepadanya dengan berbuat demikian. Mata saya asyik memandang buku Grammar English berwarna merah itu yang saya susun di atas meja bacaan. Saya lalu mengambilnya. Pada kulitnya terpampang tajuk besar iaitu High School English Grammar And Composition. Itulah jodol asalnya. Ditulis oleh Wren & Martin. Saya membuka lembarannya dan sangat terkejut apabila terpandang tulisan yang menyatakan ia dicetak oleh S. Chand Company Ltd yang beralamat di Ram Nagar New Delhi. Manakala show roomnya terletak di Asaf Ali Road.

Saya mula menanam hasrat untuk ke sana. Dengan bantuan kawan-kawan saya ke Delhi untuk mencari lokasi S. Chand Company Ltd. Lama mencari akhirnya alhamdulillah saya menemui kedai showroom S. Chand Company. Ia terletak berdekatan dengan hospital Maulana Azad dan railway station New Delhi. Saya memasuki kedai buku S. Chand itu. Tuan kedai bertanya dalam bahasa Inggeris. Saya kata saya mencari buku untuk mempelajari bahasa Parsi. Tuan kedai sangat baik hati. Dia membawa saya ke ruangan bahasa. Saya amat gembira sekali kerana banyak buku-buku grammar dalam berbagai bahasa terdapat di situ. Saya memilih buku Persian Grammar oleh Lambton untuk bahasa Parsi. A Grammar of the Arabic Language oleh W. Wright untuk bahasa Arab. Webster Universal Dictionary untuk kamus Inggeris yang saya kira agak lengkap walaupun saya dah bawa bersama Oxford Advanced Leraner`s Dictionary of Current English oleh AS Hornby. Persian-English Dictionary oleh Steingass untuk kamus Parsi. Saya amat-amat seronok. Mungkin masalah saya akan selesai selepas ini. Saya bertekad untuk mempelajari bahasa Parsi dan Arab menerusi buku-buku tersebut. Saya mengangumi S. Chand Company yang mencetak buku-buku seumpama itu untuk di hantar ke luar negara. Saya mula merasai bibit-bibit adanya budaya ilmu di India kerana mudahnya mencari bahan pengajian. Saya bersyukur kepada Allah SWT yang telah menggerakkan hati saya membeli dan membawa buku Wren & Martin. Alhamdulillah saya telah membaca keseluruhan buku Persian Grammar Lambton itu. Ianya merupakan langkah awal yang membolehkan saya mengikuti pengajian di Deoband.

Tuesday, July 6, 2010

Kembara Deoband 17: Hari Pertama Di BangunanThanawiah

Dari Darul Uloom Deoband Wakaf saya bertukar ke madrasah Darul Uloom Deoband yang asal. Saya ingin belajar dari bawah iaitu dari tahun satu. Pengajian tahun satu hingga empat diadakan di bangunan yang dipanggil sebagai thanawiah. Tahun satu hingga empat menekankan subjek-subjek ilmu alat seperti nahu, saraf, mantik, falsafah, matan fekah dan usul fekah permulaan dan pertengahan, terjemahan Al-Quran dan bahasa Arab. Bangunan thanawiah terletak berasingan daripada main building of Darul Uloom. Bangunannya agak usang dan tidak terurus. Kelas-kelasnya juga begitu mlalah sempit-sempit. Kebanyakkan kelas dipenuhi dengan tipai atau meja panjang. Tiada kerusi kerana kami belajar sambil duduk di atas lantai. Lantai-lantai kelas dihiasi samada dengan tikar jerami atau kain guni. Oleh kerana jarang disapu ia penuh dengan pasir. Oleh itu hakikatnya kami duduk di atas pasir. Meja guru diletakkan lebih tinggi daripada meja murid-murid supaya guru boleh nampak murid yang tidur. Setiap kelas hanya mempunyai papan hitam yang amat kecil. Itupun jarang digunakan.

Dalam kelas saya ada lebih kurang dua puluh orang pelajar. Agak ketat seperti sardin kerana ruangan kelas yang agak sempit itu. Rata-rata pelajar tahun satu berumur dalam lingkungan 12, 13 tahun. Suasana agak bising kerana mereka masih budak-budak. Kecuali kalau ada Maulana mereka semua diam seribu bahasa kerana takut. Sikap Maulana di tahun satu amat garang. Rotan menjadi perkara biasa kalau tak ingat menghafal matan nahu dan tasrif saraf. Maulana yang mengajar kami di tahun satu pada waktu itu ialah Maulana Mufti Arshad, Maulana Saidurrahman, Maulana Shamim dan Maulana Salman. Mereka semua muda-muda kerana baru tamat daripada Darul Uloom. Kebetulan pada tahun itu Darul Uloom memperkenalkan skim tutor kepada pelajar-pelajar cemerlang. Mereka akan berkhidmat dengan Darul Uloom dalam lebih kurang dua tahun. Selepas itu kebiasaannya mereka akan ditawarkan mengajar di madarasah lain yang terletak di merata tempat di seluruh India. Mereka semua baik-baik dengan pelajar foreigner kerana pelajar-pelajar asing semuanya sudah berumur dan boleh dikatakan sebaya dengan mereka.

Masih teringat kepada Ibrahim seorang pelajar dari Afganistan. Waktu itu pelajar Afghanistan ramai di Darul Uloom. Mereka di bawah jagaan PBB kerana negara mereka pada waktu itu sedang berhadapan dengan penjajahan Soviet. Mereka bebas belajar samada di madrasah atau di sekolah. Semua ditanggung oleh PBB. Waktu itu madrasah belum dicop sebagai sarang pengganas kerana Amerika memerlukan segala bentuk kekuatan untuk menghalang pengaruh Soviet Union. Setelah kejatuhan Soviet barulah Amerika memandang serong terhadap madrasah. Ibrahim agak tua jika dibandingkan dengan pelajar lain. Umurnya dalam lingkungan 17 atau 18 tahun. Bahasa ibundanya Parsi. Dialah yang menunjukkan kepada saya bagaimana membaca teks Parsi kerana kesemua kitab tahu satu berbahasa Parsi. Pelajaran tahun satu juga amat mudah bagi Ibrahim kerana faktor bahasa. Ibrahim cepat mengusai Urdu kerana bahasa Urdu banyak menggunakan perkataan Parsi. Malangnya Ibrahim hanya setahun di Darul Uloom. Selepas itu dia menghilang entah ke mana. Mungkin dia dibawa oleh PBB entah ke negara mana sebagai refugee. Pertemuan dengan Ibrahim biarpun tidak lama tetapi ia memberi kesan kepada diri saya. Sikap Ibrahim yang memilih madrasah untuk belajar walaupun mereka pelarian dibenarkan belajar di sekolah biasa. Sikap Ibrahim yang tidak jemu membantu. Sikap Ibrahim yang cintakan agama. Sikap Ibrahim yang tidak menampakkan dirinya sebagai orang yang kehilangan negara. Sikap Ibrahim yang tidak malu belajar walaupun dikelaskan bersama kanak-kanak yang lebih kecil daripadanya. Semoga Allah memelihara Ibrahim hingga ke akhir hayat.

Friday, July 2, 2010

Esoteric and Exoteric

Hari Rabu lepas saya diajak oleh Prof Dr Abu Laith menemaninya ke UM untuk menghadiri satu meeting tentang plagiat. Prof. menjadi pemeriksa luar kepada satu thesis MA pelajar UM dalam bidang hadis. Prof dapat mengesan banyak berlaku plagiat dalam thesis tersebut. Lapuran Prof menyebabkan pihak UM terpaksa memanggil pelajar tersebut untuk beliau menjawab tentang tuduhan plagiat ke atas thesisnya itu. Kami sampai jam 9.00 pagi. Pertemuan itu dijadualkan pada pukul 9.30. Sambil menunggu saya sempat bersembang sedikit dengan Datuk Prof. Zulkifly Ya`akub, Dr Reduan Tee, Dr Fauzi Deraman yang pada ketika itu sedang menunggu turn masing-masing utk pemeriksaan viva thesis.

Setelah hampir sejam lebih munaqashah Prof Abu Laith keluar dalam keadaan kesejukkan kerana suhu aircond yang terlalu rendah. Dia tidak tahan sejuk kerana baru sahaja keluar dari IJN kerana pembedahan jantung. Saya bertanya sabit atau tidak plagiattu. Dia kata memang sabit. Katanya mungkin si Arab tu upah orang buat kerana dia bekerja di kedutaaan dan banyak duit.

Hari khamis keesokkan harinya Dr Ishak dari UM datang ke UIA kerana urusan yang sama. Thesis hadis PHD pelajar Arab UIA dikenalpasti oleh Dr Ishak sebagai pemeriksa luar sebagai plagiat!!!

Tidak amanah dengan ilmu berlaku secara berleluasa di zaman serba materialistik ini. Orang mencari sijil bukan lagi ilmu. Yang penting dapatkan MA dahulu, Phd dahulu. Kemudian nanti senang dapat kerja. Bila dah dapat kerja barulah kita tambah ilmu. Itulah antara pendapat yang didengari daripada pelajar-pelajar malah daripada pensyarah sendiri apabila berhadapan dengan dilema antara mencari ilmu yang sebenar dengan sijil sebagai wasilah. Tetapi agak malang kerana selepas menjawat jawatan sebagai pensyarah misalnya ilmu tidak dpt ditimba. Kerja dan tuntutan universiti semakin byk. Progress dlm ilmiyah perlu dibuktikan kpd pihak berwajib. Maka dgn sebab itu perkara berkenaan dgn plagiat berlaku bukan sahaja di kalangan pelajar malaah kpd pensyarah sendiri.

Di antara fenomena plagiat dan seumpamanya yang merungsingkan berlaku di institusi pengajian tinggi dan di luarnya ialah:
1- Pelajar mencuri maklumat dari internet sebagai sumber paling mudah untuk penciplak.
2- Pelajar mengambil upah membuat thesis kawan yang sudahpun bekerja kerana tidak cukup wang untuk biayai pengajian pasca siswazah.
3- Pensyarah mengupah pelajar untuk membuat artikel untuknya dengan sedikitpun tidak menyebut nama pelajar itu.
4- Pensyarah mengerahkan seratus peratus keringat pembantu penyelidiknya untuk membuat penyelidikan kepadanya. Nama pelajar itu tidak juga disertakan. Sedangkan PENSYARAH sudahpun belajar dalam penyediaan sesebuah thesis nama penyelia hanya akan ditulis sebagai penyelia bukan sebagai penulis thesis.
5- Penulis mengupah orang lain untuk menterjemahkan sesuatu buku tetapi meletakkan namanya sebagai penterjemah penuh.
6- Penulis hanya penyelenggara projek seperti projek kamus. Penterjemahan kamus dilakukkan oleh beberapa orang lain. Tetapi nama utama penterjemah kamus itu penulis tersebut.
7- Pelajar membeli sijil. Seperti apa yang berlaku kepada pelajar-pelajar Malaysia di Azhar Mesir yang gagal tahun satu atau dua. Mereka datang ke India untuk membeli sijil Darul Uloom Deoband dari sindiket menjual sijil. Dengan sijil Deoband mereka dapat naik tahun tiga di Azhar!!!. Saya dan kawan2 sempat membenteras sindiket ini ketika di India tahun 90an dahulu. Sebelum pembenterasan entah berapa ramai yang telah lolos menjadi ustaz dan pensyarah universiti.

Dunia ilmiyah hari ini tidak lagi mengenal mana yang esoteric dan mana yang exoteric.


Sunday, June 20, 2010

Jarang Didengari Tentang Tasawwuf

Maulana Abul Hassan Ali An Nadwi di samping seorang pemikir Islam beliau juga seorang pengamal tarikat. Didikan tarikat tasawwuf beliau bermula di rumah lagi. Kemudian di madrasah tempat beliau menceduk ilmu. Nadwatul Ulama (dengan ahli keluarganya yang merupakan pentadbir madrasah), Darul Uloom Deoband (dengan Maulana Husein Ahmad Madani) dan Mazahir Uloom (dengan Maulana Zakariya Kandahlawi). Kemudian dengan sheikh di luar madrasah terutama dengan Sheikh Abd Qadir Raipuri. Zaman muda Maulana Abul Hasan Ali memperlihatkan lahirnya kebangkitan pemikiran Islam di sana sini. Antara pemikiran yang dibangkitkan ialah tentang kebenaran tentang ketulenan tasawwuf. Asal usul tasawwuf serta kesan-kesan perjalanannya merentasi zaman. Tidak hairanlah di mana sahaja Maulana pergi maka beliau mengambil kesempatan untuk berbincang tentang tasawwuf dengan tokoh-tokoh pemikir Islam. Ketika lawatannya ke Mesir pada tahun 1951 Maulana sempat berbincang dengan tokoh-tokoh penulis dan tokoh-tokoh gerakan Islam seperti Muhammad Ghazali, Dr Muhammad Amin, Muhammad Abd Farid, Abd Hafiz Saifi, Dr Taufik Shawi, dan Bahy Khauli. Hasil perbincangan mereka tentang tasawwuf ada pro dan kontra. Tetapi mereka semua bersetuju mengatakan bahawa "Tasawwuf ialah ilaj yang bersifat temporary dan mahdud". Tugas sebenar menjaga aspek kebajikan rakyat dari sudut material dan kerohanian ialah negara atau pemerintah. Jika pemerintah memiliki kedua-dua sifat ini dengan erti kata yang sebenar maka tidak perlu lagi bentuk-bentuk islah yang lain. Dengan kata lain lahirnya tasawwuf dalam bentuknya yang dikenali umum adalah disebabkan berlakunya ketidak keseimbangan ini. Itu apa yang disepakati oleh mereka. Oleh kerana wujudnya pro dan kontra tentang tasawwuf maka Maulana mengambil pendekatan menengahkan pembersihan jiwa dalam tulisan-tulisannya dengan istilah Tazkiatun Nafs atau Tahzibul Akhlaq(Rujukan: Syarqi Ausath ki Dairi oleh Maulana Abul Hasan Ali An Nadwi, m/s 152)

Saturday, June 5, 2010

Israel & Jews

Pada tahun 80an hati saya tergerak untuk membaca perkara berkenaan dengan Israel. Untuk itu saya meminjam banyak buku2 berkenaan dgn Israeil, Yahudi dan Zionist daripada perpustakaan salah sebuah IPTA. Di situ saya mengenal tokoh-tokoh Israeil dan Zionist spt Golden Mayer, Monsyi Dayan etc. Peristiwa pembentukan negara Israel ditulis secara terang-terangan oleh tokoh-tokoh mereka sebagai perancangan rahsia pertubuhan Zionist. Malah pemimpin2 Israel dalam biografi mereka menceritakan bagaimana gerakan zionist melatih mereka daripada semenjak zaman bangku sekolah lagi secara rahsia. Individu yang dipilih pertamanya ialah yang agak ke depan dalam pelajaran. Maryam Jameela juga pernah menyebut tentang dilema seorang penuntut perubatan yang dibiayai oleh Zionist dalam surat menyuratnya dengan Maulana Maududi. Satu bukti terang bahawa Zionist mensasarkan golongan berpendididkan tinggi untuk merealisasikan impian mereka. Semasa di India saya suka membaca buku-buku perundangan terutama berkenaan international law. Satu kali ketika menziarahi Hyderabad saya terserampak dengan tulisan seorang penulis undang2 dr India yang bernama Aggarwal. Dalam bukunya the international law beliau mencatatkan bahawa sehingga saat bukunya dituliskan (tahun 80an) US telah menggunakan hampir 100 kali kuasa vetonya demi kepentingan Israel tatkala Israel dihadapkan ke mahkamah antarabangsa. Maka tidak peliklah hari ini Amerika buat2 tak tahu sahaja dalam kes serangan ke atas Mavi Marmara oleh tentera Israel. Walaupun semua dunia tahu akan hakikatnya tetapi dunia tetap menzahirkan kehairannya di atas sikap polis dunia itu.